Viagra Brazil
Enam kontena berisi berjuta-juta biji pil Viagra palsu bersama pseudoepherine iaitu bahan kimia asas untuk membuat dadah syabu yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit dirampas sejurus tiba di Pelabuhan Klang, dekat Klang, Selangor, semalam.
Rampasan berkenaan disifatkan terbesar di negara ini setakat ini dan membabitkan pil perangsang seks bersama dadah dipercayai milik sindiket dadah antarabangsa.
Sumber memberitahu Harian Metro, ketibaan keenam-enam kontena berukuran 20 dan 40 kaki berkenaan, Rabu lalu, dikesan pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Hasil risikan dan maklumat diterima, sekumpulan 12 penguat kuasa farmasi dan enam pegawai KPDNKK menjalankan pemeriksaan rapi terhadap semua kontena yang baru tiba dari luar negara itu dan diletakkan di satu kawasan di Pelabuhan Klang.
Dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu, pegawai yang terbabit dengan pemeriksaan mengejut itu turut mendapatkan bantuan beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk membuka kontena berkenaan.
“Pegawai KDRM terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk membuka belakang kontena berkenaan yang dihantar kapal dari Kaherah, Mesir.
“Sebaik pintu kontena pertama dibuka, pihak berkuasa menemui ratusan balang yang mengandungi tablet berwarna putih dan pemeriksaan lanjut kemudian mendapati pil berkenaan adalah bahan kimia pseudoephedrine,” katanya.
Pegawai menganggarkan jumlah pil yang diisi dalam plastik lut sinar dan kemudian dimasukkan ke dalam tong plastik putih itu, mencecah berjuta-juta biji.
“Apa yang membimbangkan, pil berkenaan adalah prekursor (bahan asas) untuk menghasilkan dadah syabu dan berdasarkan penemuan ini, pihak berkuasa percaya ia cuba diseludup masuk ke negara ini bagi tujuan memproses pil khayal berkenaan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan jumlah rampasan besar pil pseudoephedrine itu, sindiket yang memprosesnya boleh menghasilkan beberapa tan dadah syabu untuk pasaran tempatan atau eksport.
“Siasatan mendapati, setiap tong plastik pil seberat hampir lapan kilogram dihasilkan di Syria sebelum dibawa masuk ke Mesir dan dihantar ke negara ini,” katanya.
Selain itu, hasil pemeriksaan terhadap kontena kedua pula, pihak berkuasa menemui ratusan kotak mengandungi pil hijau yang siap dibungkus rapi.
“Siasatan lanjut mendapati semua pil hijau berkenaan adalah kimia sildenafil disyaki Viagra palsu dengan setiap kotak di dalam kontena kedua itu mempunyai tidak kurang 10,000 biji pil.
“Pil Viagra palsu yang berfungsi menaikkan syahwat lelaki itu dianggarkan bernilai RM60 sebiji dan jumlah rampasan terbabit dipercayai mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Pemeriksaan label mendapati pil itu diimport dari Sao Paulo, Brazil, yang terkenal sebagai negara penghasil viagra palsu.
Sementara itu, sumber KDRM berkata, pihaknya menahan enam kontena yang mengisytiharkan membawa ubat-ubatan dan makanan tambahan yang memasuki negara ini melalui Pelabuhan Klang, Rabu lalu.
“Pemeriksaan terhadap semua kontena bersaiz 20 dan 40 kaki itu menemui sejumlah ubatan, namun pihak kami tidak dapat mengesahkan ketulenan ubat terbabit.
“Namun, kami bekerjasama dengan KPDNKK serta KKM dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan kelak.
“Ini rampasan pertama kami ke atas sejumlah ubatan yang begitu banyak dan akan menyiasat sama ada kontena terbabit memang dihantar ke negara ini atau hanya menjadikan Pelabuhan Klang sebagai lokasi transit mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
- HARIAN METRO