Komentar - Teras kukuhkan kewangan Islam
Pensyarah, Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia.
Pengumuman enam teras pakej liberalisasi kewangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Isnin lalu menggambarkan kepentingan liberalisasi atau keterbukaan kewangan dalam era globalisasi.
Berdasarkan statistik, jumlah aset untuk sistem kewangan Malaysia ialah 249 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1987 dan bertambah kepada 384 peratus pada ketika krisis kewangan Asia melanda negara pada tahun 1998 dan peratusan ini pastinya bertambah dengan ketara selepas terlaksana dengan jayanya pakej liberalisasi kewangan.
Secara umumnya, enam pakej liberalisasi tersebut mampu melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan menggunakan strategi mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi negara berorientasikan penstrukturan semula ekonomi yang lebih mampan dengan membawa masuk lebih banyak lagi pelaburan langsung asing (FDI).
Namun secara khususnya pakej ini menekankan betapa pentingnya institusi-institusi kewangan tempatan memperkukuhkan daya saing mereka di era yang semakin kompetitif sejajar dengan pelan Induk Sektor Kewangan 2001.
Ini adalah kerana berdasarkan kajian, liberalisasi kewangan akan meningkatkan operasi kewangan institusi-institusi kewangan dan seterusnya meningkatkan lagi risiko pendedahan luar bersih institusi-institusi berkenaan.
Maka, daya saing merupakan teras kejayaan institusi-institusi kewangan tempatan dalam usaha untuk menempatkan diri sebagai institusi kewangan bertaraf dunia.
Salah satu strategi yang boleh digunakan oleh institusi-institusi kewangan tempatan ialah melalui penggabungan sesama sendiri agar menjadi sebuah institusi kewangan mega yang mampu bersaing secara positif dengan institusi-institusi kewangan asing.
Dengan dasar liberalisasi, para pelanggan akan sedar tentang kepentingan mereka dan mempunyai pilihan untuk memilih institusi kewangan yang dapat menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Institusi-institusi kewangan tempatan mestilah memastikan aspek kecekapan dapat diperolehi untuk penambahbaikan rantaian nilai bagi memuaskan hati pelanggan mereka. Seterusnya menjadikan mereka sebagai pilihan utama pelanggan
Di samping itu, satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah dalam menghasilkan produk-produk yang inovatif. Idea-idea bernas yang dikategorikan sebagai idea di luar kotak seharusnya diberikan perhatian yang sepatutnya supaya dapat diketengahkan sebagai satu produk yang inovatif.
Idea-idea ini tidak seharusnya dibangkul sampahkan. Idea-idea ini selalunya datang daripada seseorang yang luar biasa atau dengan kata lain mempunyai ilmu yang mendalam atau mempunyai kepakaran yang amat tinggi serta tersaring.
Inilah antara cabaran utama institusi-institusi kewangan terutamanya institusi kewangan Islam tempatan dalam memodenkan produk mereka dengan lebih kreativiti dan inovatif berlandaskan hukum syariah, maka sudah semestinya idea ini diberi tempat agar dapat menawan hati para pelanggan baru dan sedia ada.
Institusi-institusi kewangan tempatan seharusnya merebut peluang liberalisasi kewangan ini bagi mendapatkan tenaga-tenaga pakar yang benar-benar hebat dari luar negara.
Mereka diminta menghasilkan produk-produk yang kreativiti dan inovatif bagi membolehkan bank tempatan dapat bersaing dengan bank-bank asing terutamanya bank Islam Mega yang dikawal sepenuhnya pelabur asing dengan sekurang-kurangnya modal berbayar sebanyak AS$1 bilion. Ini seterusnya mempercepatkan lagi agenda negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia.
Keunikan institusi kewangan berbanding industri lain menyerlahkan satu lagi aspek yang amat penting untuk ditangani iaitu amalan pengurusan risiko yang baik. Iktibar daripada dua krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 dan krisis subprima pada masa sekarang sewajarnya memberi pengajaran berguna kepada institusi kewangan tempatan dalam menerapkan amalan pengurusan risiko yang baik.
Sebagai contoh, 110 negara termasuklah negara kita menerusi Bank Negara Malaysia telah menandatangani Basel 1 Capital Accord 1988 dan Basel II (2001-2006) dalam memastikan pengurusan risiko institusi-institusi kewangan di dunia berada pada tahap yang terbaik dan seterusnya memastikan kestabilan kewangan dunia.
Basel II menitikberatkan tiga perkara pokok pengurusan risiko iaitu kecukupan modal, proses peraturan dan pemantauan yang lebih baik terhadap institusi-institusi kewangan dan juga keperluan pendedahan dan pelaporan yang lebih baik.
Jika ketiga-tiga perkara ini dilaksanakan dengan baik maka berkemungkinan besar institusi kewangan tempatan berdiri utuh dalam menghadapi sebarang krisis kewangan.
Ini terbukti ketika krisis kewangan yang melanda negara pada tahun 1997/98, kebanyakan institusi kewangan tempatan tidak mempunyai amalan pengurusan risiko yang baik maka kebanyakannya mengalami masalah besar terutamanya dari segi risiko kredit berdasarkan pinjaman tidak berbayar (NPL) secara puratanya berada pada tahap yang amat tinggi iaitu 9 peratus dan ada di antara institusi kewangan yang mempunyai NPL setinggi 46 peratus daripada jumlah pinjaman.
Ini mewajarkan setiap institusi kewangan tempatan memikirkan dan melaksanakan satu sistem amalan pengurusan risiko yang terbaik bagi memastikan mereka sentiasa berdaya saing dengan institusi-institusi kewangan asing dalam menongkah arus liberalisasi.
Kalau dilihat balik, punca utama berlakunya krisis subprima yang bermula di Amerika Syarikat (AS) ialah kerana kurangnya pendekatan amalan pengurusan risiko yang baik serta nilai integriti dan ketelusan yang rendah di kalangan institusi-institusi kewangan AS.
Ketiga-tiga aspek ini merupakan perkara pokok yang mencetuskan krisis keyakinan dan kepercayaan di seluruh dunia terhadap institusi-institusi kewangan dunia.
Bayangkan sebuah bank yang termasuk dalam kelompok tiga terbesar di dunia seperti Citigroup, kini berada di belakang bank-bank tempatan Malaysia seperti Maybank dan CIMB, maka setiap institusi-institusi kewangan tempatan seharusnya mempertingkatkan lagi integriti, ketelusan dan amalan pengurusan risiko yang baik, seterusnya meningkatkan lagi kualiti akauntabiliti terhadap para pelanggan.
Oleh itu peraturan semata-mata seperti Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) dan Akta Bank Islam tidak dapat menghasilkan sebuah institusi kewangan tempatan yang benar-benar unggul dan berdaya saing tanpa mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas.
Setiap institusi-institusi kewangan tempatan perlu sedar pada masa sekarang bukannya aspek pertumbuhan keuntungan yang tinggi perlu ditekankan tetapi lebih kepada pengekalan keuntungan dalam konteks tanggungjawab sosial kepada masyarakat secara menyeluruh.
Maka dasar-dasar liberalisasi yang diumumkan oleh Perdana Menteri seharusnya bukan sahaja dapat memacu ekonomi negara pada tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan tetapi dapat menghasilkan institusi-institusi kewangan tempatan yang mempunyai anjakan paradigma berlandaskan daya saing yang bertaraf dunia dalam menelusuri era liberalisasi kewangan dan kesejagatan pada masa hadapan.