KPDNHEP tukar nama kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kata Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pertukaran nama itu berkuatkuasa serta-merta selepas Kabinet meluluskan penggunaan nama baru itu, kelmarin. Kementerian itu juga akan menukar logo dan kepala surat rasmi secara berperingkat.

Ismail Sabri berkata, perubahan nama itu berikutan beberapa agensi berkaitan koperasi sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kini diletakkan di bawah kementeriannya.

Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan kerajaan mengiktiraf gerakan koperasi di negara ini serta memberi komitmen tinggi untuk memperkasakan organisasi itu sebagai satu entiti perniagaan yang mampu menjana ekonomi dan pembangunan sosial negara.

"Kementerian mensasarkan pencapaian sumbangan koperasi sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perolehan pendapatan RM10 bilion pada 2012.

"Ketika ini, terdapat 6,084 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan 6.5 juta ahli, yang menyumbang satu peratus kepada KDNK serta memiliki aset bernilai RM55.7 bilion dan perolehan pendapatan RM6.5 bilion," katanya selepas melancarkan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) peringkat negeri, di sini, semalam.

Ismail Sabri juga berkata, kementerian itu turut mensasarkan bilangan koperasi ditambah kepada 10,000 pada 2012 dengan purata pusingan perniagaan tahunan sehingga RM1.5 juta setahun bagi setiap koperasi.

"Kementerian juga sedang mengatur pelbagai usaha bagi menggalakkan koperasi terbabit secara aktif dalam pelbagai aktiviti ekonomi, termasuk bidang pemborongan, peruncitan, perkhidmatan dan pertanian serta meningkatkan kerjasama antara lebih 600 koperasi besar dan berdaya maju bagi membimbing koperasi kecil," katanya.

Mengenai Kobera, Ismail Sabri berkata, SKM akan menempatkan seorang pengurus daripada lepasan Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) bagi membantu koperasi itu yang ditubuhkan khusus untuk membantu golongan miskin memulakan projek perniagaan dan menjana pendapatan.

Beliau berkata, gaji dan elaun pengurus itu akan ditanggung SKM selama enam bulan dan pada masa sama pengurus berkenaan akan melatih serta mendidik ahli koperasi untuk melaksanakan projek yang sudah dirancang.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url