Ibrahim Abu Shah ada 130,000 'anak'


Tokoh akademik bermisai melintang ini pasti digeruni oleh sesiapa sahaja yang melihatnya buat kali pertama. Mereka yang tidak mengenalinya dari dekat mungkin menafsirkan bahawa beliau seorang yang garang dan bengis.

Namun hakikatnya, lelaki yang berasal daripada Kampung Serkam Pulai, Melaka ini adalah seorang periang, peramah dan mudah didekati.

Pada mulanya penulis sendiri tidak menyangka bahawa beliau bersedia menerima permintaan penulis untuk mengadakan temu bual di rumahnya. Sangkaan penulis tentulah orang yang begitu sibuk sepertinya tidak mempunyai masa untuk melayan temu bual sempena Hari Bapa yang akan menjelang tiba. Pada beliau mungkin isu-isu akademik lebih penting dan harus diutamakan.

Bagaimanapun sangkaan penulis ternyata meleset. Temujanji yang dibuat pada pukul 8.30 malam di rumah tiga tingkat milik beliau berjalan dengan lancar.

Selepas dipersilakan masuk oleh anak bongsu beliau, Izhamuddin, 17, penulis 'mencuci mata' dengan memerhatikan ruang tamu rumah yang dipenuhi dengan gambar-gambar beliau semasa menerima pingat kebesaran dan gambar bersama isteri tersayang, Datin Zahariah Mohamed.

Sehelai hamparan permaidani buatan tangan tergantung yang menampilkan wajah beliau nampak seakan-akan 'hidup' dan seperti memerhatikan orang yang melihatnya. Memang nampak garang, detik hati penulis.

Seketika itu juga, beliau turun dan menyapa. Berkemeja lengan pendek corak kekotak biru dan berseluar denim hitam, lelaki yang dimaksudkan ini, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Ibrahim Abu Shah, ramah menerima tetamu.

''Saya baru sahaja habis bersenam. Setiap hari saya akan pastikan saya dapat melakukan senaman seperti angkat berat, berjalan kaki di atas treadmill atau berenang. Di rumah saya ini ada gim kecil yang lengkap dengan peralatan senaman,'' katanya yang nampak tegap, muda dan sihat.

Justeru, walaupun telah mencecah usia 60 tahun, Ibrahim tidak menghidap apa-apa penyakit yang sering dihidapi oleh mereka yang seusia dengan beliau seperti jantung, darah tinggi atau kencing manis.

Rancak memulakan perbualan, bapa kepada enam orang anak (dua perempuan dan empat lelaki) begitu bersemangat apabila bercerita mengenai 'anak-anak'nya di UiTM.

Dipanggil sebagai 'ayahanda' oleh sebahagian daripada lebih 130,000 pelajar UiTM, Ibrahim menganggap mereka seperti anak sendiri kerana mereka juga seusia dengan anak-anak kandungnya.

''Perasaan sayang saya kepada pelajar-pelajar ini memang kuat. Saya memandang mereka seperti memandang anak sendiri, menganggap diri saya sebagai bapa mereka, berbangga dengan kejayaan mereka dan satu kepuasan apabila mereka berjaya dalam karier mereka.

''Sebagaimana saya mempertahankan anak-anak dalam rumah ini, begitu juga saya mempertahankan pelajar UiTM kerana mereka adalah tanggungjawab besar saya,'' ujar beliau yang lima orang anaknya menerima pendidikan di UiTM.

Datuk kepada dua orang cucu lelaki, Abu Raziq Abu Rajaii, dua tahun dan Abu Yusuf Abu Rajaii, tiga bulan ini menambah, sebagai ayahanda, beliau berusaha memberikan kemudahan pembelajaran yang sempurna dan baik kepada semua pelajar, bantuan untuk pelajar miskin dan sebagainya. Ini kerana beliau sendiri yang berasal daripada keluarga miskin telah merasai susah payah menimba ilmu di menara gading.

''Arwah bapa saya bekas anggota polis. Namun kerana masalah kesihatan dia terpaksa meletak jawatan dan membuka bisnes kontraktor kampung kelas F. Masa itu (sekitar tahun 70-an) kehidupan memang susah namun bapa sanggup berkorban dan bersusah payah menghantar saya belajar di UiTM (dulu ITM).

''Kawan-kawan di ITM masa itu pun ramai daripada keluarga miskin. Bayangkan jika bapa kami tidak ambil kisah tentang pelajaran anak-anak, rasanya saya dan kawan-kawan tidak akan berjaya dalam hidup. Saya betul-betul bersyukur kerana dengan sikap ambil berat bapa, saya berjaya hingga di kedudukan saya sekarang ini,'' ujar anak keempat daripada sembilan beradik ini.

