Senyuman pikat hati si gadis
Apatah lagi ketika dilanda kesunyian yang panjang, alangkah indah jika saat itu terisi dengan kehadiran si dia buat pengubat hati lara.
Berjalan di tepian pantai, menonton wayang atau melakukan riadah bersama tentunya begitu indah.
Namun mungkin bagi segelintir lelaki, tidak semudah itu mendapatkan teman wanita sehati sejiwa apatah lagi jika lebih dikuasai rasa malu untuk memulakan perhubungan.
Jika terasa janggal untuk mendekati si gadis pujaan hati apatah lagi membuka mulut untuk mengajaknya keluar, petua berikut mungkin boleh membantu anda mencari teman hidup dan seterusnya melayari mahligai bahagia:
# Sebagai lelaki, anda perlu mulakan langkah pertama biarpun ada yang mengatakan si gadis juga boleh membuka mulut untuk menyatakan segalanya.
Beranikan diri bergaul dan berkenalan dengan ramai gadis sebelum membuat pilihan.
# Anda perlu menyesuaikan diri dengan keadaan dan mengawasi gerak-gerinya, tetapi jangan sampai mengekorinya sehingga ke hadapan rumah!
# Apabila bertemu gadis yang diminati, lakukan sedikit ‘penyiasatan.’ Selidik latar belakangnya sama ada dia sesuai atau tidak, keluarganya dan paling penting, sama ada dia berpunya.
Caranya, anda boleh bertanya kepada rakan gadis berkenaan untuk mencari fakta yang betul mengenainya.
Jika sudah bertemu dengan bakal teman wanita, perlu diingat anda tidak akan dapat mendekati gadis impian melainkan anda menegurnya.
# Sebagai langkah awal untuk mendekatinya, mulakan dengan senyuman. Bagaimanapun, anda tidak digalakkan merenung gadis itu terlalu lama kerana dia mungkin berprasangka negatif.
# Anda hanya perlu berlagak biasa, jangan cuba berlagak macho atau seksi kerana ia boleh membuatkan gadis itu meluat. Berlagak biasa, tetapi berhati-hati dengan percakapan dan tindak-tanduk agar tidak menyinggung perasaannya.
# Atur temu janji seperti makan malam atau menonton wayang. Namun, lebih baik bertanya si gadis ke mana dia ingin pergi agar lebih selesa.
# Apabila anda berdua sudah semakin selesa dan serasi, inilah masanya untuk berterus terang.