Soal Jawab Perkahwinan - Kenapa perlu tambahan taklik?

Soalan:

Saya dan tunang bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun ini. Namun kebelakangan ini, dia seringkali menimbulkan isu mengenai perjanjian taklik. Dia meminta saya menandatangani taklik tambahan. Saya rasa bahawa ia adalah tidak perlu dan tidak wajar. Bukankah sudah terdapat taklik tetap jadi kenapa ia harus ditambah? Kenapa perlu merancang mengenai penceraian sedangkan kami baru sahaja mahu berkahwin? Sesetengah rakan saya juga mengatakan bahawa taklik hanya bertujuan untuk mengongkong suami. Sekiranya taklik sedia ada sudah memadai kenapa perlu ia ditambah lagi? Ia hanya membazir masa.

Aamir Eusoff,

Kuala Lumpur.

Jawapan:

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan dan meredai perkahwinan sebagai satu ikatan yang amat suci. Perkahwinan bukan sahaja satu ikatan kasih-sayang dan kekeluargaan tetapi ia juga adalah satu akad atau perjanjian (kontrak).

Meletakkan syarat di dalam perjanjian perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam. Di dalam Surah an-Nisa, ayat 21 Allah SAW telah berfirman bahawa: �Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.�

Dalam hal memenuhi janji ini, terdapat ayat al-Quran iaitu Surah Al-Isra� ayat 34 yang menyatakan bahawa: �Penuhilah setiap janjimu kerana sesungguhnya janji itu pasti diminta untuk dipertanggungjawabkan di hari pengadilan.�

Ayat-ayat yang dinyatakan di atas menunjukkan betapa pentingnya seseorang Muslim itu memenuhi syarat perjanjian yang dipersetujui termasuk perjanjian taklik sama ada tetap atau tambahan.

Jika dilihat amalan di negara kita kini, sememangnya telah ada tersedia taklik tetap yang perlu dilafazkan oleh suami setelah akad nikah dilangsungkan. Ia selalu didapati di Surat Perakuan Nikah. Tetapi taklik tetap ini adalah berlainan bagi setiap negeri di Malaysia. Ia juga mungkin tidak lengkap bagi pasangan kerana setiap perkahwinan adalah di antara mereka yang mempunyai kehendak atau situasi yang berlainan.

Oleh itu adalah perlu bagi taklik sedia ada ini ditambah menurut kehendak pasangan yang akan berkahwin. Taklik bertujuan untuk menjamin hak dan kepentingan kedua-dua pihak isteri dan suami di dalam perkahwinan. Syarat di dalam taklik tambahan bukanlah hanya tertumpu kepada perkara mengenai perceraian sahaja.

Syarat-syarat yang boleh dimasukkan oleh pasangan adalah apa-apa perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Ini juga merupakan perkara terbaik yang boleh dilakukan bagi pasangan yang akan berkahwin.

Kedua-dua belah pihak berkomunikasi mengenai alam rumah tangga yang akan dilalui. Masa ini juga boleh digunakan untuk meluahkan kegusaran yang mungkin terdapat dalam hati pasangan.

Ditegaskan di sini bahawa tujuan bagi penambahan taklik bukanlah dengan niat untuk mengongkong suami.

Ia adalah bagi menjamin hak dan tanggungjawab suami isteri dengan lebih terperinci. Sebagai contoh, seorang isteri yang sedang menyara keluarganya mungkin mahu terus berbuat demikian setelah berkahwin. Oleh itu, dia boleh meletakkan syarat bahawa suami tidak boleh menghalangnya daripada bekerja dan memberi wang bulanan kepada keluarga.

Isteri juga boleh meletakkan syarat bahawa dia tidak mahu dipoligamikan. Sekiranya suami mahu berpoligami, dia haruslah memberi isteri peluang untuk bercerai sekiranya isteri mahukan perceraian. Dia juga tidak boleh memaksa isteri terus berada dalam bentuk perkahwinan yang tidak diingini isteri.

Bagi hal-hal perceraian pula, taklik tidak menafikan hak suami ke atas talak. Malah ia menjaga keharmonian rumahtangga kerana bakal suami setelah berbincang mengenai taklik akan lebih prihatin akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Apabila berlaku perlanggaran syarat taklik, talak tidak akan jatuh secara automatik. Sekiranya isteri mahu bercerai, isteri perlu menuntut di mahkamah syariah bahawa telah berlaku pelanggaran perjanjian taklik.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan di mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai. Sekiranya isteri tidak mahu bercerai, maka dia tidak perlu ke mahkamah dan boleh memaafkan suami pada waktu tersebut.

Dari segi peruntukan perundangan, Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan bahawa Pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang telah ditetapkan atau butir-butir taklik lain dalam daftar perkahwinan.

Anda tidak perlu rasa gusar mengenai saranan bakal isteri mengenai perjanjian taklik. Ia boleh menyelamatkan rumah tangga. Berkomunikasi dengan jujur bersama bakal isteri.

Taklik tambahan perlu dilafazkan oleh suami di hadapan isteri dan dua saksi. Kesemua pihak perlu tandatangani perjanjian tersebut dan kemudian ia perlu didaftarkan di pejabat Agama yang berdekatan di bahagian Pendaftaran Pernikahan dan Penceraian. Tujuan mendaftarkannya hanya untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Agama berkenaan kewujudan taklik tambahan tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url