Motosikal pelik

MOTOSIKAL adalah sebuah pengangkutan dua roda yang digunakan kebanyakan penduduk dunia dan Asia menjadi antara pengeluar dan pengguna terbanyak kenderaan berkenaan.
Lazimnya, motosikal berupaya membawa seorang penunggang dan pembonceng yang digerakkan enjin kecil sama ada dua atau empat lejang dengan kapasiti enjin antara 50cc sehingga sebesar 2000cc.
Sejarah motosikal bermula apabila manusia cuba untuk memasang enjin pada basikal dan akhirnya terhasil motosikal pertama di dunia yang digerakkan enjin wap, diikuti dengan motosikal menggunakan enjin petrol pada akhir kurun ke-19.
Sejak itulah rekaan motosikal terus berevolusi mengikut zaman sehingga kepada model motosikal terkini seperti superbike, sport, cruiser, chopper, naked, motorcross, skuter dan kapcai.
Bagaimanapun, kegilaan mencipta motosikal tidak terhenti begitu sahaja dan kini ramai menghasilkan motosikal sendiri sehingga bentuknya pelik.
Malah, ada di antara ciptaan itu menggunakan enjin berkuasa jet atau sebesar sebuah lori lima tan.
Menyingkap sejarah awal penciptaan motosikal, jentera dua roda berkuasa petrol pertama kali dicipta Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach pada tahun 1885.
Motosikal pertama itu dinamakan 'Hildebrand and Wolfmuller' yang dikeluarkan di Jerman.
Walaupun rekaan motosikal kini dianggap mustahil untuk digunakan di jalan raya, kehadirannya di jalan raya sering mengundang perhatian ramai.
Kebanyakan motosikal pelik ini hanya digunakan untuk tujuan pameran atau hiburan semata-mata berikutan spesifikasinya yang 'luar biasa' selain berbahaya untuk kegunaan di jalan raya.
Ini kerana, motosikal bergerak berasaskan hukum giroskopik sebagaimana basikal di mana motosikal hanya akan tegak apabila bergerak.
Ketika di selekoh, daya emparan yang terhasil akan menjejaskan kestabilan motosikal dan penunggang perlu menunggang condong sedikit mengikut arah selekoh bagi mengimbangi daya emparan berkenaan.
Bagaimanapun, motosikal pelik ini tidak memerlukan tunggangan seperti motosikal biasa dan kebanyakan daripadanya hanya boleh bergerak dalam keadaan lurus.
- HARIAN METRO


motor ni mmg pelik..adeke patut lurus je leh gerak..mcm mn nk msk simpang?hehe