Pesawat pejuang MiG-29N TUDM akan dijual


Pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal dilupuskan dengan cara dijual kepada syarikat yang berminat untuk membelinya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa negara luar telah menyatakan minat untuk membeli pesawat tersebut bagi keperluan pertahanan negara masing-masing.

Namun, katanya, pihak kementerian perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan untuk melupuskan aset pertahanan negara itu.

“Ini kerana beberapa perkara lain perlu juga difikirkan seperti menetapkan harga sesebuah pesawat terbabit sebelum dijual,” katanya selepas menghadiri majlis pengumuman penganjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, pesawat MiG-29N akan digantikan dengan pesawat pemintas yang lain bagi memperkuatkan TUDM.

TUDM secara rasmi menerima pesawat MiG-29N buatan Rusia itu pada 28 April 1995 setelah menandatangani pembelian 18 pesawat berkenaan pada 7 Jun 1994 dengan kos AS$381 juta. TUDM kini memiliki 16 pesawat pejuang MIG-29N.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url