Sejarah Perang Salib
Perang Salib ialah beberapa siri kempen perang yang dipengaruhi isu keagamaan dan politik sekitar kurun ke-11 hingga ke-13 Masihi. Misi asal tentera salib adalah menawan Baitulmuqaddis dan kawasan sekitarnya daripada orang Islam selain dari matlamat sampingan seperti menawan Kota Constantinople (yang berjaya semasa Perang Salib Keempat).
Latar belakang
Perang Salib bertitik tolak dari pembangunan pesat yang berlaku di Eropah Barat semasa Zaman Pertengahan, serta kemerosotan Empayar Byzantine di timur. Perpecahan Empayar Carolingian pada lewat abad ke-9 dan kestabilan Eropah selepas pengkristianan kaum Viking, Slav, dan Magyar menghasilkan ramai satria yang tidak mempunyai pekerjaan kecuali bergaduh sesama sendiri dan melancarkan keganasan terhadap para petani. Pihak gereja berusaha untuk membendung keganasan ini melalui beberapa gerakan gencatan senjata yang dipanggil Peace and Truce of God yang hampir berjaya. Namun, terdapat segelintir satria terlatih yang masih mahu meluahkan keganasan mereka - kecuali yang berlaku semasa Reconquista di Sepanyol dan negeri Portugal, di mana tentera Kristian sibuk memerangi bangsa Moor beragama Islam di Eropah.
Pada 1009, khalifah Fatimiyyah, al-Hakim bi-Amr Allah telah menggeledah hospis pilgrim di Baitulmuqaddis dan merosakkan Gereja Makam yang Suci. Walaupun didirikan semula oleh maharaja Bizantine, peristiwa memalukan ini sentiasa berada dalam ingatan bangsa Eropah dan menolong menyemarakkan lagi Perang Salib. [1]
Pada 1063, Paus Alexander II telah memberi restu papal kepada rakyat Kristian di Iberia untuk melancarkan perang terhadap orang Islam, memberi papal standard (yang dipanggil vexillum sancti Petri) dan pengampunan indulgence bagi mereka yang terbunuh sewaktu perang. Rayuan daripada beberapa Maharaja Byzantium yang diancam oleh tentera Seljuk, bermula pada 1074 daripada Maharaja Michael VII kepada Paus Gregory VII, kepada Maharaja Alexius I Comnenus kepada Paus Urban II pada 1095, akhirnya mendapat perhatian Paus Alexander II.
Perang Salib berlaku antaranya untuk menunjukkan ketaatan kuat kepada agama yang bangkit pada abad ke-11 di kalangan orang awam. Salah satu sebab ini terjadi adalah Kontroversi Istiadat Pengurniaan (di mana satria kristian menerima penghargaan dari pihak gereja) yang bermula lebih kurang pada 1075 dan masih berterusan sepanjang Perang Salib Pertama. Perkara ini telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh penganut Kristian sehingga mereka berlumba-lumba untuk menarik sokongan umum, menyebabkan satu pengalaman keagamaan yang dramatik. Hasilnya adalah satu kesedaran spiritual Kristian dan timbulnya minat awam yang kuat terhadap agama. Ini diperkuatkan dengan propaganda keagamaan, dan sokongan untuk Perang Yang Adil untuk merampas semula Tanah Suci termasuk Baitulmuqaddis (di mana berlakunya kematian, kebangkitan semula dan naiknya Nabi Isa ke syurga) dan Antioch (bandar raya Nasrani yang pertama) daripada orang Islam. Semua ini akhirnya dinyatakan dalam sokongan popular massa untuk Perang Salib Pertama sewaktu abad ke-12.
Kehadiran Islam di Tanah Suci kristian telah bermula sejak penaklukan Palestin oleh tentera Islam Arab dalam abad ke-7. Walaupun begitu, orang Islam tidak banyak campur tangan dalam urusan perjalanan jemaah Kristian ke tempat-tempat suci ataupun menganggu keselamatan bihara-bihara dan masyarakat Kristian di Tanah Suci. Orang-orang Eropah di barat juga tidak begitu peduli dengan kehilangan Baitulmuqaddis yang jauh kerana mereka sendiri berhadapan dengan pencerobohan oleh orang Islam dan puak bukan Kristian lain seperti Viking dan Magyar. Bagaimanapun, kejayaan demi kejayaan tentera Islam telah memberi tekanan yang hebat kepada Kristian Ortodoks Timur yang berpusat di Empayar Bizantine.
Perubahan sikap Barat terhadap timur berlaku pada tahun 1009 apabila khalifah Fatimiyyah dari Kaherah iaitu al-Hakim bi-Amr Allah menceroboh serta merosakkan Gereja Makam yang Suci di Baitulmuqaddis. Pengganti al-Hakim membenarkan Empayar Bizantine untuk membina gereja semula tetapi dengan syarat yang ketat, dan jemaah Kristian telah dibenarkan semula untuk melakukan kunjungan suci. Terdapat juga khabar angin disebarkan memgenai kekejaman Muslim terhadap jemaah Kristian. Cerita-cerita ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam menyeramak Perang Salib pada abad-abad seterusnya.
