Anak Raja Petra mengaku bersalah


Anak kedua editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, yang sebelum ini mengaku bersalah, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap empat tuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta pecah rumah.

Tertuduh Raja Azman, 33, menukar pengakuannya itu di depan Majistret Norkamilah Aziz selepas tuduhan itu dibacakan semula, semalam.

Dia yang diwakili peguam J Chandra dan Amerjeet Singh Sidhu, dituduh mencuri sebuah telefon bimbit Nokia, seutas jam tangan jenis Seiko dan satu rangkai kunci motosikal yang semuanya dianggarkan bernilai RM3,850 daripada kediaman seorang pelajar, Saiful Adli Mohamad Yunus, 21, di No 16, Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2, Shah Alam, kira-kira jam 10 pagi pada 24 April lalu.

Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dia juga dituduh memiliki harta curi, iaitu motosikal Yamaha 135 LC bernombor pendaftaran NBT7332 bernilai RM6,000 milik pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, di Nombor 3, Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong, kira-kira jam 10.40 malam, 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Tertuduh turut dituduh memecah masuk rumah pekerja kilang, Mohd Syaiful Setapa, 24, dan mencuri beg duit yang mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) Maybank dan BSN serta lesen memandu kepunyaan mangsa dan mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ dengan nombor pendaftaran BJQ9597.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 457 kanun sama, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda manakala dakwaan mengikut Seksyen 379A kanun sama, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Norkamilah kemudian menetapkan 14 hingga 16 September ini sebagai tarikh perbicaraan.

Sementara itu di luar mahkamah, Chandra berkata beliau dilantik keluarga Raja Azman untuk mewakili tertuduh.

Katanya, isu mengenai siapa yang akan menjadi penjamin dan membayar jaminan RM10,500 yang dikenakan terhadap Raja Azman ketika kali pertama dia didakwa di mahkamah pada 19 Mei lalu, belum diputuskan lagi.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url