Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera


Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera yang berlangsung minggu lalu di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, menyaksikan Syed Khairul Syed Abdullah, 28, berjaya mengenepikan 11 pencabar lain untuk bergelar juara.

Membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta tiket penerbangan tajaan AirAsia ke Perth, Australia, Syed Khairul atau mesra dengan panggilan Roy Daniel berpeluang menjadi jurucakap produk kesihatan lelaki Vigor, keluaran Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Khairi Mansor, 24, yang menerima RM2,000 dan tiket penerbangan ke Bangkok manakala Hairul Azreen Idris, 21, menduduki tempat ketiga.

Hairul yang juga seorang pelakon dan ahli stunt menerima RM1,000 serta tiket penerbangan ke Phuket, Thailand.

Anugerah Pilihan Juri menerima tiket penerbangan ke Jakarta pula dimenangi Mohd. Halim Mohd. Shah, 27.

Menurut Syed Khairul, kemenangan tersebut amat bermakna dalam hidupnya kerana dia pernah menyertai beberapa pertandingan seumpama itu sebelum ini tetapi gagal meraih sebarang kejayaan.

Katanya, kemenangannya dalam Kacak Bergaya dilihat sebagai platform untuk lebih menyerlah di bidang peragaan atau bidang-bidang lain.

"Saya pernah menyertai pertandingan seperti Hero Remaja pada 2001 dan Maskulin sekitar tahun 2005. Semuanya tidak menang. Sekadar finalis sahaja.

"Apabila saya diumumkan sebagai juara Kacak Bergaya, saya terkejut dan tidak sangka menang.

"Peserta-peserta lain memang bagus dan hebat. Walaupun pertandingan ini amat sengit, saya bersyukur kerana berjaya,'' ujarnya ketika ditemui sejurus selepas diumumkan juara Kacak Bergaya Pancaindera.

Selain Jamu Mak Dara dan AirAsia, Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera turut mendapat sokongan Saloma Bistro selaku penaja lokasi pertandingan, Dzull D'Classique, Gedung Al-Habshee, E-Go Hair & Beauty, Hing Yiap Group, Unionbay, Antioni dan Vogue At Work.

Ruangan Kacak Bergaya diperkenalkan pada 1995 dan pada waktu itu, ia dikenali sebagai Jejaka Minggu Ini.

Kolum tersebut kemudiannya ditukar kepada Kacak Bergaya apabila Pancaindera memperkemaskan pengisiannya.

Meski sekadar ruangan biasa, ia sebenarnya punyai pengaruh kuat dalam membantu mempopularkan mereka yang pernah diberikan peluang menyertai ruangan berkenaan.

Antara nama-nama yang pernah ditampilkan dalam ruangan Jejaka Minggu Ini dan Kacak Bergaya adalah Mazin Ameen Siraj, Iqram Dinzly, Fizo Omar, penyampai radio Suria FM, Tuah Zulkarnain dan ahli sukan seperti Malik Tobias, Zaiful Zainal Abidin serta Shamsuri Ahmad.

Menyambung bicara, Syed Khairul berkata, selain memberi tumpuan pada bidang peragaan dan model, beliau juga mahu mencari peluang berlakon.

"Kalau ada peluang dan tawaran, sudah tentu saya akan mencubanya,'' jelasnya.

Bagi Mohd. Khairi pula, minat untuk menjadi seorang model telah ditanam dalam hatinya sejak kecil lagi.

Gemar bermain boling, dirinya bersyukur kerana bidang itu dapat jua diceburinya atas dorongan keluarga dan rakan-rakan.

"Sebelum ini saya banyak beraksi di pentas peragaan dan model dalam beberapa iklan komersial.

"Menduduki tempat kedua Pencarian Kacak Bergaya menambahkan lagi pengalaman disamping mampu mengukuhkan nama saya dalam bidang berkenaan,'' ujarnya.

Begitu juga dengan Hairul, meski berada di tempat ketiga, ia sedikit sebanyak memberi ruang kepadanya untuk berkecimpung sebagai model.

Pernah membintangi beberapa buah drama seperti Merah Puteh, Terima Kasih Cikgu, Ponti Anak Remaja dan Khilaf, ini merupakan pengalaman pertamanya melakukan peragaan di atas pentas atau catwalk.

"Ia merupakan satu pengalaman yang hebat. Mula-mula memang gementar tetapi saya perlu lakukan yang terbaik jika mahu berjaya.

"Selepas ini, saya mahu menjadi bintang stunt yang terkenal seperti Jackie Chan. Kalau ada tawaran sebagai model, tidak akan saya lepaskan,'' katanya.

Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera telah menerima ratusan penyertaan dari seluruh negara sejak mula dipertandingkan pada Julai tahun lalu.

Daripada ratusan penyertaan, penganjur telah membariskan 12 orang finalis.

Juri bagi pertandingan akhir Kacak Bergaya adalah pelakon Nanu Baharuddin; personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin; pereka Fesyen, Radzwan Radzwill; pembantu khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad, Edd Razhe dan Presiden Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera, Mahani Awang.

Pertandingan akhir dihadiri Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud, barisan artis dan diserikan dengan persembahan daripada Juara MyStarz LG, Wana dan naib juaranya Nashrin, Siti Sarah, Bob (AF2) dan Noryn Aziz manakala Linda Onn bertindak selaku pengacara majlis.

Selain Syed Khairul, Mohd. Khairi dan Hairul, lapan peserta lain yang turut bertanding ke peringkat akhir ialah Mazlan Mokhtar, 27, Mohd. Termizi Roslan, 20, Nur Iz Hirzi Izhar, 22, dan Megat Muhammad Hafifi Megat Mohd. Yusof, 21.

Turut bertanding Mohammad Nadzree Kusairi Shariff, 27, Mohd. Norhalis Shafiq Shamsuri, 23, Mohd. Nazmi Che Nordin, 20 dan Wan Mohd. Amin Wan Derahman, 21.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url