Penyebab serta merta Perang Salib
Adalah mustahak mencari asal-usul satu perjuangan ideal dalam perjuangan di antara orang-orang Kristian dan orang Islam di Sepanyol dan mempertimbangkan bagaimana idea satu perang jihad timbul daripada latar belakang ini. — Norman F Cantor
Perang Salib Pertama berpunca daripada rayuan Alexius I kepada Paus Urban II meminta tentera upahan menolongnya menyekat kemaraan tentera Islam ke dalam wilayah Empayar Bizantine. Pada 1071, Empayar Bizantine ditumpaskan di Pertempuran Manzikert, dan kekalahan ini menyebabkan Empayar kehilangan kesemua wilayah kecuali kawasan pesisiran Asia Minor (Turki baru). Walaupun Perpecahan Timur-Barat sedang bergolak antara penganut Roman Katolik di Barat dan gereja Yunani Ortodoks di Timur, Alexius I masih mengharapkan sedikit bantuan daripada rakan Kristian yang lain. Jawapan yang diterimanya adalah menggalakkan, Paus telah memanggil satu bala tentera penakluk yang besar bukan sahaja mempertahankan Empayar Byzantine, malah mengambil semula Baitulmuqaddis.
Apabila Perang Salib Pertama mula diseru pada 1095, pemuda-pemuda Kristian di utara Iberia telah pun berperang bersama di pergunungan Galicia dan Asturias, negara Basque dan Navarre, dengan memperoleh banyak kejayaan untuk kira-kira seratus tahun. Kejatuhan kerajaan Islam Moor di Toledo kepada kerajaan León pada 1085 adalah dianggap satu kemenangan yang besar, namun Reconquista masih mahu diteruskan. Pada masa itu terdapat perpecahan dikalangan amir-amir Islam, dan kebanyakan keluarga orang Kristian berada di negara yang selamat. Mereka (orang kristian) tidak tahu apa-apa kecuali bergaduh, mereka juga tiada sebarang taman mahupun perpustakaan untuk dipertahankan, dan mereka harus mara ke wilayah asing yang dihuni oleh orang 'kafir'. Semua faktor-faktor ini digunakan sebagai alasan berperang dengan orang Islam. Sejarawan Sepanyol melihat Reconquista sebagai acuan penting membentuk sebuah pasukan yang berwatak Castilian, dengan kesedaran "kebaikan tertinggi adalah untuk mati bertarung demi agama Kristian sesuatu negara".
Reconquista adalah contoh paling ketara perang Kristian terhadap penaklukan Islam selain beberapa contoh lain seperti penjelajah seorang Norman, Robert Guiscard, untuk menakluki "toe of Itali," Calabria, pada 1057 dan mempertahankan kawasan yang secara tradisinya wilayah Bizantine, daripada orang Islam di Sicily. Negeri-negeri maritim Pisa, Genoa dan Catalonia semuanya berjuang menentang kubu Islam di Majorca dan Sardinia, membebaskan susur Itali dan Catalonia daripada serangan-serangan Islam. Terdahulu dari itu tanah air Kristian di Syria, Lebanon, Palestin, Mesir, dan sebagainya pernah menjadi taklukan askar-askar Islam. Sejarah berpanjangan yang menyaksikan kejatuhan wilayah-wilayah Kristian ke tangan musuh berlainan agama telah menghasilkan satu dorongan kuat untuk menerima seruan maharaja Byzantine, Alexius I, melancarkan perang agama demi mempertahankan seluruh penganut Kristian, dan mengambil semula tanah-tanah yang telah jatuh ketangan Islam bermula dengan Baitulmuqaddis.
Paus Gregory VII pada mulanya ragu-ragu untuk mengorbankan darah awam bagi perang agama. Keraguan hilang apabila tindakan perang dilihat sebagai keganasan yang bersebab antaranya kerana penyeksaan orang-orang Kristian yang melakukan lawatan suci ke Tanah Suci. Dan pada orang Kristian, yang menentang Arianisme dan fahaman menyeleweng lain, keganasan kepada kaum 'kafir' adalah perkara biasa yang diterima. Santos Augistine daripada Hippo misalnya menunjukkan bahawa penggunaan kekerasan untuk berkhidmat kepada Tuhan di Bandar Raya Tuhan adalah wajar dan bagi seorang penganut Kristian "perang yang adil" dapat meninggikan kedudukan seorang pemimpin yang agresif dan bercita-cita tinggi di Eropah seperti Paus Gregory sendiri. Di utara Rome, satria yang menyusahkan boleh dipergunakan dalam perang. Di selatan Rom, tentera Norman menunjukkan potensi untuk dipergunakan bagi menghadapi orang Arab (di Sicily) dan pihak Byzantine di tanah besar. Menguasai Constantinople juga akan memperkukuhkan kuasa Papal setelah perlaku perpecahan agama Kristian pada tahun 1054.
