Perompak gagal angkut ATM dengan forklift


Hasrat seorang penjenayah melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan jentera angkat susun (forklift) dari sebuah stesen minyak di Taman Serdang Raya di Subang Jaya, Selangor awal pagi ini, tidak berhasil meskipun berhempas pulas mencubanya selama lapan minit.

Sistem penggera keselamatan yang berbunyi sebaik memecahkan cermin stesen itu turut menyebabkan suspek cemas sebelum mengambil keputusan melarikan diri dan meninggalkan jentera terbabit.

Dalam kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, suspek yang memakai topi keledar dan berjaket putih nekad merempuh mesin ATM tersebut untuk melarikannya.

Polis percaya suspek melakukan perbuatan itu bersama rakannya kerana difahamkan terdapat sebuah lori menunggu untuk melarikan mesin ATM itu.

Terdapat maklumat awal mengatakan sejumlah RM25,000 berjaya dilarikan, tetapi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kerugian.

Menurut Khalid, namun jumlah wang yang berada dalam mesin ATM tersebut masih belum diketahui.

“Polis turut menyiasat sekiranya forklift itu dicuri, jadi kita sedang kesan siapa pemiliknya. Polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pengurusan stesen minyak untuk diteliti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar pula menjelaskan, pihaknya telah mengambil sampel cap jari suspek untuk mengenal pasti identitinya.

Sementara itu, pengurus premis berkenaan, Zaimi Mohd. Isa, 33, yang ditemui berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila dihubungi syarikat alat penggera keselamatan terbabit.

“Apabila tiba di situ, saya melihat sebuah forklift tersekat dalam stesen minyak dan dalam keadaan cuba mengangkut mesin ATM tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, waktu operasi stesen minyak itu bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam dan dilengkapi sistem keselamatan berserta dua CCTV yang dipasang dalam premis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-89484822 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Ryan
    Ryan Ahad, 21 Jun 2009 pada 10:52:00 PTG SGT

    wah teruk nya.. sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah.. ahaha

Add Comment
comment url