Lima pelajar ke konsert akhir Akademi Fantasia 7 pada 16 Mei


Lima pelajar termasuk seorang bekas pelajar yang diundi memasuki semula ke dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) mengesahkan kedudukan untuk berentap pada konsert akhir yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, 16 Mei ini.

Pengumuman mengenai keputusan pelajar yang berjaya melangkah ke peringkat akhir diumumkan oleh pengacara AF7, AC Mizal pada penghujung konsert kesembilan yang diadakan di Dewan Sri Putra, dekat sini, malam ini.

Mereka ialah Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18; Mohd. Hafiz Mohd. Suip (Hafiz), 19; Mohd. Yazid Kamal Ibrahim (Yazid), 22; Ismaliza Ismail (Isma), 30, dan serta Khairil Azam Pilus (Aril), 24.

Aril merupakan bekas pelajar AF7 yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh dan diundi masuk semula ke dalam akademi menerusi AFMASUK yang diumumkan oleh Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pada konsert minggu lalu.

AFMASUK memberi ruang kepada penonton mengundi salah seorang daripada 10 bekas pelajar AF7 yang difikirkan layak untuk beraksi pada konsert akhir nanti.

Undian untuk AFMASUK dibuka pada 4 Mei lalu sehingga 9 malam ini.

Sementara itu, dalam konsert minggu kesembilan, Akim mendendangkan dua lagu berjudul Larut nyanyian Dewa 19 dan I'm Yours (Jason Mraz) manakala Yazid (Aku Skandal & Where The Street Have No Name); Hafiz (I Believe I Can Fly & Laskar Pelangi) dan Isma dengan lagu Hot & Cold serta Aku Pasti Datang.

Konsert akhir minggu depan akan menambahkan lagi koleksi pemilik gelaran juara AF yang sebelum ini dipegang oleh Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5) dan Stacy (AF6).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url