Claudia dan Aishah tersingkir minggu ke-8 AF7
Ismaliza Ismail (Isma) pengsan sebentar selepas konsert minggu kelapan, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) berakhir, semalam ekoran dua rakannya Claudia dan Aishah tersingkir.
Mereka terkeluar daripada kancah persaingan selepas mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah walaupun peringkat akhir AF7 hanya berbaki dua minggu lagi.
Isma, 30, sebelum itu, menangis sambil memeluk erat mereka kerana tidak dapat mengawal emosi selepas pengacara AF7, AC Mizal membuat pengumuman penyingkiran dua rakannya itu di babak akhir konsert itu.
Malah, pada suatu ketika, Isma kelihatan diusung ke bilik rawatan oleh para pekerja dengan ditemani rakan-rakan seperjuangan lain.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul dalam sidang akhbar sejurus itu berkata, keadaan Isma bagaimanapun tidak serius dan penyanyi itu telah beransur pulih.
"Isma tidak apa-apa. Dia mungkin letih tetapi dia dah boleh cakap dengan kawan-kawannya. Dia okey sekarang," katanya.
Konsert AF7 berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, dekat sini.
Sementara itu, Khairul Mizan memberitahu, dari segi peratusan undian SMS yang diterima peserta AF7, Yazid memperolehi 22 peratus diikuti Hafiz (21 peratus), Isma (20 peratus), Akim (14 peratus), Aishah (13 peratus) dan Claudia (11 peratus).
Dengan penyingkiran dua peserta tersebut, peserta lelaki yang kekal ialah Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 22, (Johor Bahru), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, (Sarawak) dan Afiq Hakim Ahmad, 18, (Johor Bahru).
Peserta, Ismaliza Ismail dari Kuala Lumpur pula merupakan satu-satunya peserta perempuan yang masih meneruskan perjuangan dalam AF7.
Pun begitu, terdahulu, Datin Seri Tiara Jacquelina semasa konsert tersebut berlangsung telah menggunakan bidang kuasanya sebagai Pengetua AF7 untuk mengumumkan Afundi Masuk (AFMasuk).
"Sebagai pengetua AF, apa yang paling menjadi keutamaan saya ialah para pelajar di akademi.
"Dengan ini, saya menggunakan kuasa yang ada sebagai pengetua agar para penonton dan peminat AF7 diberi peluang untuk
mengundi pelajar yang mereka rasa layak untuk meneruskan perjuangan. Dengan ini, saya melaksanakan AFMasuk," katanya.
Mengulas lanjut tentang AFMasuk, Khairul Mizan berkata, kesemua maklumat penting mengenai AFMasuk akan dipaparkan di Diari AF7 pada 9 malam, Isnin ini.
Maklumat-maklumat tersebut jelasnya, merangkumi kod ringkas SMS dan mekanisme pengundian tersebut.
Sementara itu, Aishah dan Claudia menyambut baik AFMasuk kerana bagi mereka, peluang mereka dan rakan-rakan seperjuangan yang tersingkir di peringkat awal untuk diundi masuk semula adalah amat berharga.
Konsert AF7 berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, dekat sini. AF7 minggu kelapan bertemakan teater muzikal.
Claudia bergandingan dengan Akim mempersembahkan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.
Claudia membawakan lagu, Katakan manakala Akim mendendangkan lagu Titah Sultan,
Sementara itu, gandingan kedua membariskan Aishah (lagu Slot Akasia) dan Yazid (lagu Ratu Novella) dalam teater muzikal Impak Maksima.
Dalam pada itu, teater P. Ramlee The Musical dilakonkan oleh pasangan Hafiz (Dimanakan Ku Cari Ganti) dan Isma (Mulanya Cinta).
Pengkritik malam itu ialah Adlin Aman Ramlie, Datuk Khatijah Ibrahim dan Edrie Hashim.
- MSTAR