Di Byzantine, kelemahan maharaja terserlah berikutan kekalahan dalam Pertempuran Manzikert pada 1071, yang menguncupkan Empayarnya di wilayah Asia kepada sebuah rantau di barat Anatolia dan di sekitar Constantinople. Dalam keadaan terdesak, maharaja Byzantine, Alexius I Comnenus, meminta bantuan daripada musuhnya iaitu Paus. Tetapi Paus Gregory pada ketika itu begitu sibuk dengan Kontroversi Istiadat Pengurniaan dan tidak dapat membantu maharaja tersebut dan Perang Salib ini tidak terjadi. Bagi pengganti Gregory yang lebih sederhana iaitu Paus Urban II, Perang Salib akan menyatukan semula seluruh penganut Kristian, menyokong Papal, dan mungkin membawa negara di timur di bawah kawalannya. Rakyat Jerman dan Norman yang tidak puas hati tidak perlu dijadikan sandaran kerana 'jantung' dan 'tulang belakang' perang agama ini boleh diperoleh di kalangan orang Perancis utara.
Selepas Perang Salib Pertama
Perang Salib Pertama melakarkan gelombang keganasan keagamaan seperti pembunuhan beramai-ramai Yahudi, serta layanan ganas terhadap orang-orang Kristian Ortodoks Timur yang ingin berpisah daripada Kristian di barat. Keganasan pada orang-orang Kristian Ortodoks memuncak semasa penggeledahan Constantinople pada 1204, di mana kebanyakan askar-askar salib turut terlibat.
Selepas Acre jatuh buat kali terakhirnya pada 1291, dan selepas penghapusan Occitan Cathars dalam Perang Salib di Albigensian, ideal perjuangan ini semakin surut akibat permainan politik Papal untuk kepentingan dirinya.
Pasukan satria Order of Knights terakhir berada di wilayah Acre adalah Kesatria Darjah Hospitaller. Selepas kejatuhan Acre mereka melarikan diri ke pulau Rhodes, dan dalam abad ke-16 mereka dihalau ke Malta. Pasukan ini akhirnya telah disingkirkan oleh Napoleon pada 1798.
Perang Salib yang utama
Terdapat pelbagai Perang Salib di mana yang besar sebanyak sembilan kali. Perang Salib yang penting dan terbesar berlaku pada abad ke-11 hingga ke-13. Perang Salib bukan sahaja berlaku di tanah orang Islam tetapi juga di Iberia dan Eropah tengah.
Selain itu terdapat beberapa perang Salib kecil-kecilan terhadap fahaman yang dianggap sesat oleh pihak berkuasa Kristian dan musuh-musuh peribadi Paus atau raja-raja berkuasa yang lain. Perang Salib seperti ini telah berterusan ke abad ke-16 hingga Zaman Pembaharuan dan Reformasi apabila iklim politik dan keagamaan Eropah berubah. Berikut ialah satu senarai Perang Salib yang utama.
Perang Salib Pertama (1095-1099)
Perang Salib Pertama terjadi apabila Maharaja Bizantium, Alexius I, meminta tolong dari Paus untuk melindungi empayarnya dari Turki Seljuk. Pada tahun 1095, semasa Majlis Clermont, Paus Urbanus II menginginkan Baitulmuqaddis jatuh ke genggaman tentera Frank. Alasannya adalah sejak kejatuhan Konstantinopel ke tangan bangsa Seljuk, bangsa Eropah menghadapi kesulitan menziarah Jerusalem kerana dihalang oleh bangsa Seljuk.
Pihak Vatikan mengirim surat kepada raja-raja Eropah meminta bantuan beserta sukarelawan dari rakyat mereka. Vatican juga mula mengumpul sukarelawan perang dan menjanjikan syurga dan penghapusan dosa. Pihak Vatikan juga mengatakan membunuh umat Islam adalah halal dan mereka yang berbuat demikian dijamin masuk syurga.
Para pembesar Eropah mengirimkan mereka sekitar 40,000 orang di bawah pimpinan Raymond dari Toulouse, Behomend dari Sicily, dan Godfrey dari Boullin. Pemimpin perang ini diberi jaminam akan menjadi para pembesar di Kerajaan Suci Jerusalem. Tentera Salib berkumpul di Konstantinopel untuk membantu Rom Timur pimpinan Alexius Comnenus melawan bangsa Seljuk. Maka bermulalah perjalanan yang panjang.
Pada 4 Jun 1097, tentara salib menakluki ibu kota Seljuk menyebabkan tentera diterajui Sultan Qilij Arslan mengalami kekalahan besar-besaran dalam pertempuran Dorylaeum di dataran tinggi Anatolia. Tentera salib meneruskan perjalanan ke Antioch. Kota ini dikepung cukup lama dari Oktober 1097 hingga Jun 1098. Gabenor Antioch, Yaghisian, mengusir kaum Kristian yang terkenal dengan sebutan kaum Ortodoks Timur yang tinggal di dalam kota sejak bertahun-tahun yang lalu. Yaghisian juga memohon pertolongan daripada Syria untuk mengusir tentara salib.
Syria mengirim bantuan dan mereka mengepung tentera salib supaya tidak mendapat bekalan makanan dari luar. Strategi ini berjaya sehingga satria berkuda tentera salib terpaksa memakan kuda mereka dan para tentera pejalan kaki memakan dedaunan untuk terus hidup. Walaupun tentera Islam berjaya memutuskan hubungan dunia luar, tentera Salib masih mampu merebut Antioch. Kekalahan tentera Islam adalah berpunca rasa ketidakpercayaan antara sesama pasukan. Tentera bantuan dari Syria enggan mematuhi perintah gabenor Antioch, Yaghisian, kerana mereka beranggapan panglima dari Syria lebih tinggi daripada gabenor sebuah jajahan dari Syria. Kekalahan mereka juga disebabkan terdapat pengkhianat yang membocorkan rahsia pasukan Islam kepada para pimpinan tentera salib yang menjanjikan hadiah yang besar.
