Mencari titik pertemuan dua parti Melayu

Oleh ABDUL IKRAM ABDULLAH

Seorang rakan menganggap kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kerajaan perpaduan dengan UMNO sebagai satu gimik politik. Pas katanya, ibarat anak dara idaman yang cantik molek, ingin disunting dua jejaka tampan. Idea kerajaan perpaduan hanyalah strategi Pas untuk meningkatkan saham politik dengan bermain tarik tali antara Pakatan dan UMNO, katanya.

Sebelum ini Presiden Pas pernah membuat kenyataan yang sama tetapi ditentang habis-habisan. Idea itu tenggelam seketika.

Dengan mengumumkan, buat kali kedua, idea kerajaan perpaduan dengan UMNO, Pas dilihat tidak lagi boleh diperlekehkan oleh DAP dan PKR dalam Pakatan. Bila Pas buat jual mahal, Pakatan baru buka mata.

Sementara itu, UMNO pula naik semangat kerana bukan sahaja ada harapan untuk memikat anak dara tadi malah kerajaan perpaduan dilihat dapat mengukuhkan kedudukannya. Begitulah strategiknya pemikiran Pas, ujar rakan tadi.

Tetapi dari sudut strategi yang berbeza, idea kerajaan perpaduan ini adalah satu cara untuk melonjakkan Pas naik sama taraf dengan UMNO. Maksudnya, sekiranya Pas ingin mengambil-alih kedudukan UMNO sebagai parti Melayu yang dominan, maka Pas harus menjuarai isu-isu yang menjadi makanan dan minuman UMNO selama ini. Ini termasuklah isu DEB, isu 30 peratus, isu Bahasa Melayu, isu hak kepentingan Melayu dan sebagainya.

Pas sedar sokongan orang Melayu terhadapnya kian merosot, Keputusan undian di pilihan raya kecil Bukit Gantang misalnya adalah contoh bahawa walaupun Pas menang, sebahagian besar undi datang dari orang bukan Melayu manakala undi melayu terhadap Pas berkurangan.

Dengan melontarkan idea kerajaan perpaduan, Pas mengharapkan sokongan orang Melayu terhadapnya meningkat.

Walau apa pun strategi yang digunapakai, idea Presiden Pas itu adalah suatu anjakan paradigma yang sangat berani. Ini adalah kerana tentangan yang diterima terhadap idea tersebut sangat hebat terutama dari kalangan ahli dan penyokong Pas.

merujuk

Di laman-laman web pro-Pas, ramai yang menyuarakan kekecewaan sehingga ada yang hendak berputus asa dari menyokong Pakatan.

Walau apa pun respons dan kritikan yang diterima terhadap idea ini, Presiden Pas dan mereka yang menyokong cadangannya harus dipuji. Kita anggap sahaja niat mereka benar-benar ikhlas untuk melihat kebaikan ummah melalui kerjasama politik antara dua parti terbesar yang mewakili orang Melayu iaitu Pas dan UMNO.

Ketepikan soal sama ada ini strategi politik ataupun tidak. Kenapa harus begitu? Kerana soalnya apa yang susah sangat untuk dua parti sebangsa dan seagama ini duduk semeja berbincang mengenai hal-hal yang menyentuh kebaikan bersama? Kalau Pas boleh bergabung dengan DAP yang terang-terang menentang ideologi Pas, kenapa Pas tidak boleh terbuka dalam menjalin kerjasama dengan UMNO?

Ahli Majlis Syura Pas, Ahmad Awang dalam ucapan penggulungannya sempena Muktamar Pas baru-baru ini mendedahkan rahsia bahawa terdapatnya permintaan dari pimpinan tertinggi Pas untuk parti itu mewujudkan kerajaan negeri Perak bersama UMNO dan bukan DAP ekoran PRU 2008. Beliau dipetik sebagai berkata," Saya nak bagi tahu ketika kami di Perak membuat keputusan dulu, tegas sungguh untuk tidak bersama dengan UMNO, dah putus dah untuk bersama DAP dan PKR, saya dihubungi oleh pimpinan tertinggi, tak bolehkah kaji keputusan itu untuk kita bersama parti, bersama UMNO? Ada! saudara-saudara. Jadi jangan cakap tak ada. Cuma saya tak nak sebut siapa. Tapi saya nak katakan, ada!"

