Ejen wajib guna pelekat kenderaan SPR
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pelekat itu diperkenalkan selepas menimbang rayuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya disediakan satu kaedah terbaik bagi memudahkan mereka mengawal lalu lintas di kawasan mengundi.
Katanya, memandangkan tugas anggota polis amat berat pada hari mengundi nanti, kaedah memasang pelekat kenderaan itu membolehkan mereka nampak dari jauh kenderaan yang boleh memasuki kawasan mengundi, sekali gus memudahkan tugas kawalan kenderaan.
"SPR membuat keputusan untuk memberikan pelekat kenderaan berwarna kepada parti bertanding seperti biru kepada Barisan Nasional (BN), hijau (Pas) dan oren (Bebas) dengan saiznya boleh dilihat dari jauh.
"Setiap parti politik diberikan 100 pelekat dan ia harus diletakkan pada sebelah kanan cermin depan kenderaan yang digunakan membawa pengundi," katanya selepas mesyuarat panel SPR, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi dan Pengarah SPR negeri, Ab Rahim Md Salleh.
Abdul Aziz berkata, penggunaan pelekat itu pada awalnya sudah dipersetujui pada pilihan raya kecil Penanti baru-baru ini, tetapi dibatalkan kerana wujudnya masalah berkaitan dengan penguatkuasaan dan kali ini akan dilaksanakan sepenuhnya di Manek Urai nanti.
Katanya, dengan memperkenalkan kaedah baru itu, kenderaan membawa pengundi tidak lagi dibenarkan meletakkan logo parti masing-masing pada kenderaan.
Beliau berkata, bagi kenderaan persendirian, mereka tidak perlukan pelekat dan akan dibenarkan memasuki jalan ke tempat mengundi.
"Melalui penggunaan pelekat kenderaan ini, SPR dan polis ingin memastikan hanya jalan itu digunakan untuk orang membawa pengundi saja, sekali gus mengatasi kesesakan kerana jalan di DUN Manek Urai agak sempit," katanya.
Abdul Aziz berkata, seramai 400 petugas SPR terbabit dalam pilihan raya kecil Manek Urai, dan beliau berharap suasana aman sepanjang hari penamaan calon, tempoh kempen dan mengundi sebagaimana di Penanti.
"Apa yang berbeza di Manek Urai nanti, BN akan bertanding dan SPR akan terus menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan pilihan raya ini aman," katanya.
- BERITA