Menara Merdeka 118 dinamakan semula kepada Menara Merdeka Maybank
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis perasmian ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, sekali gus menandakan satu detik penting dalam sejarah 66 tahun kumpulan serta kesinambungan evolusinya sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka di rantau ini.
Ibu pejabat baharu itu menghimpunkan fungsi korporat Maybank di bawah satu bumbung dan direka untuk memperkukuh kerjasama, memacu inovasi serta meningkatkan kecemerlangan operasi bagi memenuhi keperluan pelanggan dan komuniti di seluruh rantau yang sentiasa berkembang.
Pelancaran ibu pejabat baharu itu turut mencerminkan aspirasi kumpulan ke arah masa hadapan sambil menghargai lebih enam dekad sumbangannya kepada negara.
Berlangsung ketika Malaysia menghampiri sambutan Hari Kebangsaan, pelancaran Menara Merdeka Maybank membawa makna yang lebih mendalam apabila nama Merdeka mencerminkan kedudukan istimewa Maybank dalam sejarah negara serta keyakinannya terhadap kemajuan Malaysia yang berterusan.
Menara itu menjadi simbol bagi sebuah institusi Malaysia yang sejarahnya berkait rapat dengan pembangunan negara dan terus berpegang kepada tujuan untuk menyokong masa depan Malaysia.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata Menara Merdeka Maybank bukan sekadar ibu pejabat baharu, sebaliknya melambangkan kepercayaan yang diberikan oleh generasi rakyat Malaysia kepada institusi itu serta tanggungjawab yang dipikul dalam menyokong kemajuan ekonomi negara.
"Ketika Maybank melangkah ke lembaran baharu, kumpulan akan terus mempertahankan kepercayaan itu berpandukan tujuannya, di samping menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia untuk generasi akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan majlis pelancaran Menara Merdeka Maybank di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Pemodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
Maybank ditubuhkan pada tahun 1960, hanya beberapa tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dengan matlamat memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan serta menyokong aspirasi pembangunan ekonomi negara.
Sepanjang 66 tahun, kumpulan membantu menggerakkan modal, menyokong pertumbuhan perusahaan, memudah cara perdagangan dan pelaburan, memperluaskan rangkuman kewangan serta membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman.
Kini, sebagai institusi kewangan tempatan terbesar negara, Maybank memberikan perkhidmatan kepada lebih 17 juta pelanggan di 18 pasaran, berpandukan tujuannya untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan.
Sebagai institusi yang berteraskan tujuan, aspirasi Maybank disifatkan selaras dengan visi kerajaan dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan progresif.
Melangkaui perbankan, kumpulan terus menyokong keutamaan negara dengan memperluaskan rangkuman kewangan, memperkasa usahawan serta memperkukuh komuniti menerusi inisiatif berimpak tinggi yang dipandu oleh Rangka Kerja Impak Sosial Maybank.
Melalui tumpuan terhadap Pembiayaan Sosial dan Pemerkasaan Sosial berlandaskan tiga teras utama, iaitu Pendidikan, Komuniti dan Alam Sekitar, Maybank terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan, membina komuniti yang lebih kukuh dan berdaya tahan serta menyokong pembangunan mampan di seluruh ASEAN.
Sepanjang lebih sedekad lalu, Maybank menggerakkan RM76.02 bilion menerusi inisiatif pembiayaan sosial dan pemerkasaan sosial yang memberi impak positif kepada lebih 5.76 juta kehidupan di seluruh rantau ini.

