Karnival Jualan Mega Malaysia mulai 4 Julai 2009
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pelbagai aktiviti menarik direncana sepanjang lapan minggu karnival berkenaan termasuk dimulakan dengan ‘Sambutan Tengah Malam’ pada 4 Julai ini di Bukit Bintang, sebagai salah satu lokasi popular di ibu negara.
“Ini termasuk sambutan dan pertunjukan Festival Samrah dari Timur Tengah di tempat sama setiap Jumaat dan Sabtu bermula 10 Julai ini yang pastinya menarik ramai pengunjung dari negara berkenaan berkunjung ke tempat yang sememangnya disukai pelancong.
“Selain itu, kehangatan penganjuran karnival ini tentu saja bukan hanya dirasai di pusat beli belah, malah di pelbagai tempat lain termasuk di Pasar Seni, Jalan Petaling, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India,” katanya pada sidang media MMSC 2009, di sini, kelmarin.
Karnival berkenaan dijadual dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 5 Julai di pusat beli belah The Pavilion Kuala Lumpur selepas pengunjung dihiburkan dengan persembahan oleh artis tempatan serta pertunjukan fesyen.
Selain itu, majlis perasmian berkenaan bakal dihadiri 44 wartawan dan krew televisyen luar negara termasuk dari Australia, Brunei, China, Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Arab Saudi yang dijemput ke Malaysia di bawah program kerjasama karnival berkenaan.
Sementara itu, pemegang kad MasterCard berpeluang memenangi hadiah perbelanjaan bernilai sehingga RM100,000 di mana ia termasuk 30 hadiah mingguan bernilai RM250 dan satu hadiah mingguan bernilai RM5,000 di bawah Peraduan MasterCard MMSC 2009.
- BERITA HARIAN