Selamat Hari Bapa - Hari bapa, bapa mertua dan Bapa Kemerdekaan

Oleh ZIN MAHMUD

Dalam ruangan kali ini yang jatuh pada Hari Bapa, penulis ingin merakamkan penghargaan secara khusus kepada bapa-bapa mertua. Menghargai bapa sendiri datang secara semula jadi. Maklumlah bapa sendiri. Yang ada kalanya jarang diambil kira ialah sumbangan bapa mertua kepada pembangunan keluarga.

Sememangnya kedudukan bapa mertua yang paling baik ialah sikap mereka yang memudahkan perjalanan hidup anak-anaknya. Apabila keadaan aman damai, memang tidak perlu ada campur tangan langsung. Itu tidak bermakna bapa mertua tidak ambil peduli. Umumnya mereka akan sentiasa mengambil berat tentang keluarga anaknya. Ini kerana hubungan antara seorang bapa dan anak perempuan amat istimewa. Maka sudah tentu dia sentiasa prihatin kepada perangai menantu-menantunya.

Justeru apabila isteri meronta-ronta hendak jumpa bapanya, maka si suami ini mestilah segera menunaikan harapannya tanpa soal jawab. Itu tugas menantu.

Maka bertuahlah anak-anak lelaki yang memperoleh bapa-bapa mertua yang sejak dari awal lagi, sebelum perkahwinan memudahkan hidupnya; tidak begitu campur tangan tetapi pada waktu yang sama menyumbang bagi kelancaran pelayaran kehidupan keluarga anaknya.

Ini termasuklah memudahkan urusan perkahwinan dengan anaknya. Mereka akan muncul sebagai pengimbang kepada kaum perempuan dalam keluarganya. Malah itulah peranan bapa-bapa mertua dalam hubungan berbesan. Bagi anak perempuan pula, mereka juga mengharapkan sokongan daripada bapa mertuanya dalam melayari bahtera berkeluarga.

Setelah berkahwin, proses perkembangan keluarga akan akhirnya lebih mencabar dengan masing-masing sedang membangunkan kerjaya berserentak dengan membesarkan anak-anak, yang merupakan cucu kepada bapa-bapa mertua mereka.

Pengalaman hubungan antara datuk dan cucu sudah dapat difahami. Kasih sayang seorang datuk kepada cucu hingga tahap manja melampau adalah satu klise yang dapat difahami dalam apa jua masyarakat. Tetapi seorang bapa mertua yang bertambah usianya akan lebih dikenali sebagai datuk apabila cucu-cucunya semakin ramai, dan akhirnya mendapati bahawa kebahagiaan hidup adalah bergembira bersama cucu-cucunya. Inilah yang kadangkala anak-anaknya tidak begitu teringat. Jadi apabila bapa-bapa mertua sudah bertanyakan cucu, maka kebahagiaan yang boleh diberikan kepada jangka hayat yang semakin memendek adalah membawa cucu-cucunya pulang untuk bersama dengan datuknya.

Sisa hidup

Akhirnya di penghujung usia, seorang lelaki, dahulunya merupakan seorang bapa yang cergas memberi nafkah dan pendidikan kepada anak-anaknya, dan kemudian bertukar menjadi bapa-bapa mertua apabila anak-anaknya keluar membentuk keluarga sendiri tetapi akhirnya menjadi datuk yang semakin lemah dan menghabiskan sisa hidup dengan atas ehsan anak-anak dan cucunya. Itulah peredaran hidup yang tidak semestinya sentiasa lancar.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url