Setelah menguasai Antioch sepenuhnya, tentara salib bergerak menuju ke Ma’araat al-Nu’man dan menakluknya pada 2 Disember 1098. Ma’araat al-Nu’man bukanlah sebuah kota besar seperi Baitulmuqaddis ataupun Damsyik. Kekejaman tentara salib tidak akan terhapus dari memori umat Islam. Didorong oleh kepercayaan bahawa membunuh umat Islam dijamin syurga, tentera salib membunuh ramai umat Islam.
Setelah menambah kekuatan mereka, tentera salib bergerak ke matlamat utama mereka iaitu kota Baitulmuqaddis. Dengan bantuan pasukan tambahan dari Eropah, tentara salib menguasai daerah pesisir pantai Syria dan meluaskan pengaruh mereka di Mediteranian Timur. Pergerakan mereka tidak disekat sehingga Baitulmuqaddis jatuh ke tangan kaum Frank tanpa perlawanan pada hari Jumaat, 5 Julai 1099. Salah seorang pimpinan mereka, Godfrey the Bouillon, diangkat sebagai penguasa Baitulmuqaddis. Perpecahan umat Islam yang terjadi pada masa itu adalah penyebab utama kejatuhan Baitulmuqaddis. Jatuhnya ibu kota ini ke tangan kaum Frank menandakan berakhirnya Perang Salib Pertama.
Perang Salib Kedua (1145-1149)
Setelah kejatuhan Jeruselam ke tangan kaum Frank, mereka melakukan serangan ke daerah sekitar untuk memperluas kekuasaan mereka. Karena faktor geografi, daerah-daerah pantai Syria yang terbentang menghadap ke barat, berhasil dikuasai tentera salib. Tentera salib juga menakluk Tripoli. Jatuhnya Tripli ke tangan tentera salib menandakan berakhirnya perluasan kaum Frank untuk memperluas Negara Salib. Serangan tentera salib selanjutnya ke atas Aleppo dan Damsyik banyak menemui kegagalan kerana mendapat tentangan keras dari pasukan setempat. Di dua kota inilah semangat jihad umat Islam yang hilang di tahun-tahun sebelumnya akibat perpecahan agama, bangkit kembali.
Para ulama memainkan peranan yang sangat penting disebalik kebangkitan semangat jihad umat Islam. Al-Sulami, seorang ulama sufi dari Masjid Umayyah, Damsyik, adalah ulama yang melopori dakwah bertemakan jihad dari mimbar masjid. Menurut al-Sulami, kekalahan yang diderita umat Islam dari perang melawan tentera salib disebabkan hukuman dari Allah SWT karena umat Islam mengabaikan kewajiban-kewajiban agama, khususnya jihad di jalan Allah. Al-Sulami berpendapat jika umat Islam menjalankan kewajiban-kewajibannya sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah SWT, maka umat Islam akan mencintai agamanya dan akan berjuang sekuat tenaga demi agama. Langkah al-Sulami ini diikuti oleh ramai ulama di Suriah yang banyak melahirkan kelompok mujahidin.
Zengi, penguasa Turki dari Mosul, merupakan pemimpin yang pertama dalam sejarah, setelah ekspansi tentera salib semasa Perang Salib Pertama, yang memimpin para mujahidin Islam. Dengan bantuan seorang ulama, Ibn al-Khasysyab, meraka membawa umat Islam ke arah kemenangan menentang tentera salib dalam Pertempuran Ladang Darah di Balath. Kemenangan ini membawa impak yang besar kepada psikologi umat Islam dan menghapus tanggapan mereka tentang kekuatan tentera salib.
Kemenangan Zengi pada tahun 1144 mengukuhkan rasa percaya diri mereka. Kemampuan pasukan Zengi merebut Edessa sangat berharga kerana Edessa merupakan kota Negara Salib pertama yang berhasil direbut oleh umat Islam. Walaupun dua tahun kemudian Zengi tewas akibat dibunuh, Zengi tetap seorang pahlawan bagi umat Islam yang membakar semangat jihad mereka. Semangat jihad diteruskan oleh Nuruddin, tokoh utama Islam semasa Perang Salib Kedua yang juga putera kepada Zengi.
Kejatuhan Jerusalem (1187)
Nuruddin memimpin Edessa dan Aleppo, daerah kekuasaan yang diwarisi dari ayahnya, dan memperluas daerahnya dengan mengalahkan tentera salib di Inap di bulan Julai 1149. Tahun 1154, Nuruddin telah berhasil menyatukan Syria. Tahun 1163, Amalric naik tahta menjadi pemimpin tentera salib yang baru. Semasa inilah cabaran Nuruddin bermula.