Sehingga ke hari ini, Ibrahim masih tetap mengenang pengorbanan bapanya. Walaupun tidak lama berkesempatan untuk membalas jasa bapa kerana telah 20 tahun bapa meninggal dunia, sempat juga beliau memberikan sebahagian daripada pendapatannya kepada bapa semasa mula-mula bertugas dahulu.

Katanya, adakalanya beliau berasa terkilan juga kerana tidak dapat membalas jasa bapa sepenuhnya. Bagaimanapun beliau tetap bersyukur kerana sempat memberikan apa sahaja yang diingini ibu yang baru dua tahun meninggal dunia.

''Sebagai anak, janganlah sakiti hati ibu bapa. Bagi seorang bapa, apabila anak-anak sudah bekerja, hubungan di antara kedua-duanya mulai renggang walaupun bapa masih mengharapkan untuk rapat dengan anak seperti ketika anak-anak masih kecil.

''Jangan buat bapa merajuk. Beri mereka kebahagiaan yang sebaik-baiknya kerana tanpa mereka, kita tidak akan berjaya pada hari ini,'' jelas Ibrahim lagi.

Beliau turut menasihatkan kepada bapa-bapa di Malaysia untuk menjadi bapa yang bertanggungjawab dan dapatkan ilmu kebapaan kerana jika tidak, anak-anak akan hilang pedoman.

Katanya, pada hari ini ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan ada yang mengabaikan tanggungjawab pada anak-anak. Anak-anak adalah aset, jika bapa gagal mendidik anak, mereka akan menjadi sampah masyarakat.

''Jika dahulu, lelaki yang hendak berkahwin tidak perlu mengikuti kursus tetapi hari ini penting adanya kursus keibubapaan kerana apabila pasangan muda berkahwin, mereka tidak faham selok-belok, cabaran dan peranan mendidik anak. Jika mereka tidak ada bekalan cara mendidik yang betul, banyak masalah yang akan timbul.

''Pengalaman saya sendiri, bagaimana sibuk pun, saya tetap akan memberikan masa untuk keluarga. Masa yang berkualiti penting bersama keluarga. Walau macam mana sibuk, jangan lupakan anak-anak. Mungkin kita boleh kurangkan aktiviti lain untuk bersama dengan anak-anak.

''Seperti saya, saya tidak bermain golf walaupun saya suka kerana masa di padang golf tu saya boleh habiskan dengan anak-anak. Sudahlah hari bekerja jarang dengan anak-anak, hujung minggu ke luar daerah, kalau saya nak bermain golf juga nampaknya saya tidak akan dapat berjumpa dengan anak-anak,'' jelasnya.

Tambahnya, jika tidak ke luar daerah, beliau akan mencuri masa untuk makan tengah hari dan malam bersama keluarga. Sesekali beliau sekeluarga akan makan di luar atau bercuti. Tidak perlu pergi jauh, balik kampung pun sudah memadai.

''Hubungan saya dengan anak-anak rapat walaupun orang kata saya serius. Kami bergurau macam kawan-kawan dan mereka boleh bercerita fasal apa sahaja dengan saya,'' katanya.

Hasil perkahwinan dengan isterinya yang juga graduan UiTM, Ibrahim dikurniakan Izrina, 29, (Penolong Timbalan Presiden Affin Investment); Izmir, 28, (Jurutera Perunding); Izanee, 26, (Eksekutif); Izuddin, 23, (baru tamat pengajian di UiTM dalam Ukur Bahan); Izura, 21, (pelajar UiTM bidang Pengurusan Acara); dan Izhamuddin, 17, (pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam.

Menariknya, nama kesemua anak pasangan ini dimulakan dengan IZ gabungan Ibrahim dan Zahariah.

Mengenai sambutan Hari Bapa, kata Ibrahim, beliau dan anak-anaknya memang mengingati tarikh itu.

Kebiasaannya anak sulung, Izrina akan mengambil inisiatif untuk menguruskan makan malam sekeluarga di hotel selain ucapan 'Kami Sayangkan Ayah' dan hadiah daripada yang lain.

''Setiap kali tiba Hari Bapa setiap anak sepatutnya mengingati pengorbanan bapa baik semasa masih hidup ataupun telah tiada. Ingat susah payah bapa untuk menjadikan kita manusia yang berguna dan cuba balas jasa mereka,'' ujarnya mengakhiri pertemuan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
3 Comments
  • didiey ;)
    didiey ;) Jumaat, 12 Jun 2009 pada 4:50:00 PG SGT

    he..berbangge menyatakan.
    saye pon anak dea jugeee
    :)

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Jumaat, 12 Jun 2009 pada 10:06:00 PG SGT

    oh my papa too..

  • MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
    MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN) Jumaat, 12 Jun 2009 pada 12:32:00 PTG SGT

    bapa saya juga
    UiTM Dihatiku
    =)

    ADHA
    www.myadha.com

Add Comment
comment url