UMNO Perak bukan sahaja telah menghulurkan salam perpaduan malah turut merelakan Pas mendapat kerusi Menteri Besar dan beberapa jawatan Exco. Malangnya, sementara Pas Pusat menyambut salam yang dihulurkan, Pas Perak tidak layan dan berkeras tetap ingin bekerjasama dengan DAP.

Jelas sekali perselisihan pendapat tentang kerajaan perpaduan dalam parti Pas ini benar, serius dan nyata. Biarlah Pas selesaikan masalah dalaman parti ini dengan cara mereka sendiri.

Apakah respons strategik yang harus diambil oleh UMNO/BN?

Kenyataan balas Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO bahawa UMNO terbuka dengan idea kerajaan perpaduan itu, adalah kenyataan yang sangat strategik. Ia menampakkan ketenangan dan kematangan.

Namun hal yang sama tidak dapat kita katakan tentang respons dari parti komponen misalnya MCA. Jurucakapnya Lee Wei Keat dilaporkan berkata bahawa MCA menentang cadangan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO kerana orang Melayu akan mentadbir negara dan orang bukan Melayu menjadi pembangkang yang akhirnya akan menyebabkan kepentingan orang bukan Melayu diketepikan.

perkauman

Kenyataan ini menunjukkan MCA takut dengan bayang-bayang sendiri dan tidak yakin dengan kekuatan diri. Ia juga menunjukkan MCA masih terikut-ikut dengan rentak pakatan yang memainkan sentimen perkauman. MCA dan Gerakan hilang banyak kerusi Parlimen kerana gambaran yang diberikan pembangkang seolah-olah mereka tidak lantang memperjuangkan kepentingan orang Cina dan sentiasa tunduk kepada UMNO.

Hakikatnya MCA dan Gerakan, serta MIC, telah banyak membantu kepentingan kaum masing-masing tetapi api kebencian yang dinyalakan pembangkang sukar dibendung sehingga MCA/Gerakan/MIC tewas teruk dalam PRU 2008.

Dalam hal ini, adalah lebih baik parti komponen mengambil sikap terbuka seperti mana isyarat Pengerusi BN. Lagipun kedudukan orang Melayu yang lemah sebenarnya mendatangkan kesan yang lebih negatif khasnya dari segi hubungan parti komponen kerana orang Melayu akan bersikap lebih defensif. Percayalah, kalau Melayu kuat, bangsa lain juga turut untung.

Dari sudut strategi yang lainnya, UMNO/BN boleh memilih sama ada untuk mengambil inisiatif tentang idea kerajaan perpaduan ini atau mengambil sikap tunggu dan lihat.

Sungguhpun pimpinan tertinggi UMNO tenang dan telah menyatakan sikap terbuka dan mengalu-alukan butiran terperinci tentang kerajaan perpaduan ini, mungkin ada idea susulan yang boleh difikirkan agar perkara baik ini dapat jadi kenyataan.

Misalnya sebagai satu lontaran idea, apakah mungkin kerajaan perpaduan ini dimulakan di Perak? Apakah mungkin kerajaan BN Perak menawarkan satu atau dua kerusi EXCO kepada Pas di Perak. Tetapi tak payahlah ditawarkan kepada bekas Menteri Besar Perak kerana beliau mungkin sibuk dengan tugasan beliau sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Begitu juga di Terengganu. Apakah mungkin perkara yang sama dapat dilaksanakan kerana dikhabarkan sudah ada usaha awal mewujudkan kerjasama antara Kerajaan BN Terengganu dengan Pas.

Khabar dari Terengganu bertiup kencang tentang pertemuan antara wakil BN Terengganu dengan wakil rakyat Pas yang berlangsung ekoran berita akan adanya usul undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri. Tetapi usul undi tidak percaya itu tidak berlaku dan berita tentang pertemuan yang berlangsung antara Pas dan UMNO itu diperlekehkan sebagai pertemuan untuk berbincang soal jual beli kambing Boer.

Ringkasnya, idea yang bernas, kalau dibiarkan tanpa sebarang tindakan, hanya omongan kosong.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url