Format baru Hits 1
Malah, dengan adanya rancangan hebat seperti Hits 1, ia telah membuka peluang kepada semua karyawan tempatan untuk menonjolkan bakat masing-masing di samping memperkenalkan karya mereka kepada penonton.
Hits 1 membuka pintunya kepada semua artis dan karyawan seni untuk mencalonkan karya mereka untuk dinilai oleh peminat yang akan mengundi lagu yang mereka suka untuk dinobatkan sebagai juara pusingan.
Pertandingan akhirnya pula telah berjaya menobatkan nama-nama besar yang menggondol Anugerah Lagu Terbaik bermula dengan lagu Pulangkan nyanyian Misha Omar, Gemilang (Jaclyn Victor), Lagu Cinta Lagu Jiwa (Felix & Yazer), Terlalu Istimewa (Adibah Noor), Ketentuan (Ramlah Ram) dan terbaru, Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain).
Biarpun ia tidak sepopular rancangan hiburan yang lain, Hits 1 tetap mempunyai kelas dan kualitinya dan berupaya mencipta popularitinya sendiri.
Jika tidak, mustahil untuk rancangan itu mampu bertahan hingga musim ketujuh yang sudah pun bermula sejak 4 April lalu.
Bukan itu sahaja, Hits 1 juga membuktikan kehebatannya apabila warga penerbitannya tidak pernah kering idea untuk menampilkan pembaharuan demi peminat mereka yang tidak pernah henti menyokong Hits 1.
Hits 1 musim ketujuh yang disiarkan setiap hari Sabtu bermula pukul 3 petang itu turut menjanjikan satu kelainan khusus untuk tatapan peminat dan penonton saluran TV2.
Tidak lagi menjalankan penggambaran di dalam studio, Hits 1 akan menjelajah ke destinasi menarik di seluruh negara bagi mendekatkan lagi program ini dengan peminat mereka.
Masih lagi mengekalkan pengacaranya, Nabila Huda dan E'One, Hits 1 telah memulakan siarannya dengan memilih stesen KL Sentral sebagai lokasi pertama bagi episod pengenalannya.
Ketika itu, artis undangan pula adalah penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar dan kumpulan yang semakin mencipta nama, 6ixth Sense.
Hits 1 musim ketujuh yang disiarkan secara langsung itu seterusnya akan memilih destinasi popular lain yang menjadi tumpuan masyarakat dan pelancong seperti Sunway Lagoon, Menara Kuala Lumpur, Berjaya Times Square dan Pavilion.
Menariknya untuk musim ketujuh ini, mereka yang berada di sekitar lokasi penggambaran akan berpeluang menjadi pengacara bersama Nabila dan E'One.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpeluang menyanyi bersama dengan penyanyi jemputan pada minggu tersebut di samping menerima cenderamata eksklusif Hits 1.
Tentang format rancangannya pula, secara keseluruhan, Hits 1 masih lagi dikekalkan. Yang berubah hanyalah format cartanya dari segi tempoh mengundi yang dilanjutkan sehingga ke empat minggu.
Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada penonton untuk mengundi lagu nyanyian artis kesayangan mereka yang mampu bertahan lama untuk dibawa ke peringkat akhir.
Biarpun memberikan mandat sepenuhnya kepada penonton untuk memilih lagu kegemaran mereka untuk di bawa ke peringkat akhir, khidmat juri professional masih lagi digunakan dalam menentukan lagu yang layak untuk diangkat sebagai juara.
Dengan melayari laman web, www.hits1.com.my, peminat dan penonton Hits 1 boleh mendapatkan maklumat lokasi siaran langsung dan cara pengundian.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menjadi ahli kumpulan Hits 1 di laman web rangkaian sosial, Facebook.