Meletakkan tarikh berlaku kiamat adalah khurafat
Kebanyakan yang diperkatakan bakal berlaku sebelum ini bukan saja oleh papan web, ahli ramal dan kalendar kaum tertentu sudah pun berlaku walaupun tidak semestinya tepat seperti dikatakan tetapi hampir menyamai apa diramalkan.
Contohnya, ramalan yang dibuat akan berlaku gempa bumi pada 2004, tahun itu juga terjadinya tsunami yang menggemparkan dunia. Begitu juga ramalan mengenai serangan Anthrax, sejenis bakteria yang membiak menerusi penyebaran spora pada 2001 dan taufan Katrina pada 2005.
Semua peristiwa serta bencana alam yang pernah diramalkan itu baik oleh tukang ramal, kitab agama, program dikembangkan laman web di internet atau perkiraan berasaskan ilmu matematik, sudah berlaku.
Satu lagi ramalan, pada 2012 nanti akan berakhirnya riwayat bumi. Ini dikuatkan dengan tarikh tepat dalam kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan di Mexico iaitu kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012.
Suku Maya terkenal dengan kebolehan mereka dalam ilmu matematik dan astronomi. Kalendar itu secara misteri berakhir dengan satu tarikh pengakhiran hari iaitu 21122012. Fakta menarik itu kini dijadikan jalan cerita sebuah filem.
Sedutan filem mengenai kononnya akan berlaku kiamat pada 2012 itu boleh ditonton melalui internet yang memaparkan seorang sami Buddha berlari ke arah menara amaran untuk mengetuk gendang memberitahu masa dinantikan sudah tiba.
Menggunakan teknologi terkini dalam pembikinan filem, kelihatan timbunan salji daripada gunung di belakang menara menunjukkan permulaan kepada kemusnahan. Persoalan di timbulkan filem bakal ditayangkan pada 13 November akan datang, apakah kerajaan dunia bersedia menghadapi saat itu.
Mencari maklumat berkaitan 2012, akan menemukan banyak laman web serta sedutan video yang mengupas mengenainya bukan saja di kalangan bukan Islam, juga umat Islam yang turut mengambil peluang membahaskan ramalan dikatakan berasaskan fakta itu.
Dengan adanya filem yang bakal ditayangkan nanti, perbicaraan mengenainya akan jadi lebih menarik kerana sekarang ini pun sudah timbul persoalan, benarkah itu tarikh kiamat dan kehancuran dunia? Bagi yang mempercayainya, mungkin akan terkesan.
Pengarah Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Mohd Zaidi Ismail berkata, merujuk filem 2012 atau ramalan berasaskan perkiraan kalendar suku Maya, semua berbalik kepada penerimaan atau pemikiran masyarakat umum.
“Semua itu terpulang kepada kerangka minda seseorang tidak kira yang muda atau dewasa. Jika sebelum menonton filem 2012 mereka sudah menganggap bahawa fakta itu betul, mereka menganggapnya sebagai betul. Dan begitu juga sebaliknya.
“Apapun, untuk menentukan sama ada apa yang dikatakan tukang ramal iaitu pada 21 Disember 2012 nanti akan berlaku kiamat, kita perlu menunggu tibanya tarikh itu kerana jika tidak berlaku, ia hanyalah ramalan,” katanya.
Beliau berkata, yang lebih penting bagi umat Islam ialah mengingati mati kerana ia adalah pasti dan untuk itu persediaan perlu dilakukan bagi menempuh alam satu lagi yang bermula sebaik saja menghadapi saat kematian.
Katanya, jika kiamat berlaku sebelum tarikh yang digembar gemburkan itu pun, umat Islam tetap perlu bersedia menempuh alam satu lagi yang ilmu mengenai di luar jangkauan pemikiran manusia tetapi menjadi sebahagian daripada rukun iman.
Oleh itu, bila tarikh kiamat atau saat kematian, bukan perkara utama sebaliknya tumpuan umat Islam ialah mempersiapkan diri dengan bekalan secukupnya bagi memastikan dapat menempuh saat itu dalam keadaan dimudahkan.
