Manek Urai jadi ukuran

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

MANEK URAI, nama yang tentunya membawa makna manik-manik yang mengurai. Mungkin titis embun awal pagi dengan kabus yang menyelubungi kawasan perbukitan itu memberi bayangan sedemikian.

Manek Urai berada dalam lingkungan 100 kilometer dari Kota Bharu – penduduk lebih akrab dengan kereta api penghubung dunia luar sejak silam sebelum jalan raya terentang menghubungkan Kuala Krai dengan Gua Musang.

Ia menjadi tumpuan umum kini, bukan kerana memiliki daya tarikan dari segi alam tetapi ekoran pilihan raya berulang, dalam sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilatari dengan tanaman getah dan kelapa sawit.

Pilihan raya kecil di kawasan yang dikatakan kubu kuat Pas itu akan berlangsung pada 14 Julai ini ekoran kematian Ismail Yaacob yang lebih dikenali sebagai Pak Su Wil yang telah lima penggal menjadi wakil rakyat.

Ia bagaikan mengulangi pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir 2005 dalam keadaan yang hampir sama, berlaku setahun selepas pilihan raya umum ekoran kematian wakil rakyat Pas dan di kubu kuat mereka.

Apakah UMNO dan BN merapatkan lagi persamaan dengan mengulangi kemenangan? Tentunya ia bukan suatu yang mustahil apatah lagi melihat tahap kerisauan Pas.

Pak Su Wil tonggak yang memastikan Manek Urai tidak terlepas kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan ini terbukti tanpanya Pas tewas pada tahun 2004 iaitu kali kedua selepas 1978. Allahyarham bukanlah di kalangan yang diberi gelaran ustaz dalam Pas, lebih kerap berbaju Melayu daripada menyarung jubah dan usaha Pas menggantikannya untuk diselarikan dengan kepimpinan ulama membawa padah.

Allahyarham adalah sampel wakil rakyat yang disesuaikan dengan corak pemikiran, suasana politik dan nilai budaya setempat yang tidak banyak menuntut apa-apa selain ‘dekat’ dengan mereka.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url