Top Ad 728x90

,

Poco-poco cetus fenomena tari


Barangkali pencipta lagu Poco-Poco, Arie Sapulette, tidak pernah terfikir lagu yang diciptanya untuk seorang gadis montel mencetus fenomena bukan saja di tanah airnya sendiri bahkan hampir seluruh nusantara termasuk Malaysia.

Seniman kelahiran Ambon, Indonesia itu, mendapat inspirasi menghasilkan lagu tersebut daripada seorang gadis gempal yang lincah menari di satu pesta. Dek kerana terlalu seronok melihat kelincahan gadis gempal tersebut menari hingga terkeluar perkataan poco-poco dari mulut Arie.

Sejak itu, tarian yang mengikut rentak gendang itu dinamakan poco-poco, perkataan yang dipercayai berasal daripada bahasa Manado.

Setelah Arie berpindah ke Jakarta tahun 1995, lagunya telah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal di Indonesia, Yopie Latul dan bermula dari situ rentak tari poco-poco semakin popular di Indonesia hinggalah menular ke seluruh nusantara.

Begitupun, berdasarkan pencarian di beberapa laman sesawang di Internet, terdapat beberapa versi mengenai asal usul tarian tersebut, malah banyak daerah di Indonesia mendakwa tarian tersebut berasal dari daerah mereka.

Di Malaysia, kini tarian poco-poco dianggap sebagai satu medium senaman yang boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun status, daripada majlis korporat hinggalah ke sekolah dan padang-padang senaman.

Keseluruhan lagu itu juga membawa maksud tubuh yang sihat, badan yang tegap dan dilagukan dengan iringan tari yang mudah serta menghiburkan.

Gerak tariannya umpama senaman aerobik, membuatkan badan berpeluh dan berasa lebih sihat.

Jurulatih senaman bertauliah, Adila Idris berkata, tarian poco-poco di Malaysia pada asalnya popular di kalangan golongan VIP termasuk kerabat diraja.

"Sekitar tahun 2001 dulu, tarian poco-poco sering ditarikan untuk bersuka ria pada majlis-majlis kenamaan. Selain untuk tujuan riadah, ia juga adalah sebagai tanda silaturrahim antara wakil Indonesia dan Malaysia. Di samping itu juga untuk memperkenalkan kebudayaan Indonesia kepada Malaysia.

Sejak dari itu, tarian poco-poco mula diajar oleh jurulatih senaman di pusat kesihatan dan tarian poco-poco kini mula dipelajari oleh setiap golongan masyarakat tanpa mengira usia," jelas beliau ketika ditemui selepas sesi pengadilan Pertandingan Poco-Poco di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan yang julung kali diadakan ini adalah anjuran Persatuan Usahawan Anggerik Mall Shah Alam. Ia bertujuan untuk menggalakkan orang ramai bersenam di samping bergembira.

Menurut Adila, kini tarian poco-poco semakin berkembang dan mempunyai lebih 70 gerakan kesemuanya.

Bahkan menarikan poco-poco juga tidak terlalu sukar malah boleh dikuasai dalam masa yang singkat terutama apabila diiringi muzik yang ceria.

"Poco-poco bukanlah sekadar tarian biasa. Ia menggabungkan langkah mudah yang boleh diikuti sesiapa sahaja tanpa perlu latihan.

"Dua langkah ke kanan, dua langkah ke kiri, satu langkah ke belakang, kemudian ke depan dan ke belakang Begitu seterusnya gerakan itu diulang-ulang.

"Memang menghiburkan apatah lagi jika dibuat beramai-ramai serentak dan secara berkumpulan," katanya.

Bermula daripada gerak asas ini ia berkembang kepada gerak lain seperti Sajojo, poco-poco dangdut, poco-poco reggae, poco-poco cha cha dan sebagainya.

Poco-poco juga boleh ditarikan dengan apa juga lagu yang berentak rancak seperti cha cha, rumba dan beguine, selain dangdut atau inang.

Selain lagu poco-poco, lagu-lagu lain yang biasa dipilih seperti Rindu Lukisan, Juwitaku Sayang dan beberapa lagi lagu nyanyian Tan Sri P. Ramlee.

"Peserta juga tidak perlu bakat untuk menari poco-poco yang penting mereka gembira, rasa ceria, segar dan sihat setelah menari," tambah juri ketiga Datin Mardiah Zin.

Mardiah mencadangkan, untuk berpeluh, lakukan senaman ini selama 20 minit, bagi yang mempunyai sakit sendi tidak perlu khuatir kerana pergerakan tarian senaman poco-poco tidak berisiko tinggi.

Kriteria pengadilan

Sementara itu, pakar senaman dan tarian, Teh Azizah Abdul Rahman berkata, antara kriteria yang menjadi keutamaan peserta pertandingan poco-poco ialah keharmonian gerak tari antara ahli dalam kumpulan.

"Setiap ahli mesti mengikut aturan gerak langkah yang sama pada setiap ahli kumpulan. Markah juga diberikan kepada kumpulan yang berjaya mencipta langkah kreatif dan menarik.

"Bagaimanapun, langkah asal poco-poco mesti ada dalam persembahan sebagai salah satu syarat wajib," jelasnya ketika ditemui di acara yang sama.

Teh yang juga selaku juri pertama berkata, kumpulan peserta mestilah mempunyai ahli minimum lapan dan maksimum 10 orang. Mereka akan dinilai dari aspek kreativiti langkah, keseragaman, pakaian dan persembahan secara keseluruhan.

"Markah bonus juga akan diberikan bergantung kepada keistimewaan atau kelainan yang ditampilkan oleh pasukan," jelas Teh.

Poco-poco menyatukan komuniti

Pada pertandingan ini, ramai peserta yang mengadunkan irama daripada gabungan lagu Hindustan, Thailand, Indonesia dan Malaysia. Masing-masing menggubah semula lagu mengikut kesesuaian rentak tarian mereka.

Pengerusi Persatuan Usahawan Anggerik Mall, Rahman Ismail berkata, penganjuran pertandingan poco-poco ini adalah sebagai satu langkah penyatuan rakyat dalam suasana yang menggembirakan dan menggalakkan kecergasan fizikal.

"Lima tahun dulu tidak semua tahu tentang poco-poco, tetapi kini ia bukan lagi tarian bermusim malah sebagai satu medium senaman yang menghiburkan lagi menyihatkan," tambahnya.

Sementara itu, kumpulan yang mengelar diri mereka Black Pearl telah dinobatkan sebagai juara mengalahkan 11 kumpulan lain yang layak ke peringkat akhir.

Naib juara pula dimenangi kumpulan Permata Biru dan ketiga, kumpulan pasangan suami isteri yang menamakan kumpulan mereka RMAF Couple," tambahnya.

Juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, naib juara, RM500, ketiga, RM300 dan bagi tempat keempat hingga ke-10, RM100 setiap kumpulan.

"Penganjur juga telah mengambil keputusan untuk memberikan dua hadiah khas juri kepada kumpulan termuda, Child Star dan Anggerik Merah B," kata Rahman lagi.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90