Rom kota mitos
Landskap purba jadi tarikan: Colosseum antara tujuh binaan dianggap ajaib di dunia menjadi ikon tersohor Rom
Berjarak hanya kira-kira 35 kilometer, perjalanan menaiki bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Leonardo da Vinci di Fiumicini yang berusia 48 tahun ke ibu kota Rom tidak mengambil masa yang panjang.
Semakin menghampiri pusat bandar raya, imej sebenar kota Rom kian terserlah dengan kiri dan kanan jalannya dipenuhi bangunan berciri silam dan reka bentuk nostalgia.
Sebagai kota warisan daripada peradaban Eropah yang masyhur, sememangnya Rom amat kaya dengan warisan sejarah, seni dan budaya, diisi bangunan yang menampilkan ciri dan reka bentuk bernilai estetika.
Rom adalah bandar raya terkenal di dunia dan tidak dapat dinafikan, menjadi impian kebanyakan orang untuk menjejakkan kaki di kota berlandskap bangunan purba ini.
Beberapa minggu lalu atau lebih tepat lagi pada 28 Mei 2009, ibu kota ini menjadi tumpuan jutaan manusia dari seluruh dunia, khususnya peminat bola sepak apabila dipilih menjadi gelanggang pertembungan kelab bola sepak gergasi dunia.
Stadium Olimpik Rom diisi puluhan ribu peminat, manakala jutaan yang lain pula terpaku di depan televisyen menyaksikan pertembungan klasik Manchester United dan Barcelona bagi merebut trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, ikon tersohor di bandar raya ini dan juga di seluruh Itali tentunya bangunan Colosseum, lokasi mesti dilawati setiap pelancong yang berkesempatan mengunjungi Rom.
Melihat bangunan ini dari dekat, fikiran pasti mengimbau kepada personaliti dan peristiwa silam yang sinonim dengannya seperti Julius Caesar, Nero dan pahlawan berani mati, Gladiator.
Bagi zaman pertengahan, Colosseum antara tujuh binaan dianggap ajaib di dunia selain Stonehenge di Amesbury, England; Makam Kom el Shoqafa di Iskandariah, Turki; Tembok Besar dan menara tanah liat Nanjing di China; Hagia Sophia di Turki dan menara Pisa di Itali.
Dengan membayar tiket berharga 8 Euro atau kira-kira RM39, peluang meninjau apa yang ada di dalam bangunan usang namun tampak masih utuh ini pasti menimbulkan rasa kagum dan bagi sesetengah orang, mungkin juga gerun.
Di tapak lapangan atau arena yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penonton inilah pelbagai bentuk kekejaman dan keganasan pernah berlaku pada zaman pemerintahan Empayar Rom kuno suatu ketika dulu.
Antara keunikan pada bangunan empat tingkat ini ialah ia dilengkapi bilik bawah tanah serta sistem mengangkat barang yang primitif.
Roman Forum atau Forum Romanum, satu lagi warisan Empayar Rom purba yang punya nilai sejarah tersendiri. Di kalangan pencinta sejarah, lokasi ini amat wajar dikunjungi.
Daripada kesan tinggalan yang ada, pengunjung akan dapat berimaginasi mengenai sistem pemerintahan termasuk undang-undang, keagamaan, sosial dan aktiviti ekonomi yang pernah wujud pada era Republik dan Senat di bawah Empayar Rom lampau.
Daya penarik lain ialah Pantheon, sebuah gereja purba yang kelihatan masih utuh walaupun usianya hampir 1900 tahun.
Bangunan ini menampilkan ciri seni bina amat mengagumkan dengan kubahnya yang besar dan cukup unik, sekali gus pasti mengundang rasa pegun terhadap kebijaksanaan dan teknologi masyarakat tempatan pada zaman lampau.
Gereja lain yang terkenal ialah St Peter Basilica yang menjanjikan pengalaman unik kepada pengunjungnya. Gereja terbesar Katolik ini terletak dalam kedaulatan dan entiti berbeza dengan negara Itali, iaitu Vatican, negeri paling kecil di dunia.
Ia mempunyai corak hiasan yang cukup artistik lagi mengagumkan, tetapi tidak menghairankan kerana reka bentuk bangunan ini adalah hasil sentuhan seniman dan arkitek tersohor Itali, Michealangelo.
Sebelum dibenarkan masuk ke gereja ini, pengunjung dikehendaki beratur menjalani pemeriksaan sebagai langkah keselamatan.
Tempat suci penganut Roman Katolik di Kota Vatican ini menjadi destinasi yang cukup terkenal dan sentiasa menarik ramai pengunjung dari seluruh dunia.
Piazza Navona pula dataran paling terkemuka di kota Rom, terkenal dengan air pancutnya yang sentiasa menggamit pelancong untuk menikmati suasana santai sambil memenuhi kafe terbuka, restoran dan kelab hiburan di sekitarnya.
Suasana di dataran ini dimeriahkan dengan kehadiran seniman jalanan seperti pelukis, pemuzik dan pelbagai lagi.
Kota Rom juga begitu kaya dengan muzium dan galeri dengan yang paling menonjol tentunya Muzium Kebangsaan selain Palazzo Venezia, bangunan yang dibina pada pertengahan abad ke-16.
Di balkoni Palazzo Venezia inilah diktator terkemuka Itali, Benito Mussolini pernah berucap di hadapan puluhan ribu rakyatnya sewaktu Perang Dunia Kedua dan bangunan ini juga pernah dijadikan ibu pejabat kerajaan diktator itu.
Pada hari terakhir lawatan, penulis sempat berkunjung ke Trevi Fountain yang tidak kurang menarik dengan mitos tersendiri.
Mitosnya menyebut sesiapa yang mencampakkan objek berbentuk syiling ke kolam takungan di sini, dipercayai akan kembali lagi ke sini dan itu jugalah harapan penulis ketika kaki melangkah meninggalkan kota penuh bersejarah ini.
- BERITA HARIAN