Tengku Temenggong nafi tuduhan dera Manohara
“Saya ingin melaporkan bahawa tuduhan yang timbul atau dilemparkan terhadap saya melalui media massa Indonesia dan Malaysia terutamanya, dan negara lain oleh Manohara (Cik Puan Temenggong) dan ibunya, Daisy Fajarina atau mana-mana pihak tertentu adalah suatu fitnah dan pembohongan yang amat besar,” kata Tengku Muhammad Fakhry dalam laporan polisnya.
Putera Sultan Kelantan itu yang ditemani peguamnya, Mohd Haaziq Pillay membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, jam 5.15 petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan sudah mengambil keterangan Tengku Muhammad Fakhry.
Mohd Haaziq ditemani sahabat baik Tengku Muhammad Fakhry, Mohd Soberi Shafii, pada sidang media di sebuah hotel di sini, malam tadi berkata, laporan polis itu dibuat berhubung tuduhan palsu dan fitnah oleh Manohara dan Daisy terhadap Tengku Muhammad Fakhry selama ini.
“Kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana terlalu banyak tuduhan palsu daripada Manohara dan Daisy serta semua pihak yang menyebarkan berita berkenaan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri lebih 10 wakil media Indonesia.
Menjawab pertanyaan media Indonesia mengapa laporan polis dibuat di Malaysia dan bukan Indonesia, Mohd Haaziq berkata dua beranak itu mendakwa didera di negara ini dan tiada sebab untuk membuat laporan itu di tempat lain.
Manohara juga dilaporkan sudah membuat laporan polis di Indonesia terhadap Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan dan kenalan suaminya Mohd Soberi Shafii, selain Tengku Muhammad Fakhry sendiri.
Tengku Muhammad Fakhry dan pihak istana Kelantan selama ini berdiam diri terhadap segala tuduhan yang dibuat Daisy melalui media Indonesia dengan mendakwa anaknya dilarikan secara paksa ketika mereka mengerjakan umrah di Jeddah, Arab Saudi, Mac lalu.
- BERITA HARIAN