LHDN rekod taksiran tambahan RM4.4 bilion hasil kesan ketidakpatuhan cukai

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan taksiran tambahan berjumlah RM4.4 bilion setakat 30 Jun 2026 menerusi pelaksanaan aktiviti audit dan pematuhan strategik berasaskan risiko bagi mengesan serta menangani kes ketidakpatuhan yang signifikan, termasuk pelarian cukai dan perancangan cukai yang agresif.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan keadilan sistem percukaian terus dipelihara, selain memastikan setiap pembayar cukai memenuhi tanggungjawab mereka secara saksama.

Beliau berkata, pencapaian itu turut mencerminkan komitmen berterusan LHDN dalam melindungi hasil negara dan memperkukuh integriti sistem percukaian.

"Di samping memperkukuh kepercayaan pembayar cukai, LHDN terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti audit dan pematuhan strategik yang berasaskan risiko bagi mengesan dan menangani kes-kes ketidakpatuhan yang signifikan, termasuk pelarian cukai serta perancangan cukai yang agresif.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan keadilan sistem percukaian dipelihara dan setiap pembayar cukai memenuhi tanggungjawab mereka secara saksama," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26, di sini, hari ini.

Persidangan Percukaian Kebangsaan ke-26 dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi LHDN, Tan Sri Johan Mahmood Merican; dan Presiden Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), Alan Chung.

Mengulas lanjut, Abu Tariq berkata, taksiran tambahan yang direkodkan dalam tempoh separuh pertama mencerminkan komitmen institusi berkenaan dalam melindungi hasil negara serta memperkukuh integriti sistem percukaian.

Beliau berkata, walaupun usaha memperkukuh pematuhan percukaian dipergiatkan, perlindungan hak pembayar cukai kekal menjadi keutamaan LHDN.

Katanya, pembayar cukai diberi ruang yang sewajarnya untuk mengemukakan rayuan dan menyelesaikan pertikaian percukaian melalui Jabatan Resolusi Pertikaian yang membolehkan pertikaian diselesaikan secara profesional, adil dan berkesan.

"Pada masa sama, LHDN juga bersikap positif terhadap kes-kes yang dibawa ke mahkamah oleh pembayar cukai kerana pendekatan ini dapat memperkaya literatur percukaian melalui peningkatan kepastian dalam pentafsiran dan pemakaian undang-undang percukaian," katanya.

Beliau berkata, dari perspektif tadbir urus, setiap kes pembayar cukai tertakluk kepada semakan dan pertimbangan menyeluruh di peringkat cawangan, negeri dan ibu pejabat sebelum sesuatu taksiran dibangkitkan.

Katanya, proses itu memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, objektif dan berlandaskan undang-undang, sekali gus mengukuhkan keyakinan pembayar cukai terhadap sistem percukaian.

Dalam pada itu, Abu Tariq berkata, LHDN terus memperkukuh institusi berkenaan menerusi pendekatan Co-operative Compliance yang diperkenalkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), dengan menekankan hubungan berasaskan kepercayaan, ketelusan dan kerjasama antara pentadbir cukai dengan pembayar cukai.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pembayar cukai membayar amaun cukai yang betul pada masa ditetapkan, manakala pentadbir cukai mengamalkan prinsip keadilan, ketelusan dan pemahaman mendalam terhadap realiti perniagaan.

Sehubungan itu, katanya, LHDN komited mewujudkan persekitaran yang seimbang, dengan pematuhan disokong oleh panduan yang jelas, proses yang telus serta pelaksanaan undang-undang yang konsisten, sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan lebih 8.5 juta pembayar cukai aktif di negara ini.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url