RTM tidak cadang tapis debat di Parlimen

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak bercadang menapis perkataan Ahli Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dalam siaran langsung yang disiarkan stesen televisyen itu, kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Sehubungan itu, katanya RTM tidak bercadang mengadakan siaran tertunda sidang Dewan Rakyat atau Dewan Negara bagi membolehkan penyuntingan dibuat.

"RTM tidak bercadang mengadakan siaran tertunda kerana matlamat asal siaran langsung ini ialah untuk rakyat melihat perwatakan dan hujah ahli Dewan agar mereka dapat menilai apa yang dibuat wakil rakyat masing-masing," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, jika suntingan dilakukan, ia akan lari daripada matlamat asal kementerian untuk membolehkan rakyat melihat perjalanan sidang Dewan dan perilaku wakil rakyat mereka.

Ketika perbahasan usul berkenaan, beberapa senator mencadangkan supaya RTM mengadakan siaran tertunda sidang Parlimen bagi membolehkan penapisan dibuat terhadap ahli Dewan yang mengeluarkan perkataan tidak wajar seperti lucah dan provokasi.

"Kalau disunting, kemungkinan rakyat persoalkan apakah perkara yang ditimbulkan sudah disunting. Ini menimbulkan kesangsian mengenai ketelusan pihak Parlimen dalam menyiarkan prosiding atau apa yang berlaku dalam Parlimen sama ada di Dewan Negara atau Dewan Rakyat," katanya.

Menjawab isu lain, Ahmad Shabery berkata, RTM mempunyai dasar tidak menghebahkan kes rumah tangga selebriti atau ahli politik di negara ini.

"Hal ini tidak wajar dipaparkan dan RTM menerbitkan laporan beritanya saja," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url