Generasi muda perlu berpekerti - Raja Nazrin

Generasi masa depan di negara ini bukan sahaja perlu memiliki keputusan akademik cemerlang tetapi juga perlu dilengkapi dengan pekerti dan ciri kepimpinan baik untuk menghadapi pelbagai cabaran sebagai bakal pemimpin negara, titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Baginda bertitah di samping kecemerlangan akademik, mereka juga perlu dilengkapi dengan tiga elemen - kesopanan dan kesusilaan, menghargai kepelbagaian dalam masyarakat dan berfikiran kritikal dan bijak membuat keputusan - untuk berjaya dalam dunia moden.

"Kesopanan dan Kesusilaan (yang merupakan prinsip kelima Rukun Negara), mendefinisikan siapa diri kita. Ia mencirikan hubungan kita. Ia merupakan disiplin bagi kehidupan sebagai satu masyarakat.

"Ia memberikan kestabilan yang diperlukan masyarakat moden," titah baginda pada majlis penyampaian anugerah Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin dekat sini hari ini.

Baginda bertitah dalam situasi krisis, kesopanan memastikan rasa hormat antara satu sama lain, di mana perbincangan konstruktif akan dipilih berbanding tindakan ganas yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

"Tetapi kesopanan perlu seiring dengan kesusilaan. Ia bukan sekadar perilaku sosial yang beradab sopan tetapi turut melibatkan kebolehpercayaan masyarakat terhadap tindakan seseorang," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah kesopanan menjadi ciri penting tentang bagaimana seseorang itu berkelakuan dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan di tempat kerja.

"Besarlah harapan beta bahawa melalui kesopanan dan kesusilaan, pemikiran kritial dan bijak membuat keputusan, selain tahap kebijaksanaan anda yang tinggi, anda semua akan berjaya mengharungi setiap krisis dengan lebih tabah dan bijak," titah baginda.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url