Akibat godaan wanita
Dia memperoleh lebih RM1.2 juta hasil penjualan tanah pusaka di sini, 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, akibat iman cair dan mudah lupa diri, warga emas itu kini kembali meneruskan tugas sebagai pemandu teksi selepas semua wangnya langsai akibat dikikis wanita Thailand yang dikahwini selepas menjadi jutawan segera.
Semuanya bermula apabila dia terpikat seorang pekerja kelab karaoke warga Thailand di pekan Kuah di sini ketika sering berhibur di situ dan mengambilnya sebagai isteri kedua.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Bang Li, 65, bukan saja dikikis isteri mudanya, malah wanita terbabit bermain kayu tiga apabila rela ditiduri lelaki lain di rumah sewa mereka ketika ketiadaannya.
Akibat terlalu kecewa, Bang Li nekad meninggalkan wanita terbabit tanpa menceraikannya pada 2002 walaupun pada awalnya dia sanggup memenuhi segala kehendak isteri mudanya itu kerana bimbang meninggalkannya.
Bang Li yang ditemui di Kampung Pokok Asam di sini, berkata dia mengahwini Aliam yang ketika itu berusia 20-an di Songkhla, Thailand pada Mei 1995 selepas mengenali wanita itu di kelab karaoke selama enam bulan.
“Selepas memperoleh wang pampasan kira-kira RM1.2 juta hasil penjualan tanah pusaka kira-kira 0.8 hektar di Kampung Pokok Asam, saya kerap bersama Aliam dan kami berkahwin di Thailand secara sah sebelum mendaftar semula perkahwinan di Pejabat Agama Langkawi.
“Tanah itu dibeli sebuah syarikat pembinaan dan selepas mendapat wang, saya berhenti kerja sebagai pemandu teksi di sini dan mengambilnya sebagai isteri kedua,” katanya.
Difahamkan, isteri pertama bersama dua anaknya masih menetap di sini selepas Bang Li yang berasal dari Perlis membina sebuah rumah untuk mereka di Langkawi.
Bang Li berkata, ketika pada awal perkahwinan, kasih sayang Aliam terhadapnya makin bertambah, mungkin dia dapat menghidu kekayaan dimilikinya menyebabkan segala kemahuan serta kehendak isterinya dituruti.
Dengan niat mahu meningkatkan ekonomi keluarga, Bang Li membeli sebidang tanah kira-kira 0.4 hektar di Kampung Yuai di sini dan membina sebuah rumah kedai untuk dijadikan restoran yang dirancang diusahakan Aliam.
Bagaimanapun, Bang Li kecewa apabila perniagaan itu hanya bertahan beberapa bulan sebelum Aliam mendesak restoran itu dijual dan mengajaknya berpindah ke Padang Besar, Thailand.
“Saya kecewa tindakannya kerana mahukan dia berniaga, tapi dia tak minat langsung,” katanya yang berpindah ke rumah keluarga Aliam di sebuah kampung berhampiran sempadan Thailand-Kemboja sebelum berpindah ke Klong Ngae, berhampiran Hatyai, beberapa bulan kemudian.
Bang Li berkata, dia turut memberikan isterinya sejumlah wang bagi memulakan perniagaan di kampungnya, namun wanita itu membelanjakannya untuk kegunaan keluarga dan saudara-mara termasuk membeli pelbagai barangan mewah.
“Saya ketika itu bekerja di Langkawi dan dia kerap meminta wang. Setiap kali diminta, saya berinya RM1,000, tapi dua hari kemudian dia meminta lagi kerana tidak cukup,” katanya.
Dia yang sudah kehabisan wang terpaksa bekerja sebagai pemandu bas di Pulau Pinang manakala Aliam yang tidak bekerja tinggal di Pekan Siam, dekat Padang Besar.
Menurutnya, ketika bekerja di Pulau Pinang, isterinya mula bermain kayu tiga dan dia menyedari Aliam berkahwin dengannya hanya kerana mahu mewah.
“Saya tak sedap hati meninggalkan Aliam seorang diri di rumah sewa terbabit selepas mengesyaki dia berlaku curang, sehingga suatu hari saya terserempak seorang lelaki warga Thailand bersama isteri saya dalam rumah.
“Selepas kejadian itu, saya benar-benar kecewa serta tak akan maafkan perbuatan curang Aliam dan meninggalkannya begitu saja di Thailand selepas kira-kira enam tahun hidup sebagai suami isteri,” katanya.
Akibat kejadian itu, Bang Li nekad meninggalkan Aliam, tujuh tahun lalu, yang sehingga kini tidak diketahui khabar beritanya.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila isteri pertama yang ditinggalkan sejak beberapa tahun lalu sanggup menerimanya semula dan sudah berazam untuk melupakan pengalaman pahit dialami.
Bang Li terpanggil untuk mendedahkan pengalaman pahitnya itu selepas membaca laporan Harian Metro berhubung seorang suami warga emas dari Changlun, Kedah, kehilangan RM50,000 selepas beristerikan wanita Thailand, baru-baru ini.
“Kisah saya hampir sama dengan warga emas dari Changlun itu, tapi saya yakin ramai lagi penduduk di sini menghadapi situasi sama terutama mereka yang kerap berhibur di Thailand,” katanya.
Sementara itu, sumber Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi, ketika dihubungi mengesahkan tanah milik warga emas terbabit di Kampung Pokok Asam dibeli sebuah syarikat pembinaan pada 1995 untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan.
Bagaimanapun, Harian Metro difahamkan syarikat terbabit tidak lagi beroperasi dan projek perumahan itu belum dibangunkan.
- HARIAN METRO
tu lah lelaki..pantang tgk perempuan muda, bila dapat anak bini di lupakan, bila susah pandai lagi cari balik anak bini...
jgn salah kan org lain, salah kan diri sendiri..