Kasih bapa tiada penghujung - Fara AF


Pemain hoki kebangsaan, Shukri Abdul Mutalib dan bekas pelajar Akademi Fantasia 2 (AF2), Farah Anuar berkongsi cerita pengorbanan bapa masing-masing yang begitu dekat di hati.

Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya. Kata-kata itu mengingatkan kita betapa tingginya pengorbanan insan bergelar bapa yang selama ini begitu banyak mencurahkan kasih sayang kepada isteri dan anak-anaknya.

Seorang lelaki yang bergelar bapa tidak pernah mudah mengalah demi membesarkan anak-anak.

Menyentuh mengenai pengorbanan dan tanggungjawab bapa sebagai ketua dan pelindung keluarga, inilah masa terbaik untuk anak-anak mengenang kembali jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh bapa mereka selama ini.

"Hari Bapa ialah hari yang mesti diraikan oleh setiap insan bergelar anak. Sambutan hari istimewa itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak".

Itulah luahan pertama bekas penyanyi realiti televisyen, Akademi Fantasia 2 (AF2), Farah Anuar, 24, mengenai sambutan Hari Bapa dan makna di sebalik hari bersejarah itu.

Dia yang popular dengan gelaran Farah Breep! Breep! memberitahu, walaupun Hari Bapa diraikan setahun sekali, namun ia lebih bermakna sekiranya si anak menyambutnya setiap hari.

"Menghargai kasih sayang seorang ayah menerusi ucapan terima kasih ataupun bertanyakan khabar mereka pada setiap hari lebih mengeratkan hubungan bapa dan anak," kata Farah ketika sesi fotografi bersama bapanya, Anuar Ali, 54, di kediaman mereka di Datuk Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Luangkan masa

Sebagai anak jelas Farah, tidak salah meluangkan masa bersama bapa dengan membawanya keluar makan atau menyediakan menu kegemarannya.

"Kami adik-beradik akan meraikan Hari Bapa dengan membawa ayah keluar makan dan menghadiahkan sesuatu yang lebih istimewa.

"Setiap tahun kami akan membeli sesuatu untuk dihadiahkan kepada bapa seperti beg, minyak wangi dan telefon bimbit. Tahun ini, memandangkan ayah baru kehilangan telefon bimbit, saya akan menghadiahkannya telefon baru," katanya dengan nada perlahan.

Pada sesi temu bual yang berlangsung selama hampir dua jam itu Farah memberitahu, jasa dan pengorbanan bapanya itulah yang menjadikan dirinya lebih matang.

"Kesungguhan ayah mahu melihat anak-anak berjaya tidak boleh dihuraikan dengan kata-kata. Bayangkan, dia sanggup berhenti kerja di salah sebuah stesen televisyen swasta semata-mata ingin menguruskan kerjaya saya.

"Dialah ayah dan dialah pengurus. Impian ayah hendak melihat saya berjaya dalam industri ini akhirnya terlaksana jua. Saya lebih selesa memilih ayah sebagai pengurus disebabkan zaman sekarang payah hendak mempercayai orang luar," ujarnya.

Mengulas mengenai karakter ayahnya, Farah menjelaskan walaupun bapanya nampak garang dan tegas, hakikatnya ayahnya seorang yang ceria dan mudah mesra.

"Ramai yang cakap ayah saya seorang yang tidak boleh bergaul, tetapi lain pula setelah mereka mendekatinya.

"Masih ingat lagi sewaktu saya kecil, kalau ada di antara kami melakukan kesalahan, ayah akan rotan. Lain pula apabila kami meningkat dewasa. Dia akan luah segala perasaan marahnya itu dan tidak sesekali memendam.

"Dari segi psikologi, ayah mempunyai ketajaman 'menghidu' sesuatu perkara yang berlaku atau dilakukan kami adik-beradik. Ayah mudah meneka perangai seseorang. Daripada sepuluh tekaannya, lapan pasti betul," ujar anak keempat daripada enam adik-beradik.

Karakter

Sementara itu, Anuar memberitahu, Farah seorang anak yang senang dipelihara. Dia tidak pernah gusar tentang apa jua perkara yang Farah lakukan. Ini kerana, anaknya itu akan bersamanya walau di mana jua.

"Farah seorang anak yang pandai berjimat cermat. Dia akan fikir dulu sebelum membeli sesuatu yang dia mahu," kata Anuar.

Menurut Anuar, selama empat tahun berturut-turut Farah menghadiahkannya sebuah telefon bimbit.

Paling tidak dapat dilupakan, Farah menghadiahkan saya sebuah kereta Honda Accord. Itulah hadiah paling bernilai bagi saya.

Celah Farah, dia bersyukur kerana dapat membalas jasa ayah dan ibunya seawal usia 19 tahun.

"Saya bersyukur kerana pada usia muda saya memperoleh pendapatan sendiri dan dapat menyumbang kepada ibu bapa, walaupun dulu kami hidup susah dan terpaksa menunggu dua atau tiga tahun untuk memperoleh sesuatu barang yang diinginkan.

"Bagi saya, ia merupakan satu kepuasan kerana dapat membalas jasa mereka selama ini."

Bagi pemain hoki kebangsaan, Shukri Abdul Mutalib, 23, kematian ayahnya, Abdul Mutalib, 68, memberi kesan yang mendalam kepada dirinya.

"Masa kecil, bapalah pelindung dan penyelamat keluarga, apabila dewasa dialah hero dalam hidup saya," ujar Shukri menghargai pengorbanan bapanya.

Jelas anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu, bapanya meninggal dunia pada Januari 2009 lalu. "Selama setahun selepas diserang strok, akhirnya bapa pergi menghadap Ilahi.

"Siapa yang tidak terasa kehilangan insan paling disayangi. Apatah lagi ketika itu saya berada di kampung halaman. Bapa banyak berkorban dari segi wang ringgit dan tidak pernah gagal memberi sokongan dalam karier saya.

"Bayangkan, sebelum dia diserang strok, dia sanggup menunggang motor bersama abang ke Ipoh, Perak semata-mata ingin melihat saya bermain hoki," katanya sebak.

Pengorbanan

Bagi Shukri, terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan bapanya dalam membesar dia dan adik-beradik yang lain.

Beritahu anak kelahiran Sungkai, Ipoh itu lagi, pernah suatu ketika dulu sebelum dia memasuki ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Kota Tinggi, Johor, bapanya terpaksa meminjam duit daripada ahli keluarga lain semata-mata mahu menampung yuran perbelanjaan hariannya.

"Saya tidak akan menangis disebabkan kalah dalam perlawanan, tetapi saya akan menitiskan air mata apabila mengingatkan semua ini.

"Paling tidak dapat dilupakan ialah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Waktu itu saya menghadiri satu perlawanan hoki di Jerman. Bapa menangis sebaik sahaja mendengar suara saya di hujung telefon pada pagi raya.

"Itulah merupakan hari raya terakhir bapa saya," jelasnya sehingga ke hari ini, dia masih mengingati pesanan terakhir bapanya supaya menjaga ibunya, Siti Zubaidah, 61.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url