Pameran senjata misteri di Muzium Negara dilanjutkan

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan melanjutkan tempoh pameran Senjata Tradisional 'Misteri dan Kesaktian' sehingga 28 Jun ini ekoran sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Pameran yang diadakan di Muzium Negara itu telah menerima sebanyak 120,921 orang sejak dibuka pada 16 Disember tahun lalu dan dijadualkan tamat semalam.

Ketua Pengarah JMM, Ibrahim Ismail berkata, pengunjung terutama pelancong asing begitu teruja untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai misteri yang tersingkap di sebalik senjata tradisional itu terutamanya keris.

"Ini adalah inisiatif pihak jabatan untuk memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri keunikan seni warisan bangsa kita,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pameran tersebut bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami dan mendalami pengetahuan tentang keunikan senjata tradisional itu.

"Ramai yang tidak mengetahui sejarah dan asal-usul keris yang merupakan senjata untuk mempertahankan diri pada zaman dahulu.

"Kita berharap warisan ini tidak akan hilang walaupun kita sudah berada dalam dunia moden pada masa kini,'' katanya.

Ibrahim memberitahu, pameran seperti itu sedikit sebanyak boleh membantu memulihkan ekonomi negara terutamanya melalui peranan industri pelancongan.

Sementara itu, seorang pelancong dari Australia yang dikenali sebagai Caim, 29, berkata, pameran tersebut adalah sesuatu yang menarik dan memberi banyak maklumat mengenai keris.

"Sangat menakjubkan. Sebelum ini, saya hanya dapat melihat keunikan dan cerita mengenai keris Malaysia melalui Internet sahaja,'' katanya.

Beliau yang pertama kali datang ke negara ini berharap agar pameran tersebut akan di teruskan pada masa akan datang.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url