Pemandu bot penambang Terengganu sukar cari pengganti

Perkhidmatan bot penambang dari Seberang Takir ke jeti Pasar Kedai Payang, menjadi nadi perhubungan utama penduduk sekitar untuk berulang alik ke Bandaraya Kuala Terengganu sejak sekian lama.

Bagaimanapun, perkhidmatan yang berkembang menjadi satu tarikan pelancongan, mungkin berkubur jika tidak ada usaha menarik generasi muda untuk mengambil alih tugas sebagai pemandu bot.

Ini kerana kebanyakan pemandu bot penambang sekarang rata-ratanya berusia antara 40 hingga 60 tahun. Mereka mungkin tidak mempunyai kudrat untuk meneruskan kerjaya dalam masa 20 tahun lagi kerana faktor usia. Berikutan golongan muda kurang minat menjadi pemandu bot dibimbangi perkhidmatan itu pada masa depan akan hanya tinggal kenangan saja.

Pada masa kini hanya terdapat 25 buah bot penambang beroperasi di Sungai Terengganu setiap hari membawa penumpang untuk ke bandar ini, walaupun perkhidmatan itu masih mendapat sambutan menggalakkan penduduk dan pelancong yang mahu merasai sendiri kehidupan penduduk bandar raya warisan pesisir air itu.

Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir, Ali Muhammad, 59, dari Kampung Baru, Seberang Takir mengakui memang sukar untuk mencari pengganti dikalangan golongan muda menjadi pemandu bot penambang dewasa ini kerana tarikan pekerjaan lain yang dilihat lebih 'glamour'.

"Jika 30 tahun lalu terdapat lebih 100 buah bot penambang beroperasi di Seberang Takir tetapi kini jumlahnya tinggal 25 buah saja kerana ramai pemilik bot terpaksa menjualnya disebabkan tidak ada pemandu baru untuk mengambil alih tugas itu," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Berikutan kurang minat pemandu generasi muda, Ali berkata, pemilik bot akhirnya menjual bot mereka kepada pengusaha chalet yang beroperasi di Tasik Kenyir dan Pulau Redang.

Beliau mengakui berlaku kemerosotan bilangan penumpang berbanding sebelum wujud Jambatan Sultan Mahmud merentangi Sungai Terengganu, juga menjadi antara faktor generasi muda beralih mencari pekerjaan lain. Sebelum itu, jumlah penumpang yang menggunakan khidmat bot penambang memang sangat ramai kerana jarak untuk ke Pasar Besar Kedai Payang cuma mengambil masa lima minit saja.

"Tetapi selepas tahun 2000, bilangan penumpang merosot sedikit kerana orang ramai yang memilik kenderaan sendiri menggunakan jambatan itu untuk ke bandar," katanya.

Walaupun demikian, Ali berkata, purata penumpang menggunakan khidmat bot penambang masih sekitar antara 200 hingga 300 sehari dan jumlah itu bertambah jika cuti sekolah.

Katanya, bayaran untuk satu perjalanan yang dikenakan hanya RM1 setiap seorang penumpang dan seorang pemandu bot boleh meraih pendapatan bersih antara RM30 hingga RM40 sehari.

Ali berkata, dia sudah menjalankan kerja memandu bot penambang sejak 40 tahun lalu ketika berusia 19 tahun dengan membeli sebuah bot bernilai RM500 ketika itu.

"Pada masa itu harga bot memang murah dan jika ada wang sebanyak RM3,000 sudah mampu mengendalikannya tetapi sekarang harganya terlalu mahal kerana harga kulit bot saja mencecah RM50,000 tidak termasuk harga enjinnya," katanya.

Pemandu bot, Ghazali Abdullah, 48, dari Kampung Seberang Takir turut mengakui memang susah untuk mencari pengganti di kalangan golongan muda kerana mereka tidak berminat dengan kerja sebagai pemandu bot.

Katanya, dia yang sudah menjadi pemandu bot sejak 20 tahun akan meneruskan kerjaya itu selagi ada penumpang menggunakan bot penambang.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url