Amalric melihat peluang besar untuk menguasai Mesir dari penguasaan Fatimiyyah yang lemah akibat kematian menteri mereka. Nuruddin, selain memerangi kaum Frank, juga melakukan campur tangan masalah dalaman mereka. Usaha Nuruddin berhasil karena Syawar, menteri Fatimiyyah, memohon pertolongan Nuruddin untuk menggulingkan musuh politiknya, Dirgham, yang menggulingkannya melalui bantuan kaum Frank. Nuruddin mengirim pasukannya di bawah Syirkuh yang merupakan paman kepada Salahuddin Al-Ayubbi untuk mengembalikan kekuasaan Syawar di Kaherah. Pertempuran di Kaherah akhirnya dimenangi dan Syawar menjadi menteri Fatimiyah.
Operasi ketenteraan kedua dibiayai terus oleh Nuruddin dan memperoleh kemenangan kecil pada tahun 1168. Kaum Frank kembali ingin menguasai Kaherah pada tahun yang sama. Ini memaksa Syawar kembali meminta bantuan Nuruddin. Nuruddin kembali memberi kepercayaan kepada Syirkuh untuk memimpin pasukan Islam melawan kaum Frank. Dalam pertempuran ketiga ini, Syirkuh tewas pada tahun 1169 dan digantikan oleh Salahudin. Pasukan Islam memperoleh kemenangan atas kaum Frank.
Salahudin mengusir kaum Frank dari tanah Mesir menjadikan khalifah Fatimiyah menaruh Salahudin untuk memerintah Kaherah. Karier Salahudin semakin naik dengan terpilihnya ia sebagai menteri di bawah khalifah al-Adid. Apabila khalifah al-Adid wafat, Salahudin mengambil langkah penting, iaitu menghancurkan Dinasti Fatimiyah dan mengembalikan Mesir di bawah kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad. Operasi ketenteraan Salahudin ini masih di atas nama Nuruddin. Ketaatan Salahudin kepada Nuruddin berakhir pada tahun 1172 karena Salahudin menganggap Nuruddin tidak memimpin umat Islam. Perseteruan bagaimanapun tidak terjadi karena Nuruddin wafat pada tahun 1174. Kematian Nuruddin ini mengelakkan perseteruan anatara Islam. Jika Nuruddin masih hidup, Islam mungkin terpecah menjadi dua, antara pendukung Nuruddin dan Salahudin.
Salahudin mengisytiharkan dirinya sebagai pengganti Nuruddin, walaupun ditentang oleh keluarga Nuruddin. Salahudin menunjukkan kredibilitinya dengan memerangi kelompok-kelompok Islam penentangnya. Dengan jatuhnya Aleppo tahun 1183, Salahudin telah menyatukan Mesir dan Syria dibawah satu komando. Salahudin pun mengalihkan perhatiannya ke musuh utama umat Islam sebenarnya, yaitu tentera salib.
Salahudin dan Raja Baldwin IV, penguasa Jerusalem mengadakan perjanjian damai. Semasa damai ini, kehidupan di Mediterania Timur kembali berjalan normal. Perjanjian antara kedua raja ini retak akibat hasutan Reynald the Chatillon, salah seorang pembesar kaum Frank yang sangat membenci Islam. Tindakan Reyald the Chatillon membuat umat Islam marah. Bahkan di mata umat Islam, Reynald the Chatillon dianggap pembesar kaum Frank terburuk. Tindakan Reynald yang mengundang kemarahan umat Islam adalah seperti keinginan Reynald menghancurkan kota-kota suci umat Islam, Mekkah dan Madinah serta tindakannya menyerang kafilah-kafilah Islam sewaktu perjanjian damai.
Salahudin mengirim pasukan Islam untuk menyerang kaum Frank ke Kerak, tempat Reynald tinggal. Balwin juga mengirim pasukannya ke Kerak setelah mendengar Salahudin hendak menyerang salah satu wilayahnya. Peperangan ini berhenti dengan perjanjian damai dan jaminan Reynald akan dihukum sendiri oleh tangan kaum Frank.
Setahun kemudian, Salahudin sakit dalam waktu yang sangat lama. Setahun kemudian, Baldwin IV meninggal dunia dan digantikan oleh Guy the Lusigna. Dengan Guy, yang merupakan teman rapat Reynald the Chatillon, maka perjanjian antara Islam dengan kaum Frank telah berakhir.
Salahudin, yang telah sembuh, segera menngumpulkan pasukan-pasukan umat Islam untuk berperang melawan tentera salib. Guy juga segera mengumpulkan pasukan untuk menyerang Islam. Berlakulah Perang Hittin, salah satu perang besar dalam sejarah dunia, yang dimenangi pasukan Islam. Guy dan Reynald ditawan dan dihadapkan ke hadapan Salahudin. Reynald dibunuh oleh Salahudin dan Guy diseret Salahudin ke Jerusalem. Pasukan Islam memenangi pertempuran di Arce lima hari selepasnya. Wilayah dari Gaza hingga Jubayl dikuasai Salahudin pada awal September. Pada hari Jumaat, 2 Oktober 1187, Salahudin berjaya menawan Jerusalem. Jatuhnya Jerusalem ke tangan umat Islam adalah puncak kejayaan Salahudin dalam memimpin umat Islam semasa Perang Salib. Merebut Jerusalem dari tangan kaum Frank adalah cita-cita terbesar Salahudin dan Perang Salib Kedua berakhir dengan kemenangan umat Islam.
