Dr. Ahmad Ramzi ditahan
Selepas hampir sebulan menghilangkan diri, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir akhirnya berjaya ditangkap untuk membantu siasatan berhubung ugutan terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II, Hamzah Mohd. Jamil berkata, bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu ditahan di satu lokasi di sini pada pukul 8.30 pagi semalam.
Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk diambil keterangan sebelum keluar menaiki sebuah kereta polis dengan tangan bergari ke satu lokasi yang dirahsiakan pada pukul 12.45 tengahari.
"Beliau ditahan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga ADUN bulan lalu.
"Pihak polis mempunyai bukti untuk mempercayai bahawa beliau terlibat dengan kes ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hamzah memberitahu, dengan petahanan itu, siasatan polis berhubung kes tersebut dijangka selesai dalam minggu ini.
Kelmarin, polis juga telah mendapatkan waran geladah rumah Ahmad Ramzi selepas dia tidak muncul sebaik tempoh 72 jam yang diberikan tamat pukul 3 petang kelmarin.
Katanya, polis merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem dari rumahnya di Kampung Kubang Parit dekat sini.
Menurut Hamzah, ahli politik itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan akan direman di bawah Seksyen 117 Akta Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.
- KOSMO!