London - Bandar teater
Oleh MOHAMED JUHARI SHAARANI
Poster Mamma Mia! di belakang bas menyambut ketibaan penulis di Kota London selepas menempuh perjalanan merentasi dua benua (dari New York, Amerika Syarikat) selama tujuh jam yang cukup membosankan, lebih-lebih lagi terpaksa menggunakan penerbangan British Airways.
Penulis amat berbangga kerana muzikal terhebat dunia itu dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur hujung tahun lalu, sekali gus mencatat sejarah sebagai teater antarabangsa paling berjaya dan memperoleh kutipan tertinggi di Malaysia.
Di Kota London, muzikal yang `dihiasi’ koleksi lagu malar hijau kumpulan muzik terkenal Sweden, Abba sudah dipentaskan untuk tahun ke-10 di Prince of Wales Theatre, membuktikan betapa ia mendapat sambutan hangat peminat di bandar raya itu.
Cuaca di London lebih sederhana dingin berbanding New York, sekali gus memudahkan perjalanan kerja penulis. Lawatan kerja dalam pemantauan produksi di West End tidak jauh bezanya dari Broadway, New York.
Apa yang penulis perhatikan, bagaikan menjadi trend syarikat produksi mengadaptasi filem ke muzikal di kedua-dua lokasi ini. Ini boleh disaksikan dengan kehadiran muzikal seperti Zorro The Musical, The Sound of Music dan Dirty Dancing yang mendapat sambutan hebat di West End ketika ini.
Dalam kekangan waktu, kerana kepadatan program dan lawatan kerja tidak membenarkan penulis banyak waktu untuk menonton persembahan di West End. Namun, penulis masih sempat menonton Zorro The Musical di Garrick Theatre sebelum pementasan itu ditutup pada 31 Mac lalu kerana kurang sambutan.
Daripada pemerhatian penulis, garapan muzikal ini agak mantap apa lagi kaya dengan budaya masyarakat Sepanyol, terutama pemaparan muzik dan tarian flamenco yang begitu mengasyikkan. Ruang pentas panggung Garrick Theatre yang kecil meminimumkan pergerakan pelakon dan props produksi ini.
Di lokasi sama, penulis pernah menonton teater adaptasi filem Hollywood, One Flew Over The Chukoo Nest yang menampilkan pelakon terkenal terkenal, Christian Bale. Namun, ia juga tidak dapat bertahan lama di pentas West End.
Satu perkara menarik yang ingin dikongsi, setiap teater di West End akan dipratonton selama sebulan dengan penonton mendapat keistimewaan membeli tiket kadar rendah sebelum sesuatu pementasan itu dibuka secara meluas kepada sesuatu musim.
Di West End juga ada sebuah pementasan yang bertahan selama 57 tahun iaitu teater The Mouse Trap karya Agatta Christie’s di St Martin’s Theatre, manakala Muzikal Blood Brothers bertahan selama 21 tahun di Phoenix Theatre.
Antara pementasan lain yang masih bertahan melebihi 10 tahun di West End ialah Les Miserables,
The Phantom of The Opera, Chicago, The Lion King, Stomp dan Mamma Mia!
Seperti Broadway, London juga mempunyai persembahan Off West End tetapi jumlahnya tidak sebanyak di New York. Persembahan-persembahan Off West End banyak terdapat di luar kota ini.
Satu hal yang menarik kepada peminat teater ke London, mereka mudah mendapat maklumat pementasan di West End kerana adanya panduan pementasan yang diterbitkan setiap dua minggu oleh The Society of London Theatre.
Semua bahan promosi ada di panggung, begitu juga hotel dan restoran di seluruh London. Risalah ini banyak membantu kerana memberi maklumat terkini persembahan teater di West End dan juga di panggung lain serta memuatkan peta bagi memudahkan pelancong.
Lawatan ke London diakhiri dengan menonton filem Slumdog Millionaire yang mendapat anugerah filem terbaik dalam Academy Awards 2008. Filem yang mempunyai jalan cerita yang sangat mantap ini tidak mustahil akan diangkat sebagai teater muzikal sama ada di West End atau di Broadway pada masa depan.