Hutang pendidikan wajib dibayar segera

Oleh ABDUL BARI AWANG
Penolong Profesor Jabatan Fikah dan Usuluddin
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Pelajar bersifat terpuji perlu meletakkan bayaran pinjaman sebagai agenda utama hidup

Dalam Islam, hutang dianggap satu perkara yang amat besar dalam kehidupan seharian seorang Muslim kerana ia boleh ‘mengganggu’ perjalanan roh seseorang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Roh seseorang Mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu diselesaikan." Dalam kitab Tuhfah Al-Ahwazi ada menyebut Imam al-Syayuti menghuraikan makna roh tergantung dengan maksud roh itu terhalang dalam perjalanannya menuju ke makam mulia, manakala al-Iraqi pula berpendapat bahawa urusan roh itu sama ada dalam kategori roh yang beroleh kejayaan (kesenangan) atau kebinasaan (kesengsaraan) dibekukan sehinggalah hutangnya diselesaikan.

Ia bermakna walaupun seorang Mukmin itu cemerlang amalannya di dunia, namun rohnya tidak mampu menuju ke tempat mulia di alam selepas kematian disebabkan hutang yang tidak dilangsaikan.

Sekali pun cemerlang dan hebat ibadat seorang Mukmin di dunia, rohnya tidak akan mencapai tahap kejayaan dan kesenangan selepas kematiannya disebabkan oleh hutang yang perlu ditunaikan.

Imam al-Shaukani pengarang kitab Nailul Authar berpendapat hadis ini sebagai faktor pendorong kepada pewaris supaya bertanggungjawab menyelesaikan hutang si mati.

Penyelesaian hutang si mati mesti dijadikan agenda utama pewaris sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan jika si mati ada meninggalkan hutang. Al-Quran al-Karim adalah perundangan tertinggi bagi umat Islam menyebut keutamaan yang mesti dilakukan pewaris selepas kematian adalah melunaskan hutang si mati.

Dalam surah al-Nisa ayat 13, Allah hanya membenarkan agihan pewarisan harta si mati kepada pewaris yang layak sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Jelaslah dalam Islam hutang bukanlah perkara kecil yang boleh dianggap mudah dan ringan. Imam al-Bukhari meriwayatkan antara doa yang dibaca Nabi Muhammad SAW dalam solat Baginda selepas bacaan Al-Tahiyyat dan sebelum memberi salam keluar ialah doa meminta perlindungan kepada Allah daripada bebanan hutang.

Budaya berhutang bukan budaya Islam walaupun kini berhutang semacam budaya bagi orang yang ingin menjaga imej dan status.

Antara bentuk hutang pada hari ini ialah penggunaan kad kredit, sama ada kad kredit itu berasaskan sistem riba atau sistem sifar riba.

Kad kredit adalah ‘jerangkap samar’ yang mengundang kesengsaraan kepada pengguna jika tidak diawasi dengan perancangan kewangan rapi dan teratur.

Fenomena sudah jatuh ditimpa tangga menanti pengguna kad kredit yang terbabit dengan sistem riba. Ia kerana pengguna akan berhadapan dengan tanggungan hutang yang akan bertambah dari sehari ke sehari dan pada masa sama ulama sepakat menyatakan bahawa penggunaan sistem riba sama ada dalam penggunaan kad kredit atau mana-mana pinjaman adalah diharamkan.

Qawaid Fiqhiyyah ada menyebut setiap pinjaman yang ada manfaat kepada pemberi pinjam adalah riba dan ulama sepakat mengatakan riba adalah diharamkan.

Unsur riba yang ada dalam bentuk pinjaman ini mengundang hilangnya berkat dalam kehidupan seorang Islam. Dalam surah Al-Baqarah ayat 276, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah”.

Lebih daripada itu ulama juga sepakat menyatakan bahawa orang yang terbabit dalam sistem riba berada dalam kelompok manusia yang diperangi oleh Allah. Allah berfirman dalam surah yang sama ayat 278 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkan perang dengan Allah dan Rasul-Nya”.

Dalam konteks Malaysia hari ini, kebanyakan mahasiswa di menara gading memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana mereka amat memerlukan sumber kewangan untuk menunaikan kewajipan menuntut ilmu.

Mereka meminjam bukan bertujuan untuk menikmati kemewahan hidup. Pelajar yang berjaya memasuki institut pengajian tinggi (IPT) perlu membayar yuran pengajian ditetapkan oleh IPT dan pada masa yang sama mereka juga perlu menampung kos sara hidup selama mereka bergelar mahasiswa dan mahasiswi.

