Isu ulama punca tewas - Mohamad Sabu

Bekas Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu yang tewas pada perebutan jawatan Timbalan Presiden menyifatkan isu ulama menjadi punca kekalahannya pada pemilihan Muktamar Tahunan Pas di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan itu membuktikan Pas belum bersedia untuk dipimpin golongan profesional mahupun aktivis parti, sebaliknya secara jelas menyatakan kepemimpinan ulama masih relevan untuk menerajui parti.

"Ulama adalah satu isu mempengaruhi keputusan ini. Saya menerimanya dengan hati terbuka... biasalah dalam pertandingan pasti ada yang kalah dan menang. Saya serahkan kepada ahli dan perwakilan untuk membuat keputusan.

"Kecewa...tidak sama sekali, saya menawarkan diri untuk bertanding kali ini juga melihat kepada sokongan daripada akar umbi," katanya.

Husam dakwa sikap parti berat sebelah

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang gagal merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas ke-55 di sini, semalam mendakwa kekalahannya disebabkan sikap parti yang berat sebelah dan elemen luaran yang tidak berpihak kepadanya sepanjang kempen pemilihan kali ini.

Beliau berkata, dirinya juga dijadikan 'kambing hitam' oleh pihak tertentu yang menghentamnya dalam laman blog anti-Husam berhubung pendiriannya mengenai isu muqabalah dan muzakarah hingga menimbulkan persepsi negatif pada peringkat akar umbi.

Selain itu, katanya, beliau juga tidak boleh menyuarakan kritikan secara terbuka dan banyak program parti yang tidak menyebelahinya sehingga sukar baginya menepis pandangan berat sebelah dan kritikan terbuka daripada pelbagai pihak.

"Saya terima kekalahan ini dengan hati terbuka, sebab saya tahu lebih awal, saya akan kalah.

"Saya tidak melaksana satu kempen agresif... dan kalau lihat banyak elemen yang tidak menyebelahi saya, termasuk program parti. Pada pendapat saya sedikit sebanyak berlaku berat sebelah dan saya tahu cabaran besar di hadapan saya terutama saya tidak boleh menyatakan secara terbuka kritikan atau pandangan saya yang berbeza.

"Oleh itu, maklumat sebelah pihak disebarkan melalui pelbagai cara dan kerana dalam suasana seperti itu kalah lebih mudah daripada menang," katanya di sini.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url