Hoki Asia - Pakistan sekat langkah Malaysia di Separuh Akhir


Skuad negara gagal melangkah ke perlawa- nan akhir Kejohanan Hoki Piala Asia selepas tewas 2-4 kepada Pakistan pada aksi separuh akhir semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan itu menyaksikan skuad negara bermula garang dengan melancarkan serangan ke kubu Pakistan.

Serangan skuad negara yang diketuai kapten, Mohd. Madzli Ikhmar Mohd. Nor ternyata berhasil apabila berjaya merobek gawang Pakistan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang oleh Ismail Abu.

Melihatkan asakan demi asakan daripada skuad negara, Pakistan bangkit memperhebatkan serangan bagi menyamakan kedudukan.

Menerusi satu serangan balas, Pakistan akhirnya berjaya menggegar gawang tuan rumah menerusi pukulan kencang Rehan Butt pada minit ke-19.

Tersentak dengan jaringan penyamaan Pakistan, skuad kendalian Tai Beng Hai mula memperkemas taktik serangan.

Namun, serangan demi serangan yang dilakukan sehingga minit-minit terakhir babak pertama masih belum membuahkan hasil.

Babak kedua bersambung menyaksikan Pakistan beberapa kali mengacah kubu skuad negara.

Hasilnya, Pakistan memperoleh gol kedua menerusi jaringan Akhtar Ali pada minit ke-47.

Pakistan terus mendominasi perlawanan apabila Rehan Butt sekali lagi merobek gawang skuad negara pada minit ke-63 sebelum Haseem Khan meledak gol keempat empat minit kemudian.

Ketika perlawanan memasuki minit terakhir, Ismail berjaya menjaringkan gol kedua skuad negara, namun ia sudah terlambat untuk menafikan peluang Pakistan mara ke final.

Mengulas aksi anak buahnya semalam, Beng Hai tetap melahirkan rasa puas hati atas komitmen yang dipamerkan mereka sepanjang kejohanan.

"Ia satu perlawanan yang sengit menentang Pakistan," kata Beng Hai.

"Apa pun saya berharap skuad negara akan memberi komitmen tinggi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat menentang China nanti.

Terdahulu, Korea Selatan mara ke final selepas menewaskan China 5-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url