Justeru, bagi pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan mereka melihat kemudahan pinjaman ini amat perlu dan tanpa kemudahan ini impian mereka untuk memiliki diploma atau ijazah hampir mustahil.

Dengan ini, pelajar IPT yang berdaftar di bawah PTPTN sebagai peminjam secara automatik menjadi mahasiswa berstatus orang yang berhutang. Dalam Islam status ‘orang berhutang’ kerana keadaan terpaksa diharuskan jika mempunyai niat dan keazaman yang amat tinggi untuk membayar balik hutangnya, manakala status ‘orang berhutang’ tanpa sebab yang sewajarnya, apatah lagi jika berhutang dengan berniat untuk tidak membayar balik hutang itu dianggap hina.

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika seseorang itu berhutang, apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia mungkir."

Dalam hadis yang lain Imam al-Bukhari meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (atas asas hutang) dan berniat membayarnya, maka Allah akan tunaikan niatnya itu. Tetapi sesiapa yang mengambilnya dengan niat akan membinasa (dengan tidak membayar), Allah akan membinasakan orang yang berhutang”.

Justeru, hutang dalam Islam wajib dibayar dengan kadar segera. Orang yang berniat tidak akan membayar hutangnya adalah melakukan dosa besar dan disamakan dosanya seperti dosa seorang pencuri.

Ibn Majah meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berhutang dan dia bercita-cita tidak akan membayarnya, dia akan menemui Allah sebagai seorang pencuri.

Ulama terdahulu mengeluarkan fatwa bahawa orang berhutang yang berkemampuan membayar balik hutang tetapi enggan melunaskan hutang itu apabila tiba masa yang ditetapkan dikategorikan sebagai orang yang zalim, bersalah dan layak dihukum.

Dalam sejarah Islam Kadi Suraih, seorang hakim yang amat terkenal dengan keadilannya adalah hakim pertama menjatuhkan hukuman tahanan ke atas orang berhutang yang mampu membayar hutang tetapi enggan melaksanakan kewajipan membayar hutang.

Ibn Qudamah mengharuskan keputusan hakim yang menjual harta milik orang yang ditahan kerana keengganannya membayar hutang jika selepas ditahan orang itu masih enggan melunaskan hutangnya.

Ulama silam sepakat mengeluarkan fatwa harus menguatkuasakan peraturan menghalang orang berhutang daripada bermusafir atas tuntutan pemberi hutang.

Fatwa mereka berasaskan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Al-Bukhari yang bermaksud: “Penangguhan pembayaran balik hutang oleh orang yang ada kemampuan membayarnya dianggap satu kezaliman”.

Dalam hadis lain al-Hakim meriwayatkan: “Orang berhutang yang berkemampuan membayar balik hutangnya tetapi tidak melangsaikan hutangnya, perilaku ini boleh membawa kepada halal mengaib kehormatannya (daripada pemberi hutang dengan menyatakan orang yang berhutang itu zalim di hadapan hakim dengan membuat aduan dan menceritakan perilakunya yang tidak mahu membayar hutang) dan dihalalkan pelaksanaan hukuman ke atasnya (oleh hakim).

Al-Baihaqi menjelaskan bentuk hukuman berkenaan ialah meletakkannya dalam tahanan, manakala Al-Minawi pula membenarkan sebatan sebagai bentuk hukuman.

Pendekatan mesra pelanggan perlu diperkenalkan dalam usaha menggalakkan semua peminjam yang meminjam daripada khazanah negara melunaskan saki baki hutang mereka.

Sewajarnyalah kempen menyelesaikan segera hutang menjadi tanggung jawab bersama. Berasaskan konsep mesra pelanggan, kerajaan juga disarankan supaya menilai semula caj perkhidmatan sebanyak satu peratus yang dikenakan di atas jumlah pinjaman supaya ia benar-benar bertepatan dengan apa yang diputuskan oleh Kesatuan Fikah Islam Sedunia (dalam persidangan ketiga pada 1986) yang berpendapat adalah dibenarkan untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah kos sebenar.

Ketika krisis ekonomi yang kini melanda dunia, warga Malaysia yang bertanggungjawab terhadap negaranya wajar meletakkan penyelesaian hutang sebagai keutamaan. Bersyukur dengan bantuan yang pernah dihulurkan dengan meletakkan bayaran balik hutang sebagai agenda utama adalah sifat terpuji yang sepatutnya menjadi amalan orang berhutang.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url