Saingan lima artis Indie dalam AIM16
Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) menyaksikan sebanyak lima kumpulan pemuzik independent (indie) tercalon dalam beberapa kategori anugerah itu.
Lima kumpulan popular itu, Hujan, Meet Uncle Hussain, The Times, Estranged dan Butterfingers misalnya, telah dicalonkan dalam beberapa kategori penting seperti Album Rock Terbaik.
Kategori itu memperlihatkan persaingan yang sengit apabila tiga kumpulan indie iaitu Hujan, Butterfingers dan The Times akan bersaing dengan Kristal dan Nrocinu dalam kategori tersebut.
Tumpuan tentunya diberi kepada tiga kumpulan Indie tersebut terutamanya Butterfingers yang mempertaruhkan album Melayu terbaru mereka berjudul Kembali dan The Times (Modern Minimals Glamour).
Ini kerana daripada segi senioriti serta kreativiti, Butterfingers dan The Times menampilkan konsep muzik yang cukup matang dengan mengutarakan pelbagai kelainan dalam album mereka itu.
Butterfingers sebagai contohnya, banyak mengutarakan elemen rentak kemelayuan seperti irama joget dalam album itu di mana ia seakan-akan membawa mereka kepada akar umbi dalam lagu-lagu Melayu yang sebenar.
Evolusi yang diketengahkan oleh kumpulan yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 1990-an itu jauh berbeza dengan konsep muzik grunge yang ditonjolkan sewaktu album pertama mereka berjudul 2.1 Miligrams (1996).
Sementara The Times menerusi album Modern Minimals Glamour pula banyak dipengaruhi oleh muzik sub-pop yang popular di United Kingdom pada tahun 1970-an hingga 1980-an.
Pengaruh muzik kumpulan seperti The Beatles sehinggalah kepada Sonic Youth banyak kedengaran dalam lagu-lagu The Times termasuklah dalam album tersebut.
Jika dibuat perbandingan di antara dua kumpulan itu, The Times mempunyai sedikit kelebihan kerana evolusi dan kepelbagaian muzik dalam rencah moden paling banyak mewarnai album mereka itu.
Malah, kalau diteliti istilah independent dalam perjuangan muzik The Times, mereka boleh dikatakan lebih genuine atau asli kerana kumpulan berasal dari Kuching, Sarawak ini memang bergerak sendiri dalam industri muzik tempatan.
Bukannya baru sekarang, tetapi sejak dulu Naza (vokalis, gitaris) banyak memacu The Times dengan lagu, lirik, konsep, publisiti serta persembahan yang mereka uruskan sendiri dan ia sedikit jauh daripada aliran muzik arus perdana.
Harus diingat bahawa perkataan independent yang merujuk kepada bidang muzik lebih menjurus kepada penciptaan lagu-lagu dan lirik-lirik sendiri selain tidak terbabit secara langsung dalam industri muzik arus perdana.
Bagaimanapun apabila istilah itu disalah tafsir dan cuba dicampur adukkan dengan industri muzik arus perdana, maka secara tidak langsung keaslian dalam perjuangan muzik indie itu akan menjadi pudar.
Sementara itu, Kristal yang mempertaruhkan album berjudul Bongkar dan Nrocinu (Keamanan) tidak harus dipandang sepi kerana mereka juga mempunyai kekuatan sendiri biarpun lebih menjurus kepada genre rock.
Nrocinu contohnya, begitu bertenaga daripada segi bunyi muzik heavy metal yang mereka tampilkan menerusi album tersebut di mana ia mengisi ruang ketandusan album-album rock sebegitu sejak kebelakangan ini.
Selain kategori Album Rock Terbaik, Hujan dan Meet Uncle Hussain turut mewakili kumpulan genre muzik indie bagi kategori Artis Baru Terbaik bersaing dengan Joe Flizzow, Suki dan Malique.
Estranged pula memberi saingan apabila album mereka yang berjudul Remain dicalonkan menerusi kategori Album Inggeris Terbaik bagi bersaing dengan Karen Nunis Blackstone, Joe Flizzow, Juwita Suwito dan Shal Sagan.
Kumpulan yang muncul Anugerah Juara Lagu ke-22 tahun lalu menerusi lagu Itu Kamu turut dicalonkan menerusi lagu Aurora dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu AIM16.
Jika diikutkan, pencalonan dan saingan lima kumpulan indie dalam AIM16 boleh dikatakan belum memadai dengan fenomena yang dicetuskan oleh genre muzik indie dalam industri muzik tanah air sejak beberapa tahun lalu.
AIM yang secara tidak langsung menggambarkan senario yang sedang berlaku dalam industri muzik di negara ini sepatutnya mencalonkan lebih banyak kumpulan indie bagi memeriahkan lagi persaingan dalam anugerah tersebut.
Atau sekurang-kurangnya mereka ini dijemput mengadakan persembahan atau sebagai tetamu bagi memeriahkan lagi anugerah yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Mei ini pukul 9 malam.
Mungkin dengan kehadiran dan sokongan lebih ramai lagi pemuzik indie pada AIM16 kelak, ia akan memberi gambaran sebenar terhadap senario yang benar-benar berlaku dalam industri muzik tempatan ketika ini.
- UTUSAN