“Apapun, fokus utama kita ialah persediaan menghadapi alam selepas mati. Itu yang lebih penting bagi orang Islam, sebab kita meyakini seperti juga orang Islam yang sudah meninggal sebelum ini yang tidak sampai menunggu saat kiamat, persediaan itu yang penting dan diutamakan.
“Takkan nak tunggu kiamat atau jika kita tahu saat kematian baru nak bertaubat. Umat Islam kena jelas dengan apa yang menjadi agenda utama mereka. Sebab itu Allah SWT sudah jelaskan kiamat itu adalah ilmu Allah SWT.
“Kiamat pasti berlaku tetapi bila waktunya, kita tak tahu. Ada sebahagian tanda Nabi sudah khabarkan pada kita. Sama ada tanda itu berlaku atau tidak, ia tak penting kerana kita perlu bersedia dengan amal baik untuk alam lain,” katanya.
Dr Zaidi turut mempersoalkan tujuan pihak tertentu memperbesarkan soal ramalan mengenai kiamat kerana pada anggapannya, bagi yang meyakini kiamat sudah hampir pasti akan khuatir dengan nasib diri mereka.
Mungkin ada yang akan mencari jalan untuk melewatkan waktu itu memandangkan dunia inilah kehidupan mereka atau cuba mengelak daripada menjadi mangsa bencana termasuk keluar daripada bumi serta mencari planet lain.
Katanya, amalan membuat ramalan akan datang dan pergi kerana manusia sentiasa mencari serta bertemu perkara baru sementara bagi pembikin filem pula, mereka memerlukan sesuatu yang boleh memikat penonton bagi mengaut keuntungan.
“Di sebalik penerbitan filem ada motif keuntungan. Jadi, mereka perlu mencari sesuatu yang boleh menarik perhatian penonton. Kisah dunia nak kiamat bukan pertama kali difilemkan tetapi dengan adanya rujukan daripada suku Maya, ia jadi lebih menarik.
“Jika perkara hambar, siapa hendak menonton dan dengan teknologi canggih serta kesan khas yang dihasilkan, ia boleh mencetus fenomena. Sama ada percaya atau tidak, itu terpulang kepada penonton juga. Secara peribadi saya juga ingin menonton filem 2012 ini,” katanya.
Beliau berkata, kajian mengenai bumi sudah dilakukan sejak sekian lama dan pertukaran cuaca yang berlaku sekarang adalah kesan alam sekitar yang parah di mana sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan situasi.
Katanya, daripada segi menjaga alam dan berlaku adil kepada segenap komponen alam sudah menjadi tanggungjawab khalifah.
Paras air laut makin meningkat kerana pencairan kutub utara dan selatan disebabkan kepanasan yang semakin meningkat memang berlaku dan jika tidak dikawal atau diambil tindakan secara bersepadu akan menyebabkan bencana besar berlaku.
“Pertukaran cuaca dan kesan alam sekitar yang parah memerlukan kita mengambil langkah segera untuk menyelamatkan situasi supaya tidak menjadi makin teruk. Tanpa percaya kiamat hampir tiba pun kita perlu ambil tindakan kerana kewajipan pada alam.
Pensyarah di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Mat Rofa Ismail berkata, berdasarkan kajian kosmologi memang matahari dalam era separuh umur dan berlaku perubahan daripada segi fizikal.
Bagaimanapun katanya, walaupun matahari di peringkat sekarang, hayatnya masih panjang dan mengikut kajian sains lebih banyak perkara boleh berlaku secara tiba-tiba di angkasa raya umpamanya galaksi pecah.
Oleh itu, katanya untuk meletakkan tarikh tertentu bagi mengatakan bahawa bumi akan menghadapi saat kehancurannya adalah khurafat dan masyarakat tidak boleh terpengaruh dengan andaian seumpama itu.
“Faktor sains hanya dapat menjawab persoalan kecil daripada kosmos. Memang ada tanda bumi sekarang bergerak perlahan dan persekitaran juga bergerak perlahan. Akhirnya bumi akan berhenti berputar dan jika siang selama 30 jam, bumi akan terbakar.
“Itu adalah akademik kerana berdasarkan benda kita boleh jangka umur. Kajian radioaktif membolehkan pakar sains menjelaskan perubahan yang berlaku. Bagaimanapun, ketepatan masih dipersoalkan,” katanya.
- BERITA HARIAN