Sani United suntik RM75 juta
Pengarah Urusan, Datuk Sani Salleh berkata, pelaburan itu termasuk menyediakan 25 bas dua tingkat mewah bagi laluan sedia ada iaitu di tiga negeri di pantai timur dan utara.
Beliau berkata, sejumlah RM10 juta juga akan digunakan untuk menyediakan ciri-ciri keselamatan terkini buatan Sweden bagi semua bas dua tingkat bas Sani Express.
"Teknologi yang kami ambil itu berupaya mengesan kerosakan awal dan memberi amaran kepada pemandu bas sebelum berlaku insiden tidak diingini.
"Ketika ini Sani United memiliki 15 buah bas dua tingkat, walaupun ekonomi dilihat tidak menentu, kami tetap membuat pelaburan untuk keselesaan dan keselamatan penumpang dan pemandu bas sendiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sani berkata, kesemua 25 bas dua tingkat jenis Scania yang dianggarkan bernilai RM40 juta akan berada di jalan raya menjelang akhir Julai depan.
Katanya, kesemua pengangkutan tersebut akan beroperasi di tiga laluan utama yang membabitkan destinasi pantai timur bermula dari Shah Alam ke Kuala Lumpur yang menghala ke Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Beliau berkata, laluan utara yang dirancang pula membabitkan Shah Alam-Kuala Lumpur-Sungai Petani-Alor Star-Kangar selain laluan ke Butterworth, Pulau Pinang.
"Kami juga merancang membuka laluan perkhidmatan bas ke selatan tanah air membabitkan laluan Shah Alam-Kuala Lumpur-Johor Baharu menjelang pertengahan 2010," katanya.
Sani Ekspress yang merupakan antara pengusaha bas ekspres yang menduduki carta teratas di Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dapat menarik penumpang yang menggunakan perkhidmatanya kira-kira 70,000 orang setahun.
Selain itu katanya, Sani United juga memperuntukkan RM7 juta bagi membina bangunan operasi baru Sani Express dikenali Sani Express Centre di Klang yang akan mula beroperasi akhir Julai ini.
Katanya, pusat itu yang dibina di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar bagi menggantikan ibu pejabat lama di Ampang.
"Ia akan turut menyediakan pusat latihan yang mampu menampung 100 kakitangan pada satu-satu masa selain menempatkan bilik pengurusan dan kemudahan lain serba lengkap serta mampu menampung 20 bas dua tingkat pada satu-satu masa," katanya.
Beliau berkata, penubuhan pusat hentian setempat itu dijangka memberikan lebih kemudahan selain berupaya melancarkan operasi dan pengurusan perjalanan bas.
- UTUSAN