Kepelbagaian fungsi ATM pintar
Syarikat teknologi global, NCR Corporation baru-baru ini memperkenalkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) terbarunya sebagai tambahan kepada perkhidmatan SelfServ ATM sedia ada di Malaysia.
Mesin yang diberi nama NCR SelfServ TM 31 dan SelfServ 36 itu mempunyai kelebihan fungsi deposit tunai pintar serta kebolehan kitar semula.
Dengan kapasiti penerimaan wang kertas yang tinggi termasuk aktiviti mendeposit dan validasi sehingga 200 helai, NCR SelfServ ATM akan dapat meminimumkan penggunaannya di kalangan pengguna.
Selain itu, kepintaran sistemnya juga menawarkan kelebihan penerimaan deposit pelbagai jenis mata wang selain aktiviti kitar semula dengan kapasiti pembahagian ruang sehingga 16,400 keping wang kertas.
Selain bersaiz kompak dan paparan antara muka yang luas, mesin tersebut juga memberi peluang kepada pihak bank menjana pendapatan melalui pembayaran bil, pemindahan dana, kiriman wang, tambah nilai pada telefon bimbit serta sistem kupon.
''SelfServ ATM menawarkan pelbagai kemudahan yang fleksibel bersama ciri tambahan seperti fungsi bacaan kad tanpa hubungan serta teknologi biometrik,'' katanya.
Mesin itu juga dibangunkan dengan teknologi pemulihan sendiri di mana sistem akan kembali berfungsi normal secara automatik jika berlaku sebarang gangguan atau kegagalan dan proses tersebut hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit.
Menerusi panel operator grafik yang intuitif pula, pengguna dapat mengakses mesin tersebut dengan lebih mudah sama ada dari bahagian depan, belakang atau pun tepi.
Kedua-dua model berkenaan juga dibangunkan menggunakan kabel khas bagi meminimumkan penggunaan kuasa serta pembaziran kertas sekali gus mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
- UTUSAN