Komando maut payung terjun tidak kembang
Kejadian itu berlaku jam 11.50 pagi ketika Lans Koperal Amin Che Ros, 27, melakukan latihan terjunan yang disertai 67 anggota, termasuk 12 anggota komando.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata sebaik jatuh terhempas mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim (HK) dengan ambulans tentera tetapi disahkan meninggal dunia.
"Kemalangan itu berlaku terlalu pantas dan mangsa menghadapi masalah untuk membuka payung ketika melakukan penerjunan pada paras 1,000 meter.
"Mangsa dilaporkan cedera parah di badan dan organ dalamannya," katanya di sini, semalam.
Mangsa yang berkhidmat dalam pasukan tentera sejak lebih tujuh tahun lalu meninggalkan seorang balu, Rosnita Othman, 26, dan dua anak, seorang lelaki berusia lima tahun dan seorang perempuan dua tahun.
Jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Ghuzlan berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
- BERITA HARIAN