ATM kukuhkan tuntutan Malaysia melalui penempatan aset, anggota
Tanpa menghiraukan amaran yang dibuat China sebelum ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata, setiap pulau kecil yang menempatkan kem atau anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ATM secara keseluruhannya merupakan milik negara.
Justeru, katanya, anggota serta aset TLDM dan ATM masih menjalankan operasi seperti biasa tanpa melakukan apa-apa perubahan dalam disiplin rondaan mereka di perairan sekitar.
''Tindakan China menguar-uarkan tuntutan dan hak kepentingannya di kawasan itu (Spratly) bukanlah baru, seluruh dunia telah mengetahuinya.
''Apa yang perlu dilakukan (sekarang) ialah kita memastikan kehadiran kita (ATM) di sana dirasai dan merupakan tanda ia jajahan kita,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Ketua Staf Tentera Laut Diraja British, Laksamana Jonathon Band di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir pegawai-pegawai tertinggi tentera laut kedua-dua negara.
Abdul Aziz menambah, segala operasi ATM dan TLDM di beberapa gugusan Kepulauan Spratly adalah sah di sisi undang-undang maritim antarabangsa selagi ia berada dalam lingkungan 200 batu nautika dari perairan negara yang dikenali sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Baru-baru ini, jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk kepulauan Spratly - satu amaran yang pernah beberapa kali disuarakan oleh negara republik itu.
Sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly merupakan tuntutan bertindih negara-negara seperti China, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei sejak dahulu.
ATM dan TLDM secara khususnya pula telah mendirikan kem-kem serta menempatkan anggota di sebahagian daripada gugusan Spratly seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau sejak tahun 1984.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, peranan TLDM mengawal keselamatan laluan kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, dekat Somalia telah disambung walaupun sebelum ini mengumumkan ia sepatutnya tamat pada 30 April lalu.
''TLDM kini telah menghantar KD Sri Inderapura pula bagi menggantikan KD Hang Tuah yang telah memulakan pelayaran pulang.
''Perkhidmatan Inderapura sehingga akhir Jun nanti pula akan digantikan dengan kapal bantuan perang TLDM (auxiliary ship),'' jelasnya tanpa mahu menyatakan nama kapal berkenaan.
Dalam pada itu, Band menjelaskan, kehadirannya ke Malaysia kali ini terkandung dalam siri lawatannya ke negara-negara sahabat, sebelum bersara pada pertengahan tahun ini.
''Selepas 75 tahun TLDM 'dilahirkan', saya berbangga dengan pencapaiannya di arena antarabangsa seperti penugasan mereka di Teluk Aden dan Selat Melaka yang menjadi ikutan masyarakat maritim dunia.
''Saya telah banyak bekerjasama dengan pasukan TLDM iaitu sejak berumur 18 tahun semasa mula-mula menyertai tentera laut. Apa yang pasti, TLDM telah banyak berubah,'' ujarnya.
- BERNAMA