Cerita mengenai Shukery
Orangnya sangat sederhana. Senyuman tidak pernah lokek diukirnya. Sangat disenangi oleh rakan-rakan dan ketika di lokasi penggambaran, seniman ini jarang sekali mahu mengambil tahu hal orang lain melainkan sakit demam mereka yang ada di sekelilingnya.
Lantaran itu, tidak hairanlah kenapa Shukery Hashim akan terus dikenang sebagai pelakon lelaki yang bukan saja berkarisma, tetapi luhur pekertinya.
Namun, semua itu telah dibawa pergi oleh seniman itu buat selama-lamanya. Pada tengah hari kelmarin, Shukery kembali ke rahmahtullah.
Yang akan menemani mereka yang pernah mengenali Allahyarham serta peminat-peminatnya hanyalah lakonan-lakonan beliau.
Bercerita mengenai seniman itu yang meninggal dunia pada pukul 1.45 petang kelmarin di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur, aktor popular, Rosyam Nor berpendapat, Shukery bukan sekadar seorang teman pelakon.
Sebaliknya, peranan yang dimainkan oleh Shukery dalam kehidupannya sangat besar seperti seorang abang buatnya.
"Saya kehilangan seorang abang. Allahyarham banyak memberi nasihat selain sering mendoakan kejayaan saya. Budi baik Allahyarham sudah tentu akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya," kata Rosyam berkongsi rasa dengan Hits sebaik mendapat berita duka itu.
Allahyarham Shukery kata Rosyam, sering mengingatkannya agar jangan mudah lupa diri ketika menempa kemasyhuran dan kekayaan.
Bahkan dalam perbualan kali terakhir seminggu sebelum hayat terakhir Shukery juga, Rosyam terus diingatkan mengenai kepentingan menjaga peribadi sebagai anak seni.
Rosyam mula mengenali Shukery ketika Allahyarham berkhidmat dengan Filem Negara Malaysia (FNM) kira-kira 23 tahun lalu.
"Ketika itu, saya baru berusia 18 tahun dan bekerja dengan Pansha manakala arwah bekerja di sana (FNM). Saya sering berurusan dengan arwah," cerita Rosyam mengenang titik permulaan hubungan beliau dengan Allahyarham Shukery.
Dalam perbualan terakhir itu juga, Allahyarham Shukery ada memberitahu Rosyam bahawa beliau sangat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian kehidupannya sepanjang hayatnya.
Menurut Rosyam, Allahyarham memberitahunya, betapa dengan hasil lakonan juga beliau dapat memberi kegembiraan pada isteri dan anak-anaknya.
"Arwah juga berkata kehidupannya dahulu tidak semewah orang lain tetapi berkat kerja keras, arwah dan keluarganya boleh hidup selesa. Itu sangat-sangat menggembirakan arwah," kata Rosyam menyambung perbualan.
Di mata Rosyam, Allahyarham Shukery merupakan seorang pelakon versatil dan kualiti yang ada pada seniman itu sangat-sangat 'dicemburuinya'.
Shukery atau nama sebenarnya Mohamad Shukery Hashim yang dilahirkan pada 25 Oktober 1954 meninggal dunia kelmarin akibat kanser pankreas yang dialaminya sejak tiga bulan lalu.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke kediamannya di Ampang, Selangor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, Hulu Kelang, Selangor.
Bermula sebagai kakitangan di Filem Negara Malaysia, Allahyarham Shukery merupakan seorang seniman yang berjiwa luhur.
Lebih suku abad aktif sebagai anak seni, peribadi Shukery sangat disegani ramai.
Lalu, kehilangan pelakon yang sepanjang hayatnya begitu aktif berlakon drama bukan saja dirasakan oleh seluruh ahli keluarganya, sebaliknya, mereka yang pernah mendampingi Allahyarham semasa di lokasi penggambaran sudah tentu akan turut merasa sedih dengan pemergian Shukery ke alam barzakh.
Allahyarham Shukery meninggalkan isteri, Faridah Md. Desa, 51, serta lima orang anak serta tiga orang cucu.
Dan bagi seorang lagi teman yang mula mengenali Allahyarham sejak tahun 1997, Rashid Sibir pula, pelakon hebat seperti Shukery bukan hanya merancakkan lagi industri drama dan perfileman tanah air.
Sebaliknya, apa yang wajar dikenang mengenai Allahyarham ialah beliau merupakan seorang insan seni yang mempunyai peribadi sangat mulia.
"Arwah tidak pernah meninggi diri, jauh sekali mencemburui orang lain. Sifat rendah diri yang ada padanya menyebabkan beliau disenangi ramai," kata Rashid yang mula bekerjasama dengan Allahyarham menerusi drama bersiri Mat Despatch.
Selain puluhan drama yang dilakonkan Allahyarham semenjak tahun 1984, Allahyarham Shukery juga pernah membintangi filem Rahsia pada tahun 1987, Syahadat (1990-an) dan Seri Dewi Malam (2001).
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Allahyarham Shukery juga pernah menerima beberapa gelaran sebagai mengiktiraf kerja-kerja seni beliau seperti Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada tahun 1990, Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular (1995).
- UTUSAN
moga rohnya dicucuri rahmat..