Hitam itu menawan!


Ringkas, perkataan yang paling tepat untuk menterjemahkan konsep hiasan dalaman rumah seorang pengusaha syarikat bas ekspres yang enggan dikenali, berasal dari Pantai Timur.

Perabot berwarna hitam menjadi pilihan bagi kediaman kondominium yang terletak di pinggir ibu kota ini. Dari ruang tamu, dapur dan bilik tidur dilengkapi dengan perabot kulit yang keseluruhannya berwarna hitam.

Pun begitu, mungkin untuk mencerahkan ruang rumah, sebuah sofa berbentuk L berwarna coklat muda diletakkan di ruang tamu berhadapan dengan almari rendah yang menempatkan televisyen dan set hi-fi.

Menurut ibu kepada pemilik rumah ini yang tinggal bersama-sama, Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalullail, beliau bersama suami, Salleh Datuk Biji Sura dan anaknya itu telah tiga tahun tinggal di kondominium ini.

''Orang berusia seperti saya memang sesuai tinggal di rumah sebegini kerana kita tidak bimbang akan keselamatan dan tidak perlu membersihkan kawasan sekeliling rumah,'' kata Sharifah Aini yang kini berusia 68 tahun.

Mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, unit kondominium ini dibeli pada harga hampir RM200,000. Ruang rumah yang selesa bagi sebuah keluarga kecil sememangnya sesuai dengan mereka.

Katanya, anaknya itu memang sukakan gaya hiasan yang ringkas dan berpadanan dengan dirinya yang masih bujang.

Bertemu dahulu dengan ruang dapur dan ruang makan apabila memasuki rumah ini, satu set meja makan enam kerusi berwarna hitam disusun kemas berhadapan dengan ruang dapur.

Pada dinding sebelah kiri, dua buah kerusi rendah mengapit meja empat segi tempat kesukaan bagi pemilik rumah membaca suratkhabar atau melabuhkan punggung apabila pulang dari pejabat.

Agar rumah tidak nampak malap, pemiliknya memasang kertas dinding dengan gabungan dua warna, iaitu ungu muda dan ungu terang. Empat buah lukisan abstrak cat minyak menghiasi dinding.

Sementara itu, pada beranda rumah turut diletakkan sebuah televisyen yang dilekatkan di dinding panel kayu. Sebuah katil sofa diletakkan berhadapan dengan televisyen.

''Ruang ini berangin dan nyaman pada waktu malam. Kebiasaannya anak saya gemar baring-baring di sini sambil menonton televisyen. Kadang-kadang kami bertiga duduk di sini selepas makan malam sambil menikmati teh panas,'' ujar Sharifah Aini mengakhiri pertemuan.

Turut menemani, anak perempuannya, Wan Anitabanun Salleh.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url