Padah nafsu binatang


Seorang mekanik yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan melakukan seks ganas ke atas isterinya, terpaksa meringkuk dalam penjara apabila tidak dibenarkan ikat jamin kerana dikhuatiri akan mengulang perbuatannya itu.

Hakim Hassan Ghani membuat keputusan itu berikutan tertuduh, Khairulhisam Abdul Khalid, 34, tinggal serumah dengan mangsa selain pasangan terbabit mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun.

Tertuduh yang memakai jeans biru dan baju-T putih didakwa melakukan seks ganas iaitu memukul, menampar dan menyepak seluruh anggota badan serta meliwat isterinya ketika melakukan persetubuhan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang membasuh pakaian dalam bilik air apabila tiba-tiba dia ditarik keluar suaminya yang mengheret dia ke bilik tidur untuk melakukan hubungan seks.

Mangsa yang tidak tahan selepas cedera teruk akibat dipukul, ditampar dan disepak suami yang menyebabkan seluruh badannya bengkak, lebam dan calar kemudian mengadu kepada keluarganya.

Keluarganya menasihatkan mangsa membuat laporan polis kerana kejadian itu dikatakan bukan kali pertama berlaku dalam tempoh sembilan tahun perkahwinan mereka.

Mengikut pertuduhan pertama, Khairulhisam didakwa melakukan serangan seksual terhadap isterinya berusia 33 tahun hingga menyebabkan kecederaan di rumah mereka di Taman Kampung Padang Jaya di sini, jam 3.15 petang, 19 April lalu.

Dia yang kelihatan gelisah berdiri dalam kandang tertuduh didakwa mengikut 375 A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan hubungan seks dan aktiviti seksual tidak diingini pasangan apabila meliwat isterinya lima minit selepas melakukan kesalahan pertama.

Tuduhan mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Disebabkan tertuduh sengaja mendatangkan kecederaan ketika melakukan persetubuhan dengan isterinya, selain melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kehendak wanita itu, Timbalan Pendakwaraya, Law Chin How membantah ikat jamin kerana bimbang keselamatan mangsa.

Khairulhisam cuba membuat rayuan membenarkan diikat jamin dengan memberi alasan dia tidak dapat menahan gelora nafsu ketika kesalahan dilakukan selain mendakwa wanita itu isterinya sendiri.

Bagaimanapun, Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin hingga kes dibicarakan pada 3 Ogos ini kerana dikhuatiri dia akan mengulang perbuatan itu terhadap isterinya itu.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Ann
    Ann Sabtu, 25 April 2009 pada 12:11:00 PTG SGT

    mmg ptut kena penjara...

  • Nashrul Sabri
    Nashrul Sabri Sabtu, 25 April 2009 pada 3:05:00 PTG SGT

    Rasakan..! Padan muka dia. Orang macam tu patut diajar cukup-cukup.

Add Comment
comment url