Krisis adat Negeri Sembilan: Pesara kerajaan dimasyurkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11
Krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan terus mencuri tumpuan apabila seorang pesara kerajaan dimasyurkan sebagai penyandang Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11, hari ini.
Majlis pemasyhuran Abd Rahman Limat, 70, sebagai penyandang dibuat dalam satu majlis istiadat di Telapak Tua Kampung Chedang, Rasah di sini.
Pemasyhuran bapa kepada enam anak itu dimaklumkan dipersetujui oleh Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu.
Majlis itu yang bermula sekitar jam 2.40 petang tadi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Buapak Perut Waris Hulu, disusuli istiadat menandatangani watikah pelantikan.
Difahamkan, Abd Rahman yang berpendidikan Sijil Rendah Pelajaran adalah Suku Biduanda Waris Klana, manakala jawatan beliau di dalam waris ialah Datuk Juan Waris Perut di Hulu Luak Sungei Ujong.
Beliau dikatakan pernah menghantar nama sebagai calon Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong pada 13 November 2004.
Sebelum ini, media melaporkan seorang akauntan, Muhammad Faris Johari, 29, dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 bagi menggantikan Datuk Mubarak Dohak.
Mubarak didakwa dan dilaporkan dipecat daripada jawatannya dan turut diperakui oleh kerajaan negeri menerusi satu kenyataan media.
Beliau bersama tiga Undang Luak yang lain bagaimanapun menggunakan kuasa mereka dengan mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya pada 20 April lalu menjelaskan tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Beliau menjelaskan, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Udang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Pada 22 April lalu dilaporkan, Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu melantik Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu yang dikatakan dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang.
Pemilihan itu didakwa mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat 'patah tumbuh' termaktub pada Fasal 5 Undang-Undang Sungei Ujong.
Berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan terbabit disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu didakwa tidak sah dan salah dalam aturan adat Sungei Ujong.
Menerusi kenyataan media oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong kemudiannya, memaklumkan bahawa pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu persetujuan sebulat suara semua ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan ibu-ibu soko waris Klana Hilir selain persetujuan sebulat suara kesemua Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong.

