Islam utamakan muzakarah berbanding debat - Harussani

Islam lebih mengutamakan proses muzakarah atau perbincangan berbanding mujadalah atau berdebat dalam soal perpaduan Ummah, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata Islam juga tidak menolak perdebatan untuk berhujah dan berdepan dengan individu atau kumpulan bukan Islam, khususnya dalam soal berkaitan akidah sepertimana ketika Nabi Musa berhadapan dengan Firaun.

"Dalam Islam lebih baik muzakarah (dalam soal perpaduan Ummah). Lebih baik duduk semeja dan berunding daripada berdebat," kata mufti itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cabaran Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka.

Nik Abdul Aziz mencabar Najib berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Sebelum ini, cadangan muzakarah mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditolak pakatan pembangkang.

Nik Abdul Aziz yang menentang keras idea kerajaan perpaduan dilaporkan berkata debat itu boleh dianggap cara nabi, pada zaman Nabi Musa berdepan dengan Firaun.

"Debat itu wajar kalau hendak hujah dengan bukan Islam contohnya tentang akidah tapi ini untuk mencari jalan kepada perpaduan (sesama Islam)... Jadi lebih baik utamakan muzakarah," kata Harussani.

"Kalau hendak bincang soal polisi bolehlah berdebat tapi ini untuk mencari jalan dalam soal perpaduan," kata Harussani.

Ramai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Najib supaya tidak melayan cabaran berdebat dari Nik Aziz itu yang disifatkan sebagai membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.

Bagi pensyarah media dan komunikasi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, kedua-dua proses muzakarah dan perdebatan adalah penting untuk mencari titik pertemuan dalam sebarang perkara.

"Ianya ibarat dua keretapi berhenti di stesen yang sama," kata Abu Hassan.

Katanya, ia perlu dilihat sebagai proses bersekutu dan bukannya berseteru.

"Tamadun juga dibina atas dua proses ini (perbincangan dan perdebatan). Malah di Parlimen juga berasaskan kepada dua proses ini yang saling melengkapi," kata Abu Hassan.

Namun pensyarah media itu berkata proses itu hanya akan berjaya, jika kedua-dua pihak benar-benar ikhlas untuk mencari titik pertemuan dalam soal perpaduan itu.

Soalnya sejauhmana pihak terbabit terutama PAS melihat kepada kepentingan perpaduan Melayu ini, katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url