Perang Salib Ketiga (1187–1192)
Pada tahun 1187, Salahuddin menawan semula Jerusalem. Paus Gregory VIII membuat seruan Perang Salib yang diketuai beberapa pemimpin utama Eropah: Philip II dari Perancis, Richard I dari England dan Frederick I, dan Maharaja Rom Suci. Frederick meningal dunia kerana lemas di Cilicia pada tahun 1190, dan meninggalkan persekutuan yang tidak stabil antara kuasa England dan Perancis. Philip pula pulang pada tahun 1191 setelah tentera salib merampas Acre dari tangan orang Islam. Pasukan tentera salib menuju ke pantai Laut Mediterranean. Mereka menewaskan orang Islam berdekatan Arsuf dan dapat melihat Jerusalem. Bagaimanapun, tentera salib tidak kekal bertapak di kawasan tempatan disebabkan bekalan makanan dan air yang kurang, ini mengakibatkan kejayaan kosong. Richard pulang pada tahun berikutnya setelah menandatangani genjatan senjata dengan Salahuddin. Dalam perjalanan pulang, kapal Richard pecah dan mendarat di Austria. Di Austria, musuhnya, Duke Leopold menangkap dan memberinya kepada anak Frederick, Henry VI. Richard ditahan untuk mendapatkan wang tebusan raja. Pada tahun 1197, Henry sendiri berasa bahawa dia bersedia untuk Perang Salib, tetapi dia mati pada tahun yang sama akibat demam malaria.
Perang Salib Keempat (1202–1204)
Jerusalem kembali ke tangan orang Islam sedekad yang lalu. Perang Salib Keempat dilancarkan oleh Paus Innocent III pada tahun 1202 dengan niat mahu menakluki Tanah Suci menerusi Mesir. Orang Venice yang diketuai Doge Enrico Dandolo, diberi kepercayaan untuk mengemudi perang Salib ini dan menghalakannya, pertama ke sebuah bandar Kristian Zara, kemudian ke Constantinople. Di situ mereka cuba meletakkan seorang buangan Byzantine di atas takhta. Berikutan satu siri salah faham dan ledakan keganasan, bandar tersebut dijajah pada tahun 1204.
Perang Salib Albigensian
Perang Salib Albigensian dilancarkan pada tahun 1209 untuk menghapuskan kumpulan sesat yang dipanggil Cathar di selatan Perancis. Perang ini adalah pertarungan yang berdekad-dekad lamanya yang banyak dihabiskan dengan keinginan kawasan utara Perancis untuk meluaskan cengkamannya ke arah selatan sebagaimana yang dilakukan terhadap kumpulan sesat itu. Kesudahannya, kumpulan Cathar dan kemerdekaan kawasan selatan Perancis lenyap.
Perang Salib Kanak-Kanak
Perang Salib Kanak-Kanak adalah Perang Salib rekaan atau yang disalah ertikan, yang berlaku pada tahun 1212. Ceritanya berkisar mengenai letusan semangat lama popular yang membawa kepada perhimpunan kanak-kanak di Perancis dan Jerman. Paus Innocent III menterjemah perhimpunan ini sebagai celaan dari langit terhadap golongan dewasa mereka yang tidak layak. Tiada seorang pun daripada kanak-kanak itu sampai ke Tanah Suci sebenarnya; samada mereka semua dijual sebagai hamba, menetap di sepanjang laluan ke Jerusalem, atau mati kebuluran semasa dalam perjalanan.
Perang Salib Kelima (1217–1221)
Dengan memperalatkan perarakan, doa dan syarahan, pihak Gereja cuba membentuk satu lagi Perang Salib. Persidangan Lateran Keempat (1215) telah merumuskan sebuah rancangan untuk merampas kembali Tanah Suci. Pasukan tentera salib dari Hungary, Austria, dan Bavaria mencapai kejayaan luar biasa dengan penaklukan Damietta di Mesir pada tahun 1219. Tetapi atas desakan segera dari duta Paus, Pelagius, mereka meneruskan serangan berani ke atas Kaherah, tetapi banjir Sungai Nil memaksa mereka memilih samada menyerah kalah atau kemusnahan.
Perang Salib Keenam (1228–1229)
Pada tahun 1228, Maharaja Frederick II belayar dari Brindisi menuju ke Syria walaupun menerima penyingkiran oleh Paus (papal excommunication). Melalui saluran diplomasi dia mencapai kejayaan yang tidak dijangkakan apabila Baitulmaqdis, Nazareth dan Baitul Laham akan diserahkan kepada tentera salib untuk tempoh selama 10 tahun.
Perang Salib Ketujuh (1248–1254)
Minat pihak Paus yang ditunjukkan oleh Kesatria Templar mengundang konflik dengan Mesir pada tahun 1243, dalam tahun berikutnya sebuah pasukan tentera Khwarezmi yang dipanggil oleh Mesir menyerbu ke Baitul Maqdis. Walaupun ini tidak menimbulkan sebarang kekejutan meluas di Eropah sebagaimana berlakunya kejatuhan Baitul Maqdis pada tahun 1187, Louis IX mengatur Perang Salib menentang Mesir dari tahun 1248 hingga 1254, dia bertolak dari pelabuhan Aigues-Mortes yang baru dibina di selatan Perancis. Ia adalah satu kegagalan dan Louis menghabiskan hidupnya di istana kerajaan tentera salib di Acre. Di tengah-tengah perang Salib ini, berlaku Perang Salib Pengembala Biri-Biri pertama pada tahun 1251.
