Strategi kurangkan kesesakan Puduraya
Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, beberapa tindakan susulan telah dilakukan kerajaan dengan beberapa pihak terbabit, antaranya menghalang penjualan tiket haram, tidak membenarkan bas pelancong mengambil penumpang serta menyediakan tempat khas menunggu bas.
"Terdapat tiga strategi atau langkah untuk mengatasi masalah kesesakan di Puduraya ini, termasuk langkah jangka pendek yang akan dilaksanakan di tempat menunggu bas, teksi serta tempat turun naik penumpang, dan kita jangka pada pertengahan Jun, masalah ini akan selesai," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong-royong bersama penduduk kawasan perumahan kerajaan di Jalan Ang Seng di sini hari ini.
Katanya, bagi mengekang penjualan tiket haram di Puduraya, penguat kuasa akan mula memantau penjualannya minggu depan.
Selain itu, Puduraya akan diubahsuai bagi memberikan keselesaan kepada pengguna dan ia dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.
Untuk jangka panjang, Raja Nong Chik berkata, pihaknya bercadang mewujudkan online ticketing bagi mengelakkan kesesakan di kawasan itu terutama apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah.
"Kita bercadang untuk membawa perkara ini kepada pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) memandangkan ia satu cara terbaik kepada pengguna kerana mereka tidak perlu berebut-rebut hanya untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung atau sebagainya.
"Justeru kita berharap LPKP dapat berunding dengan pengusaha bas dan diharap pembelian tiket secara online dapat dijalankan sekaligus mengurangkan kesesakan orang ramai di Puduraya, " katanya.
Pada 25 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau keadaan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Puduraya, mahu penambahbaikan dilakukan segera bagi mengatasi kesesakan di kawasan terbabit.
- BERNAMA