Top Ad 728x90

Cinta 'laman blog' Josiah-Kim


Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Dalam zaman teknologi serba canggih ini, percintaan jarak jauh tidak lagi dianggap sebagai perhubungan yang mustahil dan sukar berakhir dengan kebahagiaan.

Sebaliknya, kemudahan e-mel, pesanan segera (IM) MSN dan Yahoo! Messenger serta Skype kini memungkinkan perhubungan itu terus mekar dan mencambah benih cinta sehingga ke jenjang pelamin.

Ia berjaya dibuktikan oleh pelumba trek negara, Josiah Ng dan pasangannya, Kim Ong yang menjadikan Internet sebagai penghubung kasih ekoran sering terpaksa berjauhan sehingga berminggu-minggu atau kadang kala berbulan- bulan lamanya.

Sebagai pelumba pecut yang sentiasa menduduki tangga 10 teratas dalam acara wheel race, sprint (pecut), pecut berpasukan dan keirin, Josiah perlu mengikuti latihan intensif secara berterusan.

Di samping menyertai kejohanan dari masa ke semasa, beliau juga berpangkalan di Australia menjalani persediaan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi demi mengharumkan nama negara pada kejohanan Olimpik di London pada 2012 kelak.

Kini, Josiah berada di Shizuoka, Jepun, bagi mengikuti program latihan Persatuan Keirin Jepun (JKA) selama enam bulan, sementara Kim pula sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan mereka yang akan berlangsung pada penghujung bulan Jun ini.

Walaupun begitu, Kim, 25, bukan calang-calang wanita. Di samping berkecimpung sebagai model sejak 2002 menerusi majalah Cleo, Her World, FHM, Clive dan Hello!, beliau juga merupakan pengacara, penari, aktres dan penulis blog yang cukup aktif (kimong.com).

Malah, kecekapannya mengendalikan komputer yang 'mempertemukan' kedua-duanya di dunia maya apabila dia mencari maklumat mengenai atlet lumba basikal itu dan akhirnya menemui laman web peribadi Josiah.

"Saya kurang mengikuti perkembangan sukan, jadi apabila pertama kali melihat Josiah sebagai penghias iklan akhbar The Sun, saya terpikat dengan ketampanan dan usahanya mengharumkan nama negara dalam sukan lumba basikal.

"Setelah menemui laman web www.josiahng.com, kami terus berhubungan menerusi laman blog masing-masing dan seterusnya saling jatuh cinta!," ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Kata Josiah, 29, dia berasa cukup bertuah dipertemukan dengan pasangan hidup yang memahami dan menghormati kerjayanya sebagai atlet serta tidak pernah lupa memberikan sokongan moral dari jauh.

Malah dia selalu mencari peluang memberi kejutan kepada Kim untuk mengambil hatinya apabila sesekali bertemu bagi melepaskan kerinduan kerana terlalu kerap terpisah.

Kemuncak kejutan adalah pada 1 April tahun lalu apabila Josiah melamar Kim dalam suasana yang cukup romantis di dalam kapsul London Eye, di kota London, setinggi 135 meter yang ditempah secara eksklusif untuk saat istimewa itu.

Sebelum itu, Josiah membuat persediaan sendiri dengan menghiaskan kapsul tersebut dengan indah dan meminta izin daripada bapa Kim untuk melamarnya terlebih dahulu.

"Walaupun bertemu di dunia maya namun kami mempunyai banyak persamaan terutama dari segi prinsip hidup dan dalam mengejar kejayaan.

"Kami amat mementingkan komunikasi kerana perhubungan jarak jauh memang banyak cabarannya tetapi kepercayaan dan interaksi antara satu sama lain memungkinkan apa saja," katanya.

Josiah berharap dikurniakan lima anak hasil perkahwinannya dengan Kim (Kim hanya inginkan dua) dan berdoa anak-anak mereka mempunyai mata yang cantik seperti ibu mereka.

Kedua-dua bakal pengantin itu ditemui di butik Melvin Lam Haute Couture, Starhill Gallery Bukit Bintang, Kuala Lumpur, ketika mengumumkan tarikh perkahwinan mereka kepada media baru-baru ini.

Melvin dipilih sebagai pereka busana pengantin dan menyediakan dua pasang pakaian indah untuk kedua mempelai dengan konsep hasil cetusan idea bakal pengantin perempuan, Kim .

Salah satunya gaun satin putih potongan duchess kembang di bawah seperti ikan duyung dan korset hitam bagi menyerlahkan kecantikan bentuk badan Kim untuk dipakai pada majlis resepsi di hotel The Westin Kuala Lumpur, akhir Jun ini.

Manakala Josiah akan memakai kot trench Kenzo bersama kemeja, kravat dan seluar hitam juga rekaan Melvin Lam untuk merealisasikan tema hitam-putih pada majlis itu nanti.

"Saya mengenali Kim ketika bekerjasama dengan sebuah hotel empat tahun lalu dan terus bersetuju membantunya apabila dia meminta saya berbuat demikian pada Ogos tahun lalu.

"Pasangan Josiah dan Kim merupakan simbol kebanggaan negara atas daya usaha untuk mencapai kejayaan dengan penuh bergaya," jelas Melvin.

Sementara itu, Melvin turut menyediakan sepasang persalinan untuk Josiah dan Kim khusus untuk sesi fotografi pra-perkahwinan dikendalikan jurufoto profesional, Arthur Chen baru-baru ini.

Konsepnya juga dicetuskan daripada kreativiti Kim iaitu penari balet dan penunggang basikal mengayuh basikal tandem bersama-sama lengkap dengan pakaian masing-masing.

Pada fotografi tersebut, Kim kelihatan seperti burung merak putih yang jelita apabila memakai pakaian penari balet (tutu satin) manakala Josiah seksi dan tampan memakai kemeja renda serta seluar pendek putih.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90