Perang Salib Kelapan 1270
Perang Salib Kelapan dicetuskan oleh Louis IX pada tahun 1270, sekali lagi belayar dari Aigues-Mortes, bertujuan pada mulanya untuk menolong saki-baki negeri-negeri tentera Salib di Syria. Bagaimana pun, perang Salib ini dihalakan ke Tunis. Di situ Louis menghabiskan sisa hayatnya selama hanya dua bulan sebelum meninggal dunia. Perang Salib Kelapan kadang-kala dikira sebagai Perang Salib Ketujuh, jika Perang Salib Kelima dan Keenam dikira sebagai satu Perang Salib tunggal. Perang Salib Kesembilan juga kadang-kala dikira sebagai sebahagian daripada Perang Salib Kelapan.
Perang Salib Kesembilan (1271–1272)
Raja Edward I dari England menjalankan satu lagi ekspedisi pada tahun 1271, setelah menemani Louis dalam Perang Salib Kelapan. Dia hanya mencapai sedikit kejayaan di Syria dan menarik diri berikutan satu gencatan senjata pada tahun berikutnya. Dengan kejatuhan Antioch (1268), Tripoli (1289) dan Acre (1291), kesan-kesan terakhir pemerintahan Kristian di Syria lenyap.
Perang Salib di Baltik dan Eropah Tengah
Perang Salib di kawasan Laut Baltik dan Eropah Tengah adalah usaha-usaha orang Kristian (kebanyakannya berbangsa Jerman) untuk menakluki dan membawa penduduk di kawasan ini ke dalam agama Kristian. Perang Salib ini bermula dari kurun ke-12, sewaktu dengan Perang Salib Kedua, hingga kurun ke-16.
Antara tahun 1232 dan 1234, tercetus perang Salib terhadap penduduk Stedingen. Perang Salib ini adalah istimewa, kerana penduduk Stedingen bukanlah orang kafir atau sesat (dalam agama Kristian), tetapi adalah rakan semazhab (Gereja Katolik Rom). Mereka adalah petani-petani bebas Frisia yang marah dengan cubaan pembesar Oldenburg dan ketua biskop Bremen-Hamburg yang mahu menamatkan kebebasan mereka. Ketua biskop itu menyingkirkan mereka dan Paus mengisytiharkan Perang Salib pada tahun 1232. Penduduk Stedingen ditewaskan pada tahun 1234.
Tinggalan Perang Salib
Perang Salib telah meninggalkan kesan-kesan sejarah yang mendalam dan berkekalan.
Eropah
Perang Salib telah memberikan pengaruh yang sangat besar ke atas Zaman Pertengahan Eropah. Pada ketika sebahagian besar benua tersebut disatukan di bawah Paus yang begitu berkuasa, tetapi pada kurun ke-14 konsep lama mengenai Dunia Kristian menjadi pecah, dan kemajuan birokrasi berpusat (pembentukan negara bangsa moden) sedang rancak berjalan di Perancis, England, Burgundy, Portugal, dan sebahagian Castile serta Aragon kerana penguasaan gereja pada permulaan era Perang Salib. Walaupun Eropah terdedah kepada kebudayaan Islam buat beberapa kurun menerusi perhubungan di Semenanjung Iberia dan Sicily, banyak pemikiran Islam seperti sains, perubatan dan senibina telah dipindahkan ke Barat semasa Perang Salib. Pengalaman ketenteraan dari Perang Salib juga memberi kesan ke atas Eropah; sebagai contoh, kubu-kubu Eropah mula memiliki struktur batu yang besar sebagaimana yang terdapat di Timur, berbanding bangunan kayu yang kecil sebagaimana yang biasa wujud pada masa lalu. Keperluan untuk membina, mengangkut dan membekalkan pasukan tentera yang besar membawa kepada perdagangan yang rancak di segenap Eropah. Kebanyakan jalan-jalan kurang digunakan sejak zaman Empayar Rom menyaksikan pertambahan trafik dengan pedagang-pedagang tempatan mula meluaskan ruang lingkup mereka. Ini bukan hanya disebabkan Perang Salib tetapi juga kerana ramai orang 'mahu' mengembara setelah bertemu dengan hasil keluaran Timur Tengah. Ini juga membantu permulaan Renaissance di Itali, kerana pelbagai negara kota di Itali sejak dari mula lagi mempunyai koloni-koloni perdagangan yang penting dan lumayan di negeri-negeri tentera salib, samada di Tanah Suci mahupun di wilayah Empayar Byzantine yang ditawan kemudiannya. Di sebalik kekalahan di Timur Tengah, tentera salib memperoleh kembali Semenanjung Iberia dan melambatkan perluasan ketenteraan Islam.
Dunia Islam
Perang Salib telah memberi kesan mendalam terhadap Dunia Islam dengan perkataan "Frank" dan "tentera salib" kekal setara dengan ungkapan yang mewakili penghinaan. Orang Islam secara tradisi menyanjung Salahuddin, pahlawan Kurdis sebagai hero menentang tentera salib. Pada kurun ke-21 ini, sesetengah orang di Dunia Arab seperti pergerakan kemerdekaan Arab dan gerakan Pan-Islam mennggelar campur tangan pihak Barat dalam hal-ehwal Timur Tengah sebagai "Perang Salib". Perang Salib dianggap oleh Dunia Islam sebagai serangan hebat yang kejam dan dahsyat oleh orang Kristian Eropah.
