Graduan jangan memilih pekerjaan

Mendapatkan pekerjaan bagi menyara kehidupan sendiri dan keluarga adalah harapan tinggi setiap graduan yang baru menamatkan pengajian.

Bagaimanapun, tidak semua daripada mereka akan bernasib baik kerana persaingan sengit dalam pasaran masa kini.

Sehubungan itu, graduan seharusnya menukar minda mereka dan tidak memilih pekerjaan.

Pengarah People Source, Chris Daniel Wong berkata, perlu diingatkan dalam mendapatkan pekerjaan, graduan harus menukar minda untuk tidak memilih pekerjaan yang mengikut bidang kursus yang dipelajari semasa di universiti atau hanya mahukan jawatan yang diminati sahaja.

Sebagai agensi pekerjaan yang mempunyai berpuluh-puluh pelanggan yang terdiri daripada agensi swasta dan multinasional yang sentiasa ingin mendapatkan pekerja berkualiti beliau menjelaskan, sikap-sikap begini hanya akan merugikan graduan sendiri.

"Mereka juga harus mengetahui bagaimana cara untuk mencipta ruang-ruang baru dalam bidang pekerjaan. Ijazah hanya sekeping kertas yang hanya melayakkan anda memohon dan bukannya melayakkan untuk mendapat pekerjaan.

''Kebanyakan graduan lepasan IPT sekarang hanya boleh berbangga dengan sekeping diploma atau ijazah, tetapi masih mundur ilmu. Pengajian yang mereka peroleh dari IPT seolah-olah tidak berguna langsung. Mentaliti mereka ialah apabila tamat sahaja pengajian, mereka bermimpikan gaji yang lumayan dan kesenangan dan kemewahan yang bakal mereka kecapi.

''Mereka juga patut bersedia memasuki alam pekerjaan yang memerlukan pengorbanan tenaga dan masa. Tidak ada alasan untuk tidak mahu bekerja lebih masa atau di luar pejabat.

''Selain itu, ramai graduan menganggur takut untuk memasuki pasaran kerja swasta kerana mereka tahu kelemahan diri mereka sendiri. Kelemahan utama ialah sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris,'' ujar Chris yang berharap dapat menawarkan 1,000 pekerjaan pada karnival tersebut.

Menurutnya, graduan perlulah mengukur baju di badan sendiri dan mengakui hakikat setakat mana sebenarnya kebolehan mereka.

Tanpa kemahiran dan pengetahuan selain dari apa yang dipelajari, jangan harap mereka dengan mudah boleh diterima bekerja sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.

''Saingan hebat masa kini di pasaran buruh sudah tentunya mendatangkan masalah besar kepada graduan menganggur.

"Mereka tidak serius dalam menyediakan diri mereka memasuki alam pekerjaan. Malah sikap malas untuk menilai diri sendiri dan menambah baik prestasi diri mengakibatkan mereka menemui kegagalan setiap kali temuduga.

''Sepatutnya semasa ada masa terluang sementara mendapat pekerjaan, mereka harus melengkapkan 'resume' mereka dengan selengkap yang mungkin, banyakkan membaca untuk menambah ilmu pengetahuan dan cuba berinteraksi dengan sesiapa sahaja.

"Tujuannya untuk mendapatkan keyakinan diri dan tidak takut untuk menghadapi temuduga,'' katanya.

Adalah tidak benar menyatakan tiada pekerjaan yang ditawarkan kepada graduan muda.

Sekiranya seseorang itu berkebolehan, ujar Chris, banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan seperti pelatih pengurusan, eksekutif, pegawai kredit, pegawai logistik, pegawai pembangunan dan penyelidikan dan yang terbaru yang ditawarkan dengan banyak ialah pegawai pusat panggilan.

''Kini banyak syarikat yang menawarkan graduan yang berkemahiran berbahasa selain bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris untuk menjawat jawatan tersebut.

"Oleh itu, rebutlah peluang ini dan carilah pengalaman yang bakal memberi manfaat kepada diri anda sendiri,'' jelasnya yang berharap dengan karnival kerjaya dan keusahawan ini akan membantu kerajaan dan swasta mencapai sasaran mengurangkan pengangguran dan melahirkan modal insan yang global dan glokal.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url