Masyarakat Yahudi
Kekejaman tentera salib terhadap orang Yahudi di bandar-bandar Jerman dan Hungary, juga kemudiannya di Perancis dan England, dan dalam pembunuhan golongan yang tidak bersenjata beramai-ramai dengan kejam di Palestin dan Syria menjadi bahagian bermakna dalam sejarah anti-Semitisme, walaupun tiada Perang Salib yang dilancarkan terhadap orang Yahudi. Serangan-serangan ini meninggalkan perasaan yang kuat di kedua-dua belah pihak. Kedudukan sosial orang Yahudi di Eropah Barat semakin memburuk, dan sekatan undang-undang bertambah semasa dan selepas Perang Salib. Mereka menyediakan jalan kepada undang-undang anti-Yahudi oleh Paus Innocent III dan menjadi titik peralihan kepada anti-Semitisme Zaman Pertengahan.
Tempoh Perang Salib diceritakan dalam banyak riwayat dari sumber-sumber Yahudi. Antara riwayat Yahudi yang diketahui ramai ialah babad-babad oleh Solomon Bar Simson dan Rabbi Eliezer bar Nathan, Riwayat Penganiayaan Lama (The Narrative of the Old Persecutions) oleh Mainz Anonymous, dan Sefer Zekhirah (Buku Peringatan) oleh Rabbi Ephraim dari Bonn.
Caucasus
Di pergunungan Caucasus dalam negara Georgia, dalam kawasan tanah tinggi terasing yang disebut Khevsureti, sebuah kabilah yang dipanggil orang Khevsur diandaikan berkemungkinan keturunan langsung bagi sekumpulan tentera salib yang terpisah dari pasukan yang lebih besar dan kekal dalam pengasingan dengan beberapa budaya tentera salib terpelihara. Tinggalan perisai, senjata dan baju besi masih lagi digunakan dan diwarisi turun temurun dalam masyarakat tersebut hatta sehingga kurun ke-20. Anggota tentera dan ahli etnografi Rusia, Arnold Zisserman yang menghabiskan masa selama 25 tahun (1842-67) di Caucasus, percaya bahawa kumpulan luar biasa penduduk tanah tinggi Georgia tersebut adalah keturunan tentera salib terakhir berdasarkan adat resam, bahasa, dan kesenian mereka. Pengembara Amerika, Richard Halliburton (1900-1939) menyaksi dan mencatatkan adat resam kabilah tersebut dalam tahun 1935.
Penggunaan istilah "Perang Salib"
Perang Salib tidak pernah digunakan oleh orang-orang yang terlibat dalam perang tersebut. Tentera Salib yang asal dikenali dengan pelbagai istilah termasuklah fideles Sancti Petri (orang yang beriman dengan St. Peter) atau milites Christi (tentera al-Masih). Mereka melihat diri mereka sebagai membuat iter (perjalanan), atau peregrinatio (haji), walaupun jemaah haji selalunya dilarang membawa senjata. Seperti jemaah haji, setiap tentera Salib bersumpah mengangkat sumpah yang akan dipenuhi untuk berjaya sampai ke Baitul Maqdis, dan mereka diberikan salib kain yang dijahit pada pakaian mereka. Perbuatan "mengambil salib" (crux) ini akhirnya dikaitkan dengan keseluruhan perjalanan itu; perkataan "crusade" (masuk ke dalam bahasa Inggeris dari perkataan Perancis croisade, bahasa Itali crociata atau bahasa Portugis cruzada) terbina dari sini.
Sejak kurun ke-17, istilah "perang Salib" telah membawa satu konotasi dalam Dunia Barat iaitu satu kempen yang wajar, pada kebiasaannya untuk "membanteras kejahatan", atau berperang untuk alasan yang wajar. Dalam penggunaan umum atau keagamaan bukan sejarah, "perang Salib" mempunyai makna yang lebih tegas dan keagamaan — sebahagian besarnya dibuang dari 'perjuangan bersenjata'.
Dalam makna yang lebih luas, "perang Salib" dapat digunakan, selalunya dalam makna bersifat retorik dan metafora, untuk mewajarkan sebarang perang yang mendapat justifikasi agama.
Aktivis-aktivis fanatik juga merujuk alasan mereka sebagai "perang Salib", sebagaimana dalam "Perang Salib terhadap Buta Huruf Orang Dewasa", atau "Perang Salib terhadap Pembuangan Sampah". Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, bagaimana pun, penggunaan "perang Salib" sebagai istilah positif telah menjadi kurang untuk mengelak daripada menyinggung perasaan orang Islam atau sesiapa sahaja yang terasa tersinggung hati dengan istilah tersebut. Istilah ini juga mencorakkan kefanatikan pendukung agenda, contohnya kempen-kempen "Perang Salib buat hak wanita untuk memilih" dan "Perang Salib untuk bersembahyang di sekolah awam".
